Soal Jawab Dasar Kepercayaaan Pembasuhan Kaki

Pembasuhan kaki hanya sekadar adat tradisi kaum Yahudi; ia bukanlah sakramen dan tidak mempunyai kaitan terhadap penyelamatan seseorang. Tuhan Yesus membasuh kaki pengikut-Nya untuk memberi contoh atau teladan mengenai sifat rendah hati dan pelayanan terhadap orang lain.

  • Pembasuhan kaki yang telah dimulakan oleh Tuhan Yesus adalah lebih daripada sekadar adat. Menurut tradisi, para hamba membasuh kaki tuan mereka, dan tidak pernah sebaliknya. Walau bagaimanapun, Tuhan telah membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya walaupun Ia merupakan tuan mereka. Petrus tidak menyedari hakikat ini dan enggan untuk dibasuh kaki oleh Tuhan (Yoh 13:6,8).
  • Pembasuhan kaki berkait langsung dengan aspek penyelamatan kerana sebab-sebab berikut:

(1)  Yesus memberitahu Petrus, “Jikalau Aku tidak membasuh kakimu, engkau tidak mendapat bahagian dalam Aku” (Yoh 13:8). Apabila kita menjalani pembasuhan kaki, kita mendapat bahagian dalam Tuhan. Oleh itu, pembasuhan kaki bukanlah semata- mata adat.

(2)  Yesus juga berkata: ”Barangsiapa telah mandi, ia tidak usah membasuh diri lagi selain membasuh kakinya, kerana ia sudah bersih seluruhnya.” (Yoh 13:10). Seseorang yang telah dibaptis juga perlu menerima pembasuhan kaki.

  • Walaupun pembasuhan kaki pada mulanya adalah merupakan adat tradisi, ia kemudiannya telah menjadi satu sakramen yang mempunyai kuasa dan kesan rohaniah yang mendalam setelah Tuhan Yesus melaksanakannya dan menerang perihal makna dan kesannya serta mengarahkan pengikut- pengikut-Nya untuk melaksanakan perkara yang serupa.

Pembasuhan kaki tidak mungkin merupakan sakramen. Sekiranya pembasuhan kaki adalah perkara yang sangat penting dan berkait langsung dengan keselamatan seseorang, mengapakah hal ini hanya disebut dalam Injil Yohanes dan tidak dicatatkan dalam injil- injil yang lain?

  • Walaupun pembasuhan kaki hanya ditimbulkan dalam Injil Yohanes, ia seharusnya perlu diamalkan dan perkaitannya dengan keselamatan adalah sahih.
  • Kita perlu mengamati kesemua hukum Tuhan. Walaupun perintah-perintah itu selalu disebut atau mungkin jarang ditimbulkan dalam Kitab Injil, kita tidak seharusnya mengenepikan arahan Tuhan (lihat Mt 5:18-19; Wah 22:19). Tuhan mengarahkan pengikut-pengikut-Nya untuk melaksanakan pembasuhan kaki  sebagaimana Dia telah melakukannya kepada mereka; oleh itu, kita juga perlu menurut arahan ini.

Tuhan Yesus mengarahkan para pengikut-Nya, “Jadi jikalau Aku membasuh kakimu, Aku yang adalah Tuhan dan Gurumu, maka kamupun wajib saling membasuh kakimu” (Yoh 13:14). Tetapi mengapakah hanya para diaken atau pendeta sahaja yang terlibat dalam membasuh kaki semasa sakramen ini dijalankan di dalam Gereja Yesus Benar, dan anggota lain tidak melakukan pembasuhan kaki sesama mereka?   

  • Pembasuhan kaki sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Tuhan Yesus mempunyai dua fungsi iaitu (1) sebagai sakramen (2) sebagai ajaran rohaniah

(1) Sebagai sakramen,  pembasuhan kaki bertujuan agar kita mendapat bahagian dalam Tuhan. Para pengikut tidak membasuh kaki sesama mereka semasa sakramen itu. Ini dilakukan oleh Tuhan Yesus kepada mereka. Tuhan Yesus tidak berkata: “Jikalau kamu tidak membasuh kaki sesama kamu, kamu tidak mendapat bahagian dalam Aku.”  Sebaliknya, Tuhan Yesus berkata: “Jikalau Aku tidak membasuh kakimu, engkau tidak mendapat bahagian dalam Aku.”

Pada zaman sekarang, Gereja melaksanakan sakramen pembasuhan kaki bagi pihak Tuhan supaya pemercaya yang melaluinya boleh mendapat bahagian dalam Tuhan. Sakramen tidak melibatkan pembasuhan kaki sesama umat.  Sebaliknya, tanggungjawab melaksanakan sakramen ini diberi kepada ‘dia yang diutus’ (anggota gereja yang melaksanakan sakramen bagi pihak Tuhan; ‘dia yang diutus’ = para rasul; lihat Yoh 13:16).

(2) Dari segi ajaran rohaniah, pembasuhan kaki mengajar pemercaya bahawa mereka harus saling mengasihi (Yoh 13:1), melayani (Yoh 13:4-5; 12-17), mengampuni (Yesus juga telah membasuh kaki Yudas Iskariot), dan memelihara kekudusan mereka (Yoh 13:10). Walaupun pembasuhan kaki  sesama umat masih dilaksanakan pada masa-masa tertentu, apa yang lebih penting adalah kita menuruti ajaran di sebalik perbuatan ini.

(Dibaca : 296 kali)


Gereja Yesus Benar Sabah

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *