Hits: 289

Oleh: Nydia

Firman Tuhan itu pelita bagi kaki dan terang bagi jalan kita.  Lantaran itu, ketika mendengar firman Tuhan sudah pasti ada di antara kita yang pernah merasa terharu dan dengan rendah hati kita menerimanya serta berkata: “Tuhan menyayangi saya, Dia telah mengutus hamba-Nya untuk menguraikan segala kekusutan dan belenggu dalam batin saya setelah sekian lama diperhambakan oleh minuman keras ini.”

Atau, mungkinkah tanpa disedari, pernah ada di kalangan kita yang tidak berpuas hati tatkala pengkhotbah berbicara tentang minuman keras? Atau pernahkah kita terfikir bahawa khotbah itu sengaja disampaikan untuk mengenakan kita? Adakah minuman keras itu haram sama sekali?…dan bermacam-macam lagi bantahan yang muncul dari dalam benak kita.

Menyentuh tentang masalah minuman keras, sebenarnya banyak misteri yang masih tidak diketahui umum, termasuklah kesan terhadap kehidupan jasmani, lebih-lebih lagi terhadap kerohanian kita kerana perkara ini berkaitan dengan soal keselamatan sebagai umat yang telah ditebus oleh Tuhan Yesus melalui pengorbanan agung-Nya di bukit Golgota. Lantaran itu, dalam ruangan ini, penulis ingin membawa saudara-saudari pembaca sekalian melihat ‘minuman keras’ dari dua sudut pandangan iaitu berkenaan dengan corak hidup sebagai Kristian dan kesannya terhadap kerohanian kita.

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut implikasi ketagihan minuman keras ini berdasarkan alkitab, terlebih dahulu kita lihat kesan penggunaan alkohol atau apa sahaja jenis minuman keras ini dalam kehidupan manusia.

Sudut Kehidupan Jasmani

Aspek Kesihatan

Tanpa kesihatan, apakah ertinya hidup manusia?  Setiap orang menginginkan tubuh badan yang sihat, kuat dan dengan itu barulah dapat memenuhi segala impian dengan baik.  Namun tanpa disedari, kesakitan itu kerap kali diakibatkan oleh kecuaian kita sendiri. Misalnya kerana tidak menjaga pemakanan dengan baik, terjadilah masalah kesihatan yang melibatkan dan mencederakan organ-organ penting dalam tubuh kita.  Tidak sedikit juga yang mendapat penyakit berbahaya akibat daripada ketagihan dengan minuman keras.  Sebenarnya amalan meminum alkohol adalah satu tabiat yang buruk, umpama kombinasi dadah dan racun dalam badan kita.  Ramuan utama dalam minuman keras ialah etanol, sejenis bahan kimia yang berupaya menekan aktiviti otak, seterusnya mengubah kewibawaan akal fikiran.  Akibatnya seseorang itu akan melakukan apa sahaja termasuklah perkara yang boleh mendatangkan kecelakaan ataupun memalukan diri sendiri.  Otak tidak dapat berfungsi dengan waras apabila berlaku pengambilan alkohol pada tahap-tahap tertentu.  Seringkali kita mendengar kes-kes yang tidak baik terjadi akibat daripada mabuk.  Jadual berikut menunjukkan paras alkohol dalam darah serta kesannya ke atas otak manusia.

Paras alkohol dalam darah (mg/dl) Kesan pada otak
20 Pergaulan sosial meningkat
30 Euforia (rasa gembira yang amat sangat)
50 Koordinasi otot berkurangan
80 Pengimbangan tubuh, pertuturan, penglihatan, dan pendengaran terganggu
100 Kehilangan koordinasi otot
300 Mengantuk, muntah
400 Pembiusan dalam tubuh
500 Penindasan pernafasan, maut

 

Selain itu, minuman keras juga mampu menjejaskan seluruh sistem dalam tubuh manusia.  Perhatikan gambar berikut:

Kesan Alkohol Terhadap Otak Kesan Alkohol Terhadap Manusia Secara Umum
Alkohol        usus kecil        darah

 

Saudara-saudaraku yang kekasih, karena kita sekarang memiliki janji-janji itu, marilah kita menyucikan diri kita dari semua pencemaran jasmani dan rohani, dan dengan demikian menyempurnakan kekudusan kita dalam takut akan Allah~II Kor 7:1.

 

jantung         seluruh tubuh
otak             urat saraf
  • kurang sifat malu
  • fikiran bercelaru
  • pergerakannya tidak terkawal.
  • kurang keupayaan dari segi:
  • belajar
  • membentuk idea spontan
  • menumpukan fikiran
  • membuat pertimbangan yang teliti.

II Korintus 3:16-17                          Tidak tahukah kamu, bahwa kamu adalah bait Allah dan bahwa Roh Allah diam di dalam kamu? Jika ada orang yang membinasakan bait Allah, maka Allah akan membinasakan dia. Sebab bait Allah adalah kudus dan bait Allah itu ialah kamu.

 

KESAN ALKOHOL TERHADAP DIRI SENDIRI

1.   Kesan Alkohol Terhadap Hati  – sirosis hati (parut); hepatitis B ~ boleh membawa maut

2.   Kesan Alkohol Terhadap Perut  kerengsaan perut (gastritis);  Ulser perut

3.   Kesan Alkohol Terhadap Saraf – Sindrom Wernicke-Korsakoff; Kerosakan sel-sel otak;
Komplikasi psikiatri

4.   Kesan Alkohol Terhadap Janin (dalam kandungan) – kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan.

5.   Kesan-kesan lain – Alkohol juga bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh.

– Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat.

– Lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap

Aspek Ekonomi – Pembaziran

Seorang saudara seiman pernah berkata: “Orang luar mengatakan saya pandai menyimpan wang tetapi sebenarnya bukan begitu.  Mengapakah kedudukan ekonomi saya kelihatan lebih baik daripada mereka?  Kerana saya tidak merokok, juga tidak minum minuman keras.  Oleh kerana tidak terlibat dalam dua perkara inilah maka saya dapat menabung berbanding dengan mereka yang lain.”   Renungkan perkataan saudara tadi, kemudian perhatikan sekeliling kita.  Bagaimanakah keadaan ekonomi mereka yang sentiasa menjadi hamba kepada minuman keras?  Jika dilihat corak hidup masyarakat desa, tidak sedikit yang mempunyai kemahiran untuk membina rumah.  Tetapi kenapakah kedudukan ekonomi mereka tidak meningkat?  Jawapannya mudah, wang ringgit yang diperolehi sebahagian besarnya dibelanjakan untuk minuman keras dan rokok sahaja.  Kesakitan kerana mabuk juga menghalang seseorang daripada bekerja dengan normal.  Sudah pasti mereka membuang masa beberapa hari tanpa melakukan apa-apa usaha kerana mabuk dan tidak dapat bekerja selagi mereka belum pulih.  Bayangkan, betapa banyaknya pembaziran dari segi kewangan dan masa akibat menjadi hamba kepada minuman keras ini.

Aspek Keluarga – Keruntuhan Rumah tangga

Di mana-manapun kita mendengar khabar tentang gejala keruntuhan rumah tangga.  Bukankah perkara seperti ini amat keji pada pandangan Tuhan?  Mengapakah perkara seperti ini tetap saja berlaku? Adakah ia merupakan kemestian dalam era moden ini?  Sebenarnya sebahagian besar daripada masalah keruntuhan rumah tangga ini berlaku akibat minuman keras dan kemabukan juga.  Perhatikan di sekeliling kita, berapa banyakkah keluarga yang menemui kehancuran disebabkan oleh minuman keras? Bagaimanakah perasaan kita apabila melihat ahli kelurga yang menjadi mangsa akibat tindakan yang tidak bertanggung jawab?  Larangan terhadap ketagihan minuman keras ini bukanlah tidak berasas.  Dalam alkitab mengatakan bahawa sesiapa yang bergaul dengan si pemabuk akan menjadi sahabat si perosak.  Kenapakah terjadi pertengkaran, pergaduhan (Ams 23:29), malah perceraian dalam keluarga?  Tidak sedikit kes-kes yang penulis nyatakan tadi tercetus akibat kemabukan.  Apa yang paling menyedihkan lagi ialah berlaku kes berat yang melibatkan dosa maut…hukum ketujuh…akibat mabuk minuman keras!  Bukankah perkara-perkara sebegini dipandang keji oleh manusia juga?  Terlebih lagi pada pandangan Tuhan kita yang suci; sama sekali tidak menghendaki umat tebusan-Nya menyakiti hati Tuhan.  Saudara-saudari pembaca sekalian, sanggupkah kita mempertaruhkan kebahagiaan rumah tangga dan hidup kekal demi minuman keras?  Adakah ini berbaloi?

Sudut Kehidupan Rohani

Terlebih dahulu kita perhatikan beberapa contoh ayat dalam alkitab yang menyentuh tentang minuman keras ini.  (Dalam alkitab bahasa Indonesia seringkali menggunakan perkataan anggur; berbeza dengan teks dalam bahasa asal penulisan alkitab, istilah ini mempunyai istilah-istilah khasnya yang membawa maksudnya sendiri.  Dalam alkitab ada mencatatkan beberapa peristiwa yang menyentuh tentang anggur ataupun ditulis sebagai ‘wine’ dalam bahasa Inggeris).   Istilah ini pertama kali muncul dalam Kejadian fasal 9 iaitu peristiwa selepas air bah, Nuh telah menjadi petani dan dialah yang mula-mula menanam anggur.  Perbuatan Nuh tidaklah salah kerana menanam anggur adalah perkara yang baik.  Malah, Dari aspek kesihatan, khasiat buah anggur amat tinggi dan sering kali dikaitkan dengan kecerdasan otak dan memori seseorang.  Namun masalah yang timbul di sini ialah Nuh telah membuat anggur yang memabukkan.  Akibatnya  pula dahsyat sekali…telanjang dalam khemahnya, bahkan telah mengutuki keturunan anak bungsunya berpunca daripada perbuatan mabuknya sendiri; suatu hal yang telah mendatangkan kesan yang sangat ketara dalam sejarah manusia sehingga ke saat ini.

Sebelum berbicara dengan lebih lanjut lagi, penulis ingin berkongsi dengan saudara-saudari pembaca tentang pangalaman yang penulis sendiri pernah lalui.  Pernah pada suatu ketika, penulis telah menghadiri suatu seminar yang dianjurkan di sebuah gereja tempatan.  Kebetulan pada akhir sesi itu ada ruangan untuk sesi soal jawab.  Penulis sendiri agak terkejut apabila pendeta membaca suatu soalan yang dikemukakan oleh peserta seminar, bunyinya lebih kurang begini: “Adakah minuman keras itu tidak dibenarkan sama sekali?  Kalau tidak diperbolehkan, kenapakah mukjizat pertama yang dilakukan oleh Tuhan Yesus ialah menjadikan anggur daripada air?”

Peristiwa dalam Yohanes fasal 2 ini memang digemari oleh mereka yang ketagih dengan minuman keras.  Bagaimanapun, tidak pernah dicatatkan dalam alkitab bahawa anggur yang dibuat oleh Tuhan Yesus itu memabukkan, juga tidak dinyatakan bahawa terjadi kekecohan dan hal-hal yang tidak baik selepas itu.  Terdapat komen yang mengkaji tentang wain dalam alkitab, juga menyentuh tentang anggur yang terhasil atas tanda ajaib pertama yang dilakukan oleh Tuhan Yesus (Yohanes 2:10). Ia dikenali sebagai oinos dalam bahasa Yunani.  Oinos yang dihasilkan oleh Yesus dalam majlis perkahwinan tersebut dalam kuantiti sesuai serta kualiti yang terbaik.  Samuele Bacchiocchi (dalam karyanya Wine in the Bible, Signal Press, 1989, halaman 22) mengatakan pendapatnya bahawa anggur itu ditujukan kepada anggur yang segar…Kesejajaran moral menuntut bahawa Kristus tidak mungkin telah menghasilkan secara ajaib antara 120 dan 180 gelen wain yang memabukkan untuk digunakan oleh lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang berkumpul dalam pesta di Kana itu tanpa tanggungjawab secara moral untuk kemabukan mereka.  Kesejajaran alkitab dan moral menuntut bahawa ”wain/anggur yang baik” yang dihasilkan oleh Kristus adalah jus anggur yang segar dan tidak ditapaikan.  Ini disokong oleh kata adjektif yang digunakan untuk menggambarkannya, iaitu kalos, yang menandakan ia sangat baik dari segi moral, dan bukannya agathos, yang hanya bermakna baik.

Berkaitan dengan soalan tadi juga, jawapan untuk pertanyaan tersebut wajar untuk dijadikan garis panduan dalam kehidupan kita sebagai umat Kristian pada masa sekarang.

Pertama, minuman keras bukanlah dilarang sama sekali dalam kehidupan umat Kristian; cuma ia bergantung kepada bagaimana ia digunakan.  Sebagai contoh:  Banyak orang mempercayai bahawa ibu-ibu yang baru bersalin adalah lebih baik meminum sup yang dicampur dengan lihing, sejenis arak tempatan.  Dalam aspek ini, penggunaannya adalah sebagai ubat yang dapat membantu peredaran darah si ibu serta bertindak untuk memanaskan badan dan seterusnya dipercayai untuk membuang angin dalam badan si ibu itu.  Penggunaannya juga ada sukatan yang tertentu dan dalam konteks ini, ia tidak memudaratkan si ibu.

Dalam contoh pertama di atas, sepatutnya masyarakat kita amat biasa dengan penggunaannya.  Juga dipercayai kebanyakan kaum ibu yang menggunakannya tidak juga rasa ketagih selepas tempoh sekurang-kurangnya satu bulan menggunakan minuman keras ini.  Malahan tidak sedikit di kalangan ibu yang mengatakan mereka sudah  bosan diberi lauk yang dicampur dengan minuman keras ini selepas satu minggu.  Selain itu, ia juga tidak mendatangkan kesan yang memudaratkan, maksud penulis, tiada kes seorang ibu (bukan pemabuk) yang baru melahirkan anak itu yang merasa ketagih dan ingin terus meminum lihing ini sejurus tamat tempoh berpantang itu.

Kedua, dalam alkitab kita pernah juga mendengar saranan daripada Rasul Paulus supaya Timotius, penginjil muda itu menambahkan sedikit anggur dalam minumannya dan jangan hanya minum air sahaja.  Ini berkait rapat dengan masalah pencernaan yang dialami oleh Timotius ketika itu (I Tim 5:23). Contoh ini amat jelas bahawa penggunaan anggur sebagai ubat adalah wajar. Selain itu, dalam perumpamaan Tuhan Yesus tentang ’Orang Samaria yang baik hati’, jika kita perhatikan dalam Lukas 10:34 mengatakan, orang yang malang itu dirawat dengan minyak zaitun dan anggur.  Jika digunakan dengan tujuan kesihatan, penggunaannya tidaklah menjadi masalah.

Penulis masih ingat, pendeta dengan tegas menekankan larangan Tuhan terhadap minuman keras dan kemabukan dengan mengatakan bahawa orang yang lebih sayang akan minuman kerasnya seolah-olah memilih untuk tidak mendapat bahagian dalam Kerajaan Tuhan.  Bukankah ini suatu peringatan yang cukup tegas? Mengapakah masih ada seiman yang sanggup mempertaruhkan keselamatan rohani mereka semata-mata kerana minuman keras yang boleh memudaratkan kesihatan, apatah lagi terhadap kerohanian?

Mengapa dilarang?

Dalam alkitab juga memperlihatkan kekangan terhadap pengambilan anggur (minuman keras).  Perhatikan dalam kitab Amsal 20:1; 23:20; 23:29; Roma 13:13;  …banyak perkataan ’celaka’ dan larangan yang ditujukan kepada penggemar anggur.  Tujuan ayat ini ditulis adalah untuk memperingatkan jemaat agar jangan terpengaruh dengan mereka yang berkebiasaan buruk seperti pemabuk.

Yesaya 5:11 ~ Celakalah mereka yang bangun pagi-pagi dan terus mencari minuman keras, dan yang duduk-duduk

Bagaimana Menghindari?

Ayat yang paling tegas pula ialah dalam perjanjian baru.  Dalam konteks ini, larangan terhadap kemabukan dikaitkan dengan keselamatan jiwa rohani kita dan kerajaan syurga. Bukankah ayat-ayat kitab ini begitu serius memperingatkan umat tebusan darah Tuhan agar menghindari kemabukan dan pesta pora?  Kenapakah hal ini ditekankan?  Sehubungan itu, alkitab juga memberikan panduan kepada umat Tuhan untuk menghindari kebiasaan buruk ini.  Perhatikan ayat-ayat di bawah.

I Korintus 5:11      Tetapi yang kutuliskan kepada kamu ialah, supaya kamu jangan bergaul dengan orang, yang sekalipun menyebut dirinya saudara,

Rom 13:13 Marilah kita hidup dengan sopan, seperti pada siang hari, jangan dalam pesta pora dan kemabukan, jangan dalam percabulan dan

Lukas 21:34  “Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan dengan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti suatu jerat.

Galatia 5:21    kedengkian, kemabukan, pesta pora dan sebagainya. Terhadap semuanya itu kuperingatkan kamu–seperti yang telah kubuat dahulu–bahwa barangsiapa melakukan hal-hal yang demikian, ia tidak akan

I Korintus 6:9-10    Atau tidak tahukah kamu, bahwa orang-orang yang tidak adil tidak akan mendapat bagian dalam Kerajaan Allah? Janganlah sesat! Orang cabul, penyembah berhala, orang berzinah, banci, orang

Di samping berjaga-jaga, dan menyimpan Firman Tuhan dalam hati, rupanya memilih teman bergaul yang baik juga satu cara  untuk meninggalkan kebiasaan yang tidak baik.  Bertindaklah dengan bijaksana untuk mengendalikan perkara ini melalui bantuan Roh Kudus.  Berdasarkan Efesus 5:18, dipenuhi Roh Kudus merupakan cara yang paling berkesan untuk meninggalkan ketagihan minuman keras.

Renungan

Adakah kita bebas daripada minuman keras?  Atau masihkah kita menjadi hamba kepada minuman keras? Selagi ada kesempatan, marilah berusaha untuk memperbaiki kerohanian masing-masing, khususnya dalam topik yang dibincangkan di atas.  Sekiranya kita masih tergolong dalam masalah minuman keras, berusahalah untuk mengatasinya.  Firman Tuhan itu tegas, ia juga merupakan standard yang harus dituruti oleh umat-Nya.  Perkara terpenting yang harus diingat sekarang ialah status kita sebagai anak Tuhan; gelaran ini bukannya datang bergolek kepada kita.  Janganlah sama sekali menyangka bahawa kehadiran kita dalam gereja ini dalah atas usaha kita mahupun moyang kita sendiri, melainkan melalui rahmat-Nya.  Tuhan Yesus sendiri mengatakan ”Bukan kamu yang memilih Aku tetapi Akulah yang memilih kamu…(Yohanes 15:16).”

Justeru, mengapakah kita harus sia-siakan anugerah itu?  Dari antara jutaan manusia, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, ”Mengapakah saya dipilih Tuhan?”  Kenalilah diri kita sendiri.  Siapakah kita sebenarnya? Perhatikan Firman berikut:

Atau tidak tahukah kamu, bahwa tubuhmu adalah bait Roh Kudus yang diam di dalam kamu, Roh Kudus yang kamu peroleh dari Allah, …dan bahwa kamu bukan milik kamu sendiri?  II Korintus 6:19     Sebab kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: Karena itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu!   II Korintus 6:20

Barangsiapa Ku-kasihi, ia Ku-tegur dan Ku-hajar, relakanlah dirimu dan bertobatlah.  Wahyu 3:19

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *