Natijah Dadah

Faiyani Wong

Prolog

Pernahkah anda mendengar berita tentang seorang budak perempuan yang baru berusia tujuh tahun telah dibunuh oleh teman lelaki ibunya dengan tidak berperikemanusian? Setelah dibunuh, mayat budak perempuan tersebut dibakar agar tidak ditemui orang ramai. Apakah anda juga pernah membaca berita mengenai sebuah bas awam yang membawa penumpang telah mengalami kemalangan ngeri dan telah meragut nyawa 22 orang termasuk pemandu tersebut. Perdana Menteri kita menyifatkan kemalangan tersebut sebagai kemalangan terburuk yang pernah berlaku di Malaysia. Apakah persamaan kedua-dua kejadian tersebut? Pihak polis mendedahkan bahawa pembunuh dan pemandu adalah di bawah pengaruh dadah ketika kejadian tersebut terjadi. Kejadian-kejadian yang menakutkan ini menunjukkan bahawa dadah berupaya mempengaruhi minda manusia sehingga bertindak di luar kawalan manusia sendiri. Selain itu, sering kali juga kita mendengar keluhan penagih dadah yang telah bertaubat tetapi akhirnya tewas juga kepada godaan dadah apabila mereka terjerumus ke dadah semula. Apakah dadah sedemikian berkuasa sehingga mampu mengubah diri seseorang?

Definisi

Apakah itu dadah? Dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkahlaku dan sebagainya.  Penggunaan yang berterusan akan mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Takrif ini tidak meliputi alkohol dan tembakau serta ubat yang juga merupakan bahan kimia asli atau tiruan yang digunakan untuk mengesan, mencegah atau mengubati penyakit. Dadah adalah sejenis bahan kimia atau bahan asli dan apabila dimasukkan ke dalam badan ia boleh mengubah keadaan fizikal, emosi serta tingkahlaku penggunanya. Dadah yang digunakan tanpa mengikut arahan doktor. Walau bagaimanapun, dadah ditakrifkan secara paling umum sebagai sebarang bahan atau campuran bahan yang mana penggunaannya menyebabkan perubahan-perubahan dalam fungsi dan struktur fisiologi organisme.

Jenis-Jenis Dadah Yang Kerap Digunakan

Dadah-dadah yang kerap digunakan adalah Heroin, Morfin, Candu, ganja (hashish atau marijuana atau cannabis), amphetamin, barbitured, pill mx, kokain dan lain-lain. Walau bagaimanapun, dadah yang terkenal di negeri Sabah merupakan jenis syabu (methamphetamine). SYABU ialah nama panggilan (street name), iaitu sejenis dadah. yang berada dalam kumpulan SUMUIAN yang mana istilah saintifiknya “dMethamphetamine hydrochloride”. Perkataan syabu sebenamya berasal daripada bahasa Tagalog di negara Filipina dan ianya telah menjadi satu nama yang popular digunakan di Sabah oleh kerana pengaruh pengguna-pengguna dan pengedar-pengedar pelopor di Sabah yang terdiri daripada pendatang tanpa izin yang berbangsa Filipino. Panggilan-panggilan lain yang digunakan oleh pengguna-pengguna di pasaran Sabah dan luar Sabah adalah seperti berikut:-

  1. Ice
  2. Glass
  3. Crack Meth
  4. Hiropong
  5. Batu (Stones)

Syabu adalah satu jenis dadah tiruan atau pun ‘designer drugs’ yang telah wujud sejak perperangan dunia yang kedua. Pada, ketika itu, juru terbang (Fighter pilot) menggunakan syabu perlu berjaga-jaga semasa dalam penerbangan jauh dan juga askar-askar lain berperang tanpa tidur untuk tempoh masa yang panjang.

Dari segi sejarah Sabah, syabu mulai dikesan pada awal tahun 1992 yang dipengaruh oleh pembiakan Syabu kerana kebanyakan daripada pendatang-pendatang tanpa izin warganegara Filipina di Sabah adalah pengguna syabu dan syabu yang mereka bawa bersama-sama untuk kegunaan sendiri telah diedarkan juga kepada penduduk-penduduk tempatan.

Akibat Penyalahgunaan Syabu [Methamphetamine]

Kesan-kesan negatif syabu dibahagikan kepada dua jenis iaitu jangka masa pendek dan masa panjang. Kesan negatif jangka masa pendek adalah seperti berikut:

  1. Khayalan atau halusinasi pada penglihatan dan pendengaran;
  2. Perangai cepat marah, resah dan perasaan tidak tenang;
  3. Kenaikan suhu badan dan tekanan darah tinggi; dan
  4. Bersifat agresif.

Akibat jangka masa panjang adalah seperti berikut:

  1. Kerosakan pada saraf otak dan mengalami angin ahmar (strok);
  2. Kurang siuman dan mengalami gangguan mental;
  3. Keracunan pada sistem saraf tunjang;
  4. Pergantungan psikologikal ke atas syabu dan rasa tidak boleh hidup tanpanya;
  5. Mendatangkan kerosakan pada tisu yang teruk dan boleh membawa maut; dan
  6. Boleh mengakibatkan sejenis penyakit neurologi seakan-akan Parkinson’s Disease’ yang sukar diubati.

Hukuman  Dl Bawah Akta Dadah Berbahaya, 1952

METAMPHETAMINE adalah tersenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1998) dan berkuatkuasa pada 15.9.98 mengikut Akta A 1025.

1.      Pemilik 50g dan lebih Methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

2.      Pemilik lebih 30g tetapi kurang dari 50g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

3.      Pemilik lebih 5g tetapi kurang dari 30g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 2-5 tahun dan sebatan 3-9 sebatan.

4.      Pemilik kurang dari 5g Methamphetamine boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau pemenjaraan sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

5.      Pengguna yang menggunakan Methamphetamine ke atas diri sendiri boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara. 

Statistik Penagihan

Menurut statistik yang dikumpul oleh PEMADAM Malaysia dari Januari 2005 sehingga Disember 2005, Sabah berada di tempat ke-8 daripada 15 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan dengan jumlah penagih sebanyak 2134. Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh PEMADAM, penagih mula menagih pada umur kurang daripada 13 tahun, iaitu dari sekolah rendah lagi tetapi hal ini hanya dapat dikesan ketika mereka berada di sekolah menengah kerana pemeriksaan air kencing hanya dijalankan ketika di sekolah menengah. Ini ternyata menakutkan kerana pelajar yang sepatutnya menuntut ilmu di sekolah telah mula belajar menagih dadah! Selain itu, punca utama penagih mula menagih adalah kerana pengaruh kawan iaitu kes sebanyak 13776. Dalam peringkat ini, remaja semestinya lebih bergaul rapat dengan kawan-kawan berbanding dengan ahli keluarga mereka. Ini kerana mereka berpendapat rakan mereka memahami jiwa dan keperluan mereka. Mereka lebih suka berseronok daripada menghabiskan masa bersama keluarga. Statistik PEMADAM turut mendedahkan bahawa belia yang berumur di antara 20-24 tahun adalah penagih dadah yang ketiga tertinggi jumlahnya iaitu sebanyak 5098 kes. Jika kita merenungkan perkara ini secara mendalam, dalam lingkungan umur ini, belia sepatutnya sedang menimba ilmu di institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta dan mereka sepatutnya telah boleh membezakan perkara yang baik dan perkara yang tidak baik terhadap diri mereka. Tetapi di sebalik menuntut ilmu, belia telah memilih untuk menjerumuskan diri dalam penagihan dadah daripada menimba ilmu. Jika perkara ini tidak diatasi, musnahlah harapan mereka untuk memperoleh segulung ijazah kerana dadah semestinya mampu membinasakan masa depan mereka.

Perjuangan Sengit

Apakah kesan perkara ini kepada gereja kita? Gereja memerlukan pekerja untuk meneruskan amanat yang telah diserahkan oleh Yesus Kristus agar menyebarkan Injil ke segenap pelosok dunia (Mrk 16:20). Tetapi jika ada jemaat yang terlibat dalam penagihan dadah bagaimanakah amanat ini dapat disempurnakan?

Sudah tentu diharap rakan-rakan di sekeliling kita, khasnya seiman kita sama sekali tidak terlibat dalam aktiviti negatif dadah. Namun apakah yang harus kita lakukan jika keadaan yang malang ini menimpa seiman kita? Janganlah kita menyisihkan atau menjauhkan diri daripada rakan kita. Ini kerana pada saat inilah rakan kita memerlukan kekuatan rohani untuk berhenti daripada penagihan. Masih ingatkah kita bagaimana Tuhan Yesus menyembuhkan seorang lumpuh yang diangkat oleh empat orang? (Mrk 2:1-12). Ketika itu, ramai orang sedang mendengar firman yang diberitakan oleh Tuhan Yesus. Ketika dilihat ramai orang, maka, empat orang ini bersepakat untuk membawa masuk orang lumpuh tersebut ke dalam rumah dengan menurunkannya melalui atap rumah. Mereka tidak menghiraukan keselamatan mereka. Mengapakah mereka begitu bertekun? Perbuatan ini menunjukkan bahawa mereka percaya bahawa hanya Tuhan Yesus mampu menyembuhkan rakan mereka. “Ketika Yesus melihat iman mereka, berkatalah Ia kepada orang lumpuh itu: “Hai anak-Ku, dosamu sudah diampuni!” (Mrk 2:5) Ternyata perbuatan mereka telah mengharukan Tuhan Yesus sehingga mengampuni dosa dan menyembuhkan orang lumpuh tersebut. Daripada peristiwa ini, kita tahu bahawa hanya Tuhan Yesus yang berupaya mengampuni dosa kita dan mengubah diri kita kerana di dalam Tuhan Yesus ada hidup dan kegelapan tidak dapat menguasai-Nya (Yoh 1:4-5) Sekiranya kita berdoa dengan penuh iman dan tidak meragui Tuhan Yesus, Tuhan Yesus semestinya akan membantu rakan kita agar rakan kita dapat keluar daripada maut. Oleh itu, janganlah kita berhenti berdoa demi rakan kita. Berdoalah dengan penuh kasih agar perbuatan kita dapat mengharukan hati Tuhan Yesus. “Dan doa yang lahir dari iman akan menyelamatkan orang sakit itu dan Tuhan akan membangunkan dia; dan jika ia telah berbuat dosa, maka dosanya itu akan diampuni.” (Yak 5:15).

Sebagai ibu bapa, janganlah menggunakan alasan sibuk sehingga mengabaikan tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak. Haruslah luangkan lebih banyak masa bersama anak-anak. Sebagai ibu bapa, salah satu cara untuk melayani Tuhan adalah dengan mendidik anak-anak agar takut akan Tuhan. Ini mungkin adalah pekerjaan yang paling berat dan sukar, memandangkan kita tinggal di abad ke-21 kini yang penuh dengan godaan dosa dan penyesatan dalam pelbagai jelmaan dan bentuk. Tetapi jika kita bersandar kepada Tuhan Yesus, kita akan menjadi kuat sama seperti Rasul Paulus yang menyatakan bahawa beliau menjadi kuat kerana adanya Tuhan Yesus yang memberikan kekuatan kepada beliau (Flp 4:13). Bagaimanakah beliau mendapat kekuatan itu? Beliau memperoleh kekuatan dengan sentiasa berdoa kepada Tuhan Yesus. Jika sebuah keluarga dapat berdoa bersama-sama, ini akan mengukuhkan iman dan kerohanian anak-anak dan juga ibu bapa. Tambahan pula, ini merupakan suatu pelayanan dan juga suatu persembahan yang disukai oleh Tuhan (Mzm 145:18). Dalam zaman rasul-rasul, Rasul Barnabas sangat mementingkan doa dan sering kali berdoa kepada Tuhan sehingga dipenuhi dengan Roh Kudus (Kis 11: 24) Ini kerana beliau sedar bahawa melalui doa, hubungan kita dengan Tuhan akan bertambah mesra dan juga dapat mengukuhkan iman dan kerohanian kita. Oleh itu, janganlah kita mengabaikan kehidupan yang berlandaskan doa. Haruslah kita ingat bahawa anak-anak adalah seperti sebuah botol yang kosong dan menanti untuk diisikan oleh ibu bapa. Isikanlah anak-anak kita dengan perkataan Tuhan, nasihatilah mereka dengan berlandaskan firman dalam alkitab kerana jika memarahi mereka dengan menggunakan perkataan manusia, anak-anak akan beranggapan kita suka berleter dan sebaliknya akan memalingkan muka mereka daripada kita kelak. Jika kita menggunakan kata-kata Tuhan untuk menasihati mereka, ini secara tidak langsung akan menanamkan sifat takut akan Tuhan dalam hati mereka.

Sebagai anak, haruslah kita melibatkan diri dalam aktiviti di gereja dan berkumpul bersama dengan para seiman yang lain untuk berkongsi supaya kita dapat saling mendorong untuk membangunkan kerohanian. Janganlah kita menganggap bahawa sudah mencukupi jika kita hanya menghadiri kebaktian pada hari Sabat. Sekiranya firman Tuhan tiada di dalam jiwa kita, kita akan hidup mengikuti hawa nafsu (Ams 29:18). Manusia yang tinggal di dalam kegelapan memerlukan cahaya yang terang untuk berjalan agar tidak tersandung. Firman Tuhan adalah seperti pelita (Mzm 119:105) yang akan membantu kita untuk membezakan antara baik dan jahat di mata Tuhan. Tambahan pula, firman Tuhan seperti madu yang mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh manusia dan menyegarkan (Mzm 19:11). Di manakah kita dapat memperolehi ‘madu’ ini? Sebenarnya, kita boleh memperolehi ‘madu’ ini dengan mengikuti aktiviti dan juga kebaktian gereja kita. Melalui saluran ini, kita akan dapat memahami kehendak Tuhan yang meminta agar kita menjadi kudus. Seperti yang tercatat dalam Ibrani 12:14, tidak seorang pun dapat melihat Tuhan jika tidak kudus. Pintu masuk ke syurga adalah sempit dan sukar untuk dimasuki. Oleh itu, kita harus berjuang agar dapat memasuki syurga (Lk 13:24). Janganlah kita menjauhkan diri kita daripada gereja kerana pada zaman akhir ini, iblis adalah seperti singa yang lapar dan sentiasa mencari mangsa untuk dibaham. (1 Ptr 5:8). Oleh itu, kita harus selalu mendengar firman Tuhan dan mempersembahkan masa kita untuk berdoa agar jangan terjebak dalam kancah dadah sehingga menggadaikan jiwa rohani kita.

RUJUKAN:

  1. Internet
  2. Surat khabar

(Dibaca : 339 kali)


Gereja Yesus Benar Sabah

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *