Hits: 229

Adapun Musa ialah seorang yang sangat lembut hatinya, lebih dari setiap manusia yang di atas muka bumi.

Musa merupakan seorang tokoh Alkitab yang sangat terkenal. Dia  telah memimpin umat Israel keluar dari Mesir tempat perbudakan dengan penuh kuasa. Musa bererti ‘ditarik dari air’. Riwayat hidup Musa boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu empat puluh tahun di istana Mesir, 40 tahun di padang gurun Midian dan 40 tahun memimpin umat Israel merentasi padang gurun menuju ke tanah  Kanaan. Pada mulanya Musa seorang yang tinggi hati kerana telah dididik dalam segala pengetahuan Mesir (Kis 7:22). Tambahan pula dia merupakan anak puteri Firaun yang bakal menjadi Firaun (Ibr 11:24). Maka dia menganggap dirinya pandai, kuat dan layak menjadi pemimpin umat Israel sehingga membunuh seorang Mesir semasa membela bangsanya (Kel 2: 11-12) dan dia berlaku seolah-olah sebagai orang hakim yang mengadili umat Israel (Kel 2;13-15) tetapi ditolak. Kes pembunuhan yang dilakukannya telah diketahui oleh Firaun dan menyebabkannya melarikan diri ke padang gurun Midian. Tuhan telah melatihnya di sini dengan kehidupan sebagai seorang gembala domba. Akhirnya dia menjadi seorang yang rendah hati dan lemah lembut (Bil 12:3)

Kerendahan Hatinya

  1. 1.      Menerima nasihat (Kel 18:17-24)

Mertuanya mendapati cara Musa mengajar dan mengadili bangsa Israel seorang diri dari pagi sampai ke petang adalah tidak sesuai dan memenatkan. Maka dia memberi suatu nasihat kepada Musa agar mencari orang – orang  yang cekap dan mengangkat mereka menjadi pembantunya. Walaupun Musa seorang yang  dididik dalam segala hikmat di Mesir,  namun dia tidak bersikap tinggi hati sebaliknya mendengar nasihat orang yang lebih tua. Pengetahuan yang dipelajari tidak sama dengan pengalaman yang dikumpul. Oleh itu, kita seharusnya mendengar cadangan atau nasihat orang lain khususnya nasihat orang yang lebih tua dan berpengalaman. Orang yang berlagak pandai dan tidak mendengar nasihat akan merugikan diri sendiri. Contohnya Rehabeam (1Raj 12:13,16).

Kita memaklumi bahawa setiap orang mempunyai kelemahan atau kekurangannya sendiri.  Oleh itu sepatutnya mendengar nasihat dan  mengeroksi diri supaya menjadi lebih baik. Khususnya semasa mendengar firman haruslah bersikap rendah hati. Tanpa kerendahan hati apa saja yang diucapkan oleh orang lain,  tidak memberi apa – apa makna baginya dan tidak memberi apa – apa respon terhadap hal tersebut (Mat 11:17).

  1. 2.      Tidak mementingkan diri (Kel 32:10-11,32)

Ketika umat Israel berdosa kerana membuat dan menyembah patung lembu emas, membangkitkan murka Allah. Allah berketetapan untuk melenyapkan mereka dan  menjadikan keturunan Musa menjadi bangsa yang lebih besar. Namun Musa cuba melunakkan hati Tuhan dalam doa syafaatnya dengan mempertaruhkan keselamatannya. Musa berdoa jika Tuhan tidak mengampuni umat Israel maka dia rela namanya dihapuskan dari  kitab kehidupan.

Musa langsung tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya berusaha untuk menyelesaikan tugas yang diamanahkan oleh Tuhan iaitu membawa umat Israel masuk ke tanah Kanaan. Jika tidak dapat memimpin umat Israel masuk ke tanah perjanjian bererti gagal melaksanakan tugasnya. Dia tidak sanggup melihat umat Israel dimurkai dan dipunahkan oleh Tuhan. Seseorang yang rendah hati tidak akan menikmati kebaikan secara individu dan gembira melihat kejatuhan orang lain sebaliknya seperti kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” (Fil 2:4).

  1. 3.      Tidak iri hati terhadap orang lain (Bil 11:28-29).

Peristiwa di Kirbot – Taawa  menyebabkan Musa berasa dirinya tidak lagi dapat memikul tanggungjawab atas seluruh bangsa Israel dan meminta kematian daripada Tuhan (Bil 11:14-15). Maka Tuhan menyuruh supaya Musa memilih tujuh puluh orang  tua –tua dan membawa mereka ke Kemah Pertemuan. Terdapat dua orang yang tidak pergi ke Kemah Pertemuan tetapi  dihinggapi juga oleh Roh Tuhan dan kepenuhan seperti seorang nabi. Ada orang datang dan melaporkan kepada Musa dan didengar oleh  Yosua. Yosua menyuruh Musa mencegah dua orang yang dihinggapi Roh Tuhan tersebut, tetapi Musa bukan saja tidak mencegah mereka sebaliknya Musa berharap agar seluruh umat menjadi nabi.

Perasaan iri hati akan timbul apabila melihat orang lain lebih menonjol dan lebih hebat daripada diri kita. Bahkan sekiranya mampu atau berkuasa, kita akan berusaha untuk menyekat kehebatan orang itu. Situasi inilah yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini. Namun Musa melakukan segala sesuatu demi kebaikan seluruh jemaat (Fil 2:3). Ia mahu seluruh umat Israel menjadi nabi sepertinya. Seorang pemimpin yang  berjaya dan berpandangan jauh, tidak berasa takut akan kedudukannya diancam oleh  orang lain. Sebaliknya dia akan terus menyokong dan melatih orang yang berpotensi untuk menjadi pelapis yang baik.

  1. 4.      Tidak memegahkan diri (Bil 12:6-8)

Terjadi suatu peristiwa di mana Allah sendiri telah membela Musa. Melalui pembelaan Allah ini  kita mendapati bahawa Musa yang melebihi nabi biasa dan seorang yang setia dalam segenap rumah Allah.

Walaupun Musa  seorang yang dipandang tinggi oleh Allah, dipakai Allah dan dapat berbicara dengan Allah secara berhadapan  muka tetapi dia tidak memegahkan dirinya.

Bagi mereka yang tinggi hati, asal saja ada sedikit kejayaan yang dicapai maka akan menghebohkannya dan ingin mendapatkan pujian  serta pengiktirafan daripada orang lain sehingga namanya dikenali ramai. Selain itu, orang yang tinggi hati akan memandang hina orang yang tidak  setanding dengannya. Sungguh malang bagi orang seperti ini  kerana telah mendapat upahnya di dunia tetapi kehilangan upah di syurga (Mat 6:4). Justeru itu, apa jua yang kita lakukan haruslah dilakukan secara tersembunyi.

KELEMAH – LEMBUTANNYA

i)                    Sewaktu Dicela  Tidak Membalas  Dan  Tidak  Marah ( Bil 12:1)

Berdasarkan Kel 2:16 & 21 mencatatkan bahawa isteri Musa adalah orang Midian yang bernama Zipora. Terdapat dokumen dan catatan Alkitab (Hab 3:7) mengatakan bahawa Midian dan Kusy adalah tempat yang sama,oleh itu tiada percangahan dengan catatan dalam Bil 12:1. Melalui peristiwa ini kita mengetahui bahawa Miryam dan Harun telah mengatai Musa berkenaan perkahwinannya dengan Zipora. Sebenarnya Miryam adalah kakak Musa dan Harun adalah abang Musa. Dalam peristiwa ini tidak dinyatakan apakah sebabnya mereka memfitnah isteri Musa. Jika mereka memfitnah atas sebab isterinya adalah bangsa kafir maka ini adalah keterlaluan dan tidak munasabah sebab sewaktu Musa berkahwin, Allah belum lagi menurunkan Hukum Taurat  (tidak boleh berkahwin dengan bangsa kafir). Oleh itu mereka tidak mempunyai alasan untuk mengatai Musa tetapi hanyalah  mencabar kewibawaan Musa. Motif sebenar mereka berbuat begitu dinyatakan dengan jelas dalam Bil 12:2.

Walaupun Musa difitnah tetapi tidak marah. Musa menghadapinya dengan tenang. Sesungguhnya kelemah – lembutan  adalah senjata ketenangan. Sebab ia tidak dapat digeser sehingga menghasilkan “bunga api” yang akhirnya menghasilkan “letupan besar” (Yak 1:19-20). Selain Meneladani Musa, kita juga  belajar daripada teladan Tuhan Yesus (1Pet 2:23).

ii)                  Tidak Membela Diri (Bil 12:2)

Miryam dan Harun mendakwah Musa dan menggugat kedudukannya sebagai pemimpin. Musa adalah adik mereka tetapi melebihi peranan yang mereka mainkan, maka mereka iri hati dan mahu merebut statusnya sebagai pemimpin. Sebenarnya Allahlah yang memilih dan menetapkan Musa sebagai pemimpin dan bukan atas keinginan Musa sendiri. Oleh itu Musa hanya berdiam diri di hadapan mereka dan di hadapan Tuhan. Akhirnya Tuhan sendiri membela bagi pihak Musa (Rom 12:19). Akhirnya Miryam dihukum dengan penyakit kusta dan  Harun yang segera menyedari perkara ini memohon pengampunan daripada Tuhan.

iii)                Membantu Doa (Bil 12:13)

Walaupun mereka memfitnahnya dengan alasan yang tidak munasabah namun Musa memaafkan mereka serta mendoakan mereka. Musa tidak sesekali menyerang orang lain sebaliknya meredahkan kemarahan dan persengketaan. Tuhan Yesus juga mengajar kita agar mengasihi musuh dan mendoakan bagi mereka yang menganiaya kita (Mat 5:44).

KESIMPULAN

Kita semua haruslah merendahkan hati dan menerima latihan daripada Tuhan agar segala sikap dan tabiat buruk kita dapat dikikis sehingga menjadi seorang yang berkenaan kepada Tuhan sama seperti Musa.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *