Telefon Bimbit : Memudahkan atau memudaratkan?

Oleh Sdr. Joel Thomas

Pengenalan

Perkembangan dalam bidang telekomunikasi di dalam negara telah menyogokkan gaya hidup baru serta mengubah citarasa pengguna.  Telefon bimbit telah menjadi ikon gaya hidup masyarakat sekarang dan tanpanya akan membantutkan mereka berurusan dengan lancar.

Jenis telefon bimbit pula memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kehidupan seseorang. Telefon bimbit seolah-olah membentuk imej penting seorang individu.   Mereka mementingkan saiz, warna serta nada dering.  Perkhidmatan yang paling popular menerusi telefon bimbit adalah sistem pesanan ringkas (SMS).  Melalui sms, mereka boleh berinteraksi secara terus diantara mereka sama ada melalui mesej pendek, mesej bergambar, mendapatkan maklumat-maklumat semasa, mencari kenalan, serta mengirimkan kad-kad ucapan yang mengandungi gambar,suara dan lagu.

Kesan Positif

Tidak dinafikan, penggunaan telefon bimbit telah membantu memudahkan urusan pengguna.  Telefon bimbit banyak membantu terutama sekali dalam bidang perhubungan.  Kalau dulunya, seseorang menggunakan telefon rumah atau  terpaksa mencari telefon awam untuk menelefon jika ada kes-kes kecemasan namun dengan adanya telefon bimbit, pengguna boleh menghubungi seseorang pada bila-bila masa dan di mana saja. Telefon bimbit memudahkan urusan kita sehari-hari.

Bagi pemercaya kristian, tentu sekali fungsi  telefon bimbit bukan hanya sekadar perbualan biasa atau SMS bertanyakan khabar.  Kita boleh menggunakan segala kelebihan   yang telah dijelmakan dalam telefon bimbit untuk perkara-perkara yang melibatkan  kehidupan rohani kita seperti hal-hal yang berkaitan dengan  keagamaan dan keimanan.  Bukan saja setakat itu malah aspek-aspek  pengembalaan dan penginjilan akan menjadi lebih mudah dengan adanya telefon bimbit. Dorongan dan nasihat-nasihat rohani dalam kalangan sesama seiman dapat disampaikan dengan mudah. Selain itu, maklumat-maklumat penting berkaitan dengan mesyuarat gereja, jadual-jadual tugas serta aktiviti-aktiviti rohani sepanjang minggu dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan selain adanya kemudahan reminders dalam telefon bimbit.

Bagi telefon bimbit yang lebih canggih, boleh memuat turun lagu-lagu rohani serta menyimpan sebuah alkitab dalam datanya.  Maksudnya, dalam sesetengah situasi, pemilik telefon bimbit tadi tidak perlu memegang alkitab kerana semua isi alkitab bermula kejadian hingga wahyu tersimpan dalam memori telefon bimbitnya.  Bukan setakat itu malah telefon bimbit juga boleh menyimpan buku-buku rohani dalam datanya.  Pendek kata, telefon bimbit juga merupakan perpustakaan mini yang boleh  dibawa kemana-mana dengan mudah.

Tidak dinafikan, kemudahan telefon bimbit banyak memberikan manfaat kepada jemaat namun kita tidak boleh lari dari kesan negatifnya.

Kesan Negatif

Mari kita tinjau pula kesan penggunaan handphone dalam komuniti kristian khususnya dari sudut ibadah.  Apakah penggunaan telepon bimbit berjaya  menyumbangkan taraf iman yang lebih baik seiring dengan kemajuan telekomunikasi?  Bagi mengkaji kesan penggunaan handphone terhadap kehidupan ibadah kristian khususnya golongan remaja dan pelajar, satu  kajian yang lebih mendalam mungkin perlu dilakukan.  Apa yang dikongsikan di sini hanyalah satu pandangan peribadi penulis.

Kesan negatif  penggunaan handphone khususnya kepada pelajar dan remaja

i.                    Membazir kewangan

Tidak dapat dinafikan, hampir semua remaja dan golongan pelajar mempunyai hasrat serta keinginan untuk memiliki handphone.  Berdasarkan pemerhatian rambang, golongan remaja merupakan golongan yang paling aktif menggunakan handphone terutamanya khidmat pesanan ringkas (SMS).  Ada pula yang sanggup mengumpulkan duit saku (duit belanja harian yang diberikan oleh ibu bapa) semata-mata untuk membeli reload handphone.  Tidak kurang pula yang mendesak ibu bapa agar mengisi handphone mereka.  Remaja gereja kita turut terjerat dalam fenomena ini. Situasi ini tentu sekali menambah budjet perbelanjaan keluarga disamping menambah tekanan ibu bapa.  Dalam sesetengah kes pula, guru-guru pendidikan agama mengeluh kerana wang persembahan pelajar Divisi Pendidikan Agama menampakkan kemerosotan yang begitu ketara.  Apakah kaitan handphone dengan  penurunan jumlah peratus persembahan pelajar kelas pendidikan agama?  Mungkinkah wang persembahan yang sepatutnya dimasukkan ke dalam peti persembahan telah disalahgunakan oleh pelajar?  Mungkinkah pelajar menggunakan wang persembahan untuk tujuan yang lain seperti mengisi semula (reload) handphone?  Kita tidak boleh mempersalahkan guru pendidikan agama jika berfikiran seperti itu kerana kemungkinan ada kebenarannya walaupun satu kajian yang saintifik belum dibuat.

ii.                  Membuang  masa

Sama ada percaya atau tidak, penggunaan handphone banyak mencuri masa si pengguna.  Apa yang dapat dilihat, hampir semua remaja yang mempunyai handphone tidak dapat lepas dari memegang handphone. Handphone dibelai, digenggam bahkan menjadi teman setia sepanjang masa.  Ada pula yang terlalu ketagih dengan handphone sehingga tidak dapat melakukan apa-apa aktiviti jika handphone terlepas dari genggaman.  Handphone akhirnya merampas masa bersama-sama dengan keluarga (anak-anak yang mempunyai handphone lebih rela untuk memilih handphone ~ bertelefon dan SMS berbanding mengambil masa bersama ibu bapa mereka) bahkan turut merampas masa untuk Tuhan.  Sebahagian pengguna handphone bertelefon berjam-jam…berbalas SMS sepanjang malam. hairan ! Duit tidak pandai habis habis….  Ada pula remaja yang terus masuk ke bilik atau keluar ke halaman rumah, lepak di perhentian bas atau pondok-pondok rehat untuk mengelak dari “gangguan”.  Penggunaan hadphone yang tidak terkawal merampas masa mengulangkaji pelajaran sekolah, mencuri masa membaca alkitab dan menjejaskan keakraban sesebuah keluarga.  Penggunaan handpnone tanpa kawalan akan menjejaskan perancangan peribadi dan yang pasti, mencuri banyak masa yang bernilai.

iii.                Merosakkan penumpuan dalam ibadah

Mungkin ada yang bersetuju dengan saya jika saya mengatakan bahawa penggunaan handphone telah merosakkan penumpuan dalam ibadah.  Tidak sedikit seiman kita yang membawa handphone ke aula gereja.  Apa yang menyedihkan, golongan ini seolah-olah berada dalam dunia yang tersendiri walaupun tubuh berada dalam aula gereja tetapi hati dan pikiran berada jauh dari Tuhan.  Jangankan mencatat firman Tuhan.  Alkitab depan mata hanya menjadi perhiasan.  Jika diamat-amati, golongan ini sedang sibuk membelek-belekkan handphone.  Ada yang sedang berSMS, ada yang bermain game, ada pula yang tidak segan silu menelepon dan menjawab panggilan walaupun kesaksian firman Tuhan sedang dijalankan. Yang lebih parah, ada pula yang memperlekehkan tatatertib doa dengan sikap yang amat menyedihkan.  Nampaknya mereka kelihatan seakan-akan berlutut(seolah-olah sedang berdoa) tetapi jari jemari sibuk dengan SMS atau bermain game.  Tanpa perasaan bersalah berada di dunia yang tersendiri sedangkan jemaat lain sedang berkonsentrasi dalam doa bahasa roh. Sikap seperti ini bukan saja tidak sopan tetapi menghina Allah  yang kita sembah.  Tidak hairanlah, sebahagian dari gereja kita di Sabah dan Semenanjung Malaysia melekatkan stiker “No Handphone” di pintu gereja.  Pihak gereja terpaksa melekatkan larangan pengunaan hadphone dalam aula gereja kerana melihat kesan negative penggunaan handphone semasa kebaktian.  Mungkin benarlah pandangan yang mengatakan bahawa si jahat menggunakan handphone untuk mencuri hati dan perasaan jemaat agar tidak dapat menumpukan perhatian semasa mendengar khotbah

iv.                Penyebar gambar pornografi

Penyebaran gambar-gambar serta imej-imej yang yang berunsurkan lucah dalam hadphone bukanlah sesuatu yang baru. Malah sesetengah pengguna menggunakan kelebihan yang ada dalam handphone untuk merakam dan seterusnya menyebarkan pula kepada kawan-kawan.  Perkara ini tidak dianggap sebagai satu hal yang serius oleh masyarakat dunia namun kita takut, penyakit ini lambat laun akan merebak terhadap pemercaya kita.  Mungkin ada pihak yang tidak menganggap perkara ini sebagai satu yang salah namun harus diingat ! Iblis seringkali melalaikan dan memanipulasikan manusia melalui perkara-perkara yang berkaitan dengan keinginan daging dan keinginan mata.

Kesan negatif lain

Gelombang radio yg dikeluarkan oleh telefon bimbit boleh menyebabkan kerosakan pada DNA manusia. Ini merupakan hasil ujian makmal yang dilakukan oleh sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Reflek, yang ditaja oleh kesatuan eropah.  Kajian ini dilakukan oleh 12 kumpulan penyelidik di 7 buah Negara eropah memakan masa 4 tahun dan diselaraskan oleh kumpulan Verum dari Jerman.  Ia diadakan untuk mengkaji kesan radiasi terhadap terhadap sel manusia dan haiwan di dalam makmal.

Dalam kajian trsebut, sel manusia dan haiwan telah didedahkan dengan bahan elektromagnetik yang terdapat dalam telefon bimbit. Didapati selepas mengalami pendedahan itu, sel ini mengalami perpecahan rantai DNA .  Kerosakan ini dikatakan tidak boleh dibaiki oleh sel berkenaan.  DNA membawa bahan genetik sesuatu organisme selain sel berlainan.  Kerosakan tesebut akan kekal bagi sel generasi akan datang.  Ini bermaksud, perubahan pada sel atau mutasi itu boleh menjadi punca barah.

Sungguhpun para penyelidik menyatakan bahawa kajian tersebut belum dapat dengan pasti membuktikan sebarang risiko kesihatan, tetapi kesan ‘genotoksik’ dan ‘fenotifik’ daripada kajian tersebut menunjukkan kajian lebih lanjut perlu dilakukan terhadap haiwan dan manusia bagi mengetahui kesan terhadapnya.

Para pengkaji yang diketuai oleh Franz Adikoper, menasihatkan para pengguna agar mengelak daripada menggunakan telefon bimbit jika mempunyai alternative talian tetap selain menggunakan ‘earphone’ ( Sumber : majalah Pengguna)

Kesimpulan

Penggunaan  handphone bukanlah sesuatu yang tidak baik.  Pemercaya kita wajar untuk memajukan diri dengan segala peluang yang ada.  Handphone kini telah menjadi alat yang sangat penting dalam kehidupan.  Penggunaan alat telekomunikasi seperti hadnphone  banyak membantu kerja sehari-hari bahkan  handphone juga boleh mejadi alat penghibur kerana selain fungsi sebagai alat perhubungan, sesetengah handphone turut menyediakan fungsi tambahan sebagai  kamera,alat perakam,radio dan sebagainya.  Tidak sedikit pemercaya kita yang memasukkan lagu-lagu dan muzik rohani dalam handphone.  Handphone turut memudahkan kerja-kerja suci jika digunakan dengan cara bijak. Sungguhpun demikian, jika tidak digunakan dengan cara bijak, handphone seolah-olah menjadi tuan dan pengguna pula menjadi hamba. Inilah perkara yang harus dielakkan.

(Dibaca : 520 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *