Guru dan Murid Menuju Kesempurnaan Dalam Kristus

Oleh: Pdt. Lazarus Gunchuab

“Ibubapa dan pemimpin gereja adalah guru di dunia ini, Tuhan menuntut tanggungjawab lebih berat daripada mereka”

Yesus Kristus berkata “kamu menyebut Aku Guru dan Tuhan, dan katamu itu tepat…” (Yoh 13:13). Kini tanggungjawab sebagai guru dalam gereja disandang oleh semua jemaat. Ibubapa merupakan guru kepada anak-anak dan barisan pemimpin agama juga merupakan guru. Dalam masa yang sama guru juga adalah murid kerana guru di dunia sekarang perlu belajar menyempurnakan rohani daripada guru segala guru yakni Tuhan Yesus Kristus.

Ukuran Lebih Berat

Guru merupakan penggerak, pemimpin dan teladan bagi murid untuk menjadikan murid sebagai pelapis dan pemimpin keluarga dan gereja berkualiti masa depan. Justeru ukuran Tuhan kepada guru adalah lebih berat berbanding orang lain (Yak 3:1). Lantaran itu guru perlu menuju ksempurnaan yang hakiki.

Langkah Menuju Kesempurnaan

Penyempurnaan rohani guru-guru perlu melalui usaha berterusan seumur hidup mereka. Langkah menuju kesempurnaan rohani adalah..

1. Latihan berterusan

Melatih tubuh secara berterusan dan menguasainya supaya guru-guru dapat menyelamatkan dirinya sendiri dan orang lain. Kita melihat peringkat usia dan latarbelakang guru di dalam keluarga kristian masa kini iaitu:

Usia 13 – 19 tahun

Kebanyakan mereka merupakan pelajar sekolah menengah yang mempersembahkan diri sebagai guru dalam pendidikan agama. Pengalaman secara teknikal mengajar sememangnya kurang. Kestabilan dan daya tahan dalam tugas banyak dipengaruhi oleh emosi dan factor ibubapa dan kawan-kawan di sekelilingnya.

Usia 20 – 24 tahun

Kebanyakan guru dalam lingkungan usia ini merupakan lepasan bangku sekolah. Mereka kebanyakannya baru masuk ke alam masyarakat untuk mencari pekerjaan. Berlaku kecelaruan hati untuk menseimbangkan tuntutan kerjaya masyarakat dan guru pendidikan agama. Tidak sedikit orang yang seusia ini jatuh dan menjadi dingin sebagai guru pendidikan.

Usia 25 – 30 tahun

Pemercaya usia ini melangkah ke alam berumah tangga. Pendek kata mereka sarat dengan tanggungjawab rumah tangga, kerjaya dan dalam proses melatih dan melaksanakan tanggungjawab soal kehidupan beragama dan duniawi.

Usia 30 tahun ke atas

Usia seperti ini berkhidmat dalam gereja dengan penuh kekuatan dan kestabilan. Namun manusia dalam usia ini juga memikirkan, merancang dan berusaha mengejar suatu tahap pencapaian kesempurnaan keselesaan hidup dalam tahun-tahun yang ada di depannya. Entah tahun-tahun yang dimaksudkan dalam hatinya itu 20 tahun atau 30 tahun kehadapan.

Guru agama, ibubapa atau pekerja suci harus mengenal kecenderungan hati kita apabila mencapai setiap tahap usia yang disebutkan tadi. Demi mencapai tujuan melatih diri secara berterusan maka harus menggunakan..

  1. Hikmat dari atas (Yak 3: 17) “murni, pendamai, peramah, penurut, penuh belas kasihan dan buah-buah yang baik, tidak memihak dan tidak munafik.
  2. Menghasilkan buah roh (Gal 5:22 -23) “kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan, penguasaan diri..”
  3. Taat melakukan Firman (Yoh 14:21)

 

2.Mengejar Kekudusan seumur hidup

Tuhan tidak melihat perawakan seseorang guru. Ramai juga ibubapa tidak berperawakan tinggi namun berjaya mendidik anak-anaknya dalam kerohanian dan duniawi. (1  Sam 16:7). Tuhan hanya menggunakan orang yang menguduskan dirinya sebagai alat bagi pekerjaan kudus (2 Tim 2:21)

3.Mendirikan Hubungan Dengan Tuhan

a. Doa

Tugas sebagai seorang guru kristian sama ada mendidik di gereja atau mendidik di rumah merupakan tanggungjawab berat. Guru perlu menyediakan alat bantu mengajar, mengurus kelas, tugas mendoakan murid-murid, melawat murid-murid dan banyak lagi. Semua kerja itu dilakukan tanpa imbuhan wang ringgit. Tiada sesiapa yang tahu jerih payah guru-guru. Semuanya dilakukan oleh guru dengan semangat menyangkal diri sendiri. Dalam setiap ranjau dan onak duri tugas guru harus di landaskan pada doa (Filipi 4:13). Tanpa doa, guru umpama telefon bimbit (handphone) yang tidak mempunyai cas. Justeru setiap masa harus dirinya dicas semula (recharge) untuk mendapatkan kuasa dari atas dan kekuatan menjalankan tugas. Mendoakan orang lain dapat membantu kerja dilaksanakan dengan lancar (Kol 1:9, 1 Tes 1:7))

b. Belajar, taat dan setia Melakukan Firman Tuhan

Mendirikan hubungan dengan Tuhan melalui belajar dan melakukan Firman Tuhan dengan taat dan setia. Dengan demikian guru dapat melengkapi diri menjadi sempurna dalam perbuatan baik (2 Tim 3:16 -17). Terdapat juga ibubapa atau guru menjadi bahan kritikan orang lain kerana tidak mempunyai kesempurnaan dalam perbuatan. Justeru anak-anak didik juga gagal dibentuk kerana guru tidak sempurna. Tidak sedikit ibubapa atau guru mengeluh kerana anaknya atau anak didiknya selalu melakukan perbuatan yang tidak baik, tetapi tidak ramai ibubapa/guru yang memeriksa dirinya sama ada perbuatan buruk muridnya itu hasil pantulan imej buruk diri ibubapa atau guru itu sendiri. Hasil pantulan imej buruk sama ada yang tersembunyi atau nyata dalam diri ibubapa atau guru akan terpamer pada anak.

Sasaran Kesempurnaan

1.Menyelamatkan diri dan orang lain

1 Tim 4: 16, sasaran penyempurnaan rohani guru adalah menyelamatkan dirinya dan orang lain pada hari Tuhan datang pada kali yang kedua.

2.Mengabdikan diri dalam pelayanan

Guru, ibubapa atau pemercaya yang menceburkan diri dalam bidang mendidik perlu menjadikan tugas ini sebagai pengabdian diri dengan penuh kesabaran. (1 Kor 9:7) Pekerjaan yang diusahakan dengan tekun akan menghasilkan buah dan dikecapi oleh pengusahanya kelak.

3.Kerja memuliakan Tuhan

Melakukan pelayanan sebagai pendidik tidak kira di rumah atau di gereja harus dengan semangat memuliakan Tuhan. (Rm 15:17, 2 Kor 10: 17) Paulus sendiri tidak mengambil kejayaannya sebagai pemberita Injil sebagai kemuliaan diri tetapi demi kemuliaan Tuhan Yesus.

Kesimpulanya, hati seorang guru perlu mempunyai hati sebagai seorang murid. Melakukan segala sesuatu dengan segenap hati seperti untuk Tuhan dan bukan untuk  manusia. AMEN

(Dibaca : 468 kali)


Gereja Yesus Benar Sabah

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *