Dunia Tanpa Sempadan

Nydia

Ungkapan ‘dunia tanpa sempadan’ tidak asing lagi bagi masyarakat kini.  Penyataan ini juga tidak membawa erti bahawa dunia kini tidak dipisahkan oleh sempadan geografi lagi.  Ungkapan ini sebenarnya amatlah sinonim dengan penggunaan internet[1]. Dunia masa kini dihubungkan dengan jarak yang amat ‘dekat’, pantas dan mudah melalui kemudahan internet.  Apabila disebut sahaja tentang bagaimana mendapatkan maklumat, maka ramai yang mengaitkannya dengan internet.  Kita boleh menjelajah ke seluruh dunia dalam sekelip mata tanpa perlu berganjak dari tempat duduk; segala maklumat pula berada di hujung jari kita, hanya perlukan click sahaja dapat merealisasikan apa yang kita ingini!   Sememangnya internet merupakan salah satu cara hidup kita hari ini.

Manfaat

Keupayaan internet sebagai alat komunikasi telah jauh mengatasi sebarang alat-alat komunikasi sedia ada.  Khususnya dari segi media elektronik, pengenalan internet seolah-olah telah mengambilalih peranan penting alat-alat percetakan, telefon dan televisyen yang telah berzaman menjadi alat penting dalam media untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.  Ini kerana hubungan interaktif dan lebih pantas dapat dinikmati melalui penggunaan internet sahaja tanpa dibatasi oleh had geografi.  Tambahan pula ia merangkumi penghantaran maklumat sama ada dalam bentuk teks, grafik bahkan bunyi sekalipun!

Tidak dapat dinafikan bahawa penghantaran dan penyebaran maklumat melalui kemudahan internet banyak menyumbang kepada keselesaan manusia.  Tanpa memerlukan kos penghantaran dan masa yang panjang, laman-laman web[2] mudah dikunjungi untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki.  Boleh dikatakan bahawa pengiriman makluman menerusi e-mail lebih pantas dan jimat terutamanya bagi jarak jauh.  Perkhidmatan ini amatlah memudahkan sama ada golongan berkerjaya mahupun pelajar.  Kepentingannya amat dirasai sehinggakan ada yang mengatakan bahawa ‘harinya’ tidak bermakna, kosong dan hambar, malah membuang waktu kerana tidak dapat menjalankan urusan ‘segera’ akibat tidak dapat mengakses internet.  Tidak dapat disangkal lagi kepentingannya kepada para pengguna.

Dari aspek kemajuan gereja, kita juga mengakui kebaikan perkhidmatan ini.  Dalam era moden ini, penyebaran Injil kebenaran juga turut dimajukan melalui internet  khususnya, pihak penginjilan antarabangsa turut memanfaatkan penginjilan melalui internet.  Perkhidmatan ini telah merapatkan lagi perhubungan antara gereja-gereja dari seluruh dunia.  Sememangnya menjadi suatu hal yang wajar bagi pihak gereja untuk memiliki perkhidmatan sedemikian sekiranya mampu.  Telah tiba saatnya bagi semua gereja tempatan yang memiliki talian telefon untuk memiliki perkhidmatan internet di gereja masing-masing untuk memudahkan para penginjil kita berurusan dengan ibu gereja walaupun pada saat itu mereka berada di suatu jarak yang jauh. Kebocoran yang seringkali dihadapi oleh gereja-gereja di luar bandar ialah keciciran surat makluman daripada ibu gereja.  Dengan adanya kemudahan internet, pastinya masalah sedemikian tidak berlaku lagi kerana pihak gereja akan memperoleh maklumat yang diperlukan dengan menghubungi kakitangan di pejabat ibu gereja secara online.

Ilmu-ilmu teologi juga boleh diterokai dengan melayari laman web, khususnya bagi mereka yang tidak memiliki sebarang bahan rujukan tentang alkitab.  Banyak bahan akan diperolehi dengan melayari laman-laman web Kristian seperti Sabdaweb.com, Alkitab online, dan banyak lagi, kita mampu menyusur sejarah alkitab melalui laman-laman web tersebut sama ada dalam Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Indonesia. Bagi pemercaya Gereja Yesus Benar, kita boleh mendengar khutbah secara online dengan melayari laman web gereja[3] kita tatkala berada di tempat yang berjauhan dengan gereja. Demikian juga dengan bahan-bahan bantu mengajar untuk kelas pendidikan agama, perkhidmatan ini amat bermanfaat.  Sungguhpun demikian, kita mestilah bijak menilai bahan-bahan yang bersesuaian dengan gereja kita.  Tidak kira dalam aspek keagamaan, ekonomi mahupun isu-isu antarabangsa, internet boleh dikatakan sebagai suatu wadah maklumat yang sangat berguna dan amat membantu.

Membimbangkan

Di sebalik kebaikan-kebaikan yang dinikmati melalui kemudahan ini,  terdapat beberapa perkara yang dibimbangkan  akibat ‘kerakusan’ mengakses internet. Adalah dikhuatiri sekiranya ada di kalangan seiman kita menyalahgunakannya dengan melayari laman-laman web yang tidak sesuai.  Kebelakangan ini seringkali kita mendengar tentang pornografi, atau juga dikenali sebagai laman web lucah.  Sebagaimana masyarakat dunia kini yang umumnya telah mengalami keruntuhan akhlak; tidak lagi mementingkan perintah Tuhan dalam hal percabulan, masalah ini turut menggerunkan pihak gereja. Golongan remaja yang sepatutnya masih berada di bangku sekolah, terjebak dalam dosa percabulan.  Masalah ini sedikit-sebanyak dikaitkan dengan pengaruh media cetak mahupun elektronik yang mengandungi unsur-unsur pornografi.  Sebagai umat Kristian, kita amat jelas dengan apa yang ditekankan oleh penatua Yakobus tentang perlanggaran akibat keinginan kendiri seseorang.  “…setiap orang dicobai oleh keinginan mereka sendiri. Apabila keinginan telah dibuahi, ia mendatangkan maut.”  Amat menakutkan sekiranya pelanggaran terhadap kebenaran ini akibat daripada melayari laman web yang tidak patut. Justeru, setiap umat Tuhan sepatutnya bijak memilih laman web yang sesuai untuk dilayari dan jangan merosakkan kerohanian sendiri.  Sebagai seorang Kristian, kita sepatutnya memiliki prinsip yang amat jelas berdasarkan surat rasul Paulus: “Segala sesuatu diperbolehkan.  Benar, tetapi bukan semua membangun!”

Selain itu, pelbagai jenis games yang terdapat dalam internet juga mengasyikkan golongan remaja kita, sehingga penggunaan internet di kalangan remaja telah sampai ke tahap yang membimbangkan.  Gejala ini digeruni bukan sahaja di kalangan ibu bapa, tetapi juga guru-guru pendidikan agama dan penguasa-penguasa gereja.  Ketagihan dalam aspek ini amat merugikan individu itu sendiri dalam pembaziran wang ringgit tanpa disedari.  Adalah menyedihkan sekiranya wang yang diperuntukkan sebagai persembahan di gereja digunakan untuk melayari internet atau sekadar bermain games sahaja.  Lebih teruk lagi ada yang mengadu bahawa anak mereka mencuri wang ibu bapa semata-mata terlalu ketagihan bermain games. Keadaan ini telah merugikan dan merampas kedudukan firman Tuhan dari dalam hati individu berkenaan kerana hati mereka sudah terpesong dan dicengkam oleh keinginan mereka dalam permainan tersebut. Pada masa yang sama, kerinduan terhadap firman Tuhan pula semakin luntur. Kekhuatiran akan menghilangnya anak-anak dari rumah dan dijumpai di mana-mana Cyber Cafe bukanlah suatu perkara baru.  Kita amat takut akan jerangkap samar yang dipasang oleh Si Jahat melalui internet. Ia seumpama ‘jalan ular di atas cadas.’  Suatu perangkap yang tidak disedari oleh umat Tuhan.  Perlu diingat bahawa di sebalik usaha pihak gereja untuk meneguhkan lagi pengetahuan dan iman  jemaat tentang kebenaran, Iblis pula memasang perangkapnya dalam pelbagai cara yang sangat halus, sehingga tidak disedari pun oleh umat Tuhan bahawa ini sebenarnya jerat.

Faktor seterusnya ialah masa.  Bagi mereka yang telah ketagih dengan melayari internet, mereka tidak lagi dapat mempertimbangkan hal-hal lain kerana khusyuk dengan aktiviti semasa yang mereka lakukan, bahkan ada yang lupa untuk makan, minum apabila berhadapan dengan komputer, tidak kira di rumah sendiri mahupun di Cyber Café. Kemerosotan dalam pembelajaran di sekolah juga dikaitkan dengan ketagihan melayari internet.  Sudah pasti kebiasaan sedemikian lambat laun akan memudaratkan diri sendiri.  Dari aspek kerohanian pula, kerisauan juga timbul apabila masa kebaktian diabaikan oleh sesetengah golongan. Masa untuk mengakses internet dibiarkan merebut masa untuk berkebaktian.  Fenomena ini membuktikan bahawa ada di kalangan jemaat yang tidak dapat menguasai diri lagi apabila mula melayari internet.  Tidak kira apa saja hal yang diusahakan, sepatutnya masa untuk berkebaktian tidak boleh diabaikan semata-mata untuk memuaskan keinginan mata sahaja.  Keadaan yang sama turut dirasai oleh pihak AJK gereja dengan ketagihnya jemaat terhadap rancangan televisyen sehingga mengabaikan firman dalam Ibrani 10:25.

Pendek kata, setiap umat Tuhan perlulah bijak mengurus masa masing-masing,  harus bijak untuk memanfaatkan kemudahan yang ada.  Biarlah kita MAMPU MENGUASAI DIRI SENDIRI dan jangan biarkan diri kita diperhambakan oleh apa pun yang boleh merenggangkan hubungan kita dengan Tuhan, Bapa kita.  Alkitab mengatakan, “saatnya telah tiba untuk kita bangun dari tidur…”  Marilah kita mengkaji semula hubungan kita dengan Tuhan, tetap dekat dengan Tuhan walaupun hidup dalam dunia tanpa sempadan ini. 


[1] Secara umumnya Internet merupakan satu rangkaian bersifat global yang menghubungkan lebih dari seorang pengguna dari seluruh dunia yang membolehkan pertukaran maklumat berlaku.

[2] Merupakan fail-fail penerbitan multimedia interaktif. Sebuah laman web menggabungkan teks, grafik, bunyi, animasi dan unsur multimedia yang lain. Setiap laman disambung antara satu sama lain dengan hiperteks yang membolehkan anda bergerak dari satu laman ke laman yang lain.

[3] www.gys.or.id

(Dibaca : 332 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *