Kebaikan Percaya kepada Yesus

Anugerah Tuhan yang Menghairankan. 

Alkitab memberitahu kita bahawa Paulus pernah mengancam dan membunuh umat Kristian (Kisah Para Rasul  9:1-2, 22:4-5, 26:9-11). Kemudian dia telah bertaubat dengan tiba-tiba dan memeluk ke dalam agama Kristian. Dia pun mula memberitakan Injil Kebenaran ke merata tempat. Dia rela mengorbankan segalanya demi Tuhan, menanggung semua penderitaan dan berkorban demi Kebenaran (Filipi 3:8, 2 Korintus 11:23-27, 2 Timotius 4:6-8). Berapa ramai orangkah di dalam sejarah yang berganjak daripada seorang yang menganiaya Jemaat kepada seorang Kristian? Berapa ramai orangkah seperti Paulus yang rela mengorbankan segala-galanya demi Kristus termasuk dirinya sendiri? Mengapakah perubahan mendadak ke atas dirinya berlaku? Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Ini disebabkan dia telah mengalami anugerah Tuhan Yesus Kristus yang berkelimpahan.

Bagaimanakah kita mendapat pengalaman di dalam Tuhan hari ini? Apakah kebaikan-kebaikan percaya kepada Yesus Kristus? Adakah kita percaya bahawa Yesus mempunyai anugerah dan berkat yang berkelimpahan sehingga Dia bersedia mencurahkannya ke dalam hidup kita? Hanya satu sahaja yang diperlukan iaitu beriman terhadap Tuhan dan percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Berkat adalah baik untuk kehidupan fizikal tetapi berkat rohani yang dicurahkannya ke atas kita adalah lebih bernilai. Marilah kita merujuk Alkitab mengenai anugerah Tuhan yang menghairankan yang telah dijanjikaNya kepada kita:

A. Damai Sejahtera dalam Kehidupan Kita.

Dalam kehidupan dunia yang penuh dengan jerih payah dan penderitaan, kita tidak dapat menjangka bilakah kita akan diancam atau menghadapi bahaya dalam kehidupan kita. Malah kita juga tidak dapat menduga apakah yang akan berlaku pada keesokkan hari (Pengkhotbah 27:1, Yakobus 4:14). Walaupun begitu, kita tidak perlu bimbang apabila kita menyerahkan segalanya kepada Yesus Kristus Juru Selamat kita kerana hidup kita akan dipenuhi dengan kedamaian. Ini disebabkan Yesus Kristus adalah tempat perlindungan kita terhadap arus dunia yang terombang-ambing. Dia adalah Tuhan kita yang melindungi kita siang dan malam. Dialah yang memberikan kedamaian kepada kita walau apapun malapetaka yang menimpa kita (Mazmur 91:2-11, 121:4-8).

1) Berkat Tuhan – mengubah kebahayaan kepada damai sejahtera.

“Manusia yang lahir dari perempuan…singkat umurnya dan penuh kegelisahan” (Ayub 14:1). Kehidupan kita tidak dapat dielakkan daripada masalah yang telah mengurangkan kedamaian dalam hidup. Walaupun kita memerlukan damai sejahtera, kita tidak tahu jalan menuju damai sejahtera ini (Roma 3:17). Yesus Kristus datang untuk mengarahkan kaki kita ke jalan damai sejahtera (Lukas 1:79). Adakalanya, kita akan berdepan dengan keadaan-keadaan hidup yang mengancam dan membahayakan kita. Apabila kebahayaan yang sedemikian menimpa kita, kita harus ingat bersandar kepada Tuhan Yesus Kristus. Maka kita akan mempunyai kedamaian batiniah walaupun dikelilingi oleh keadaan yang tidak menyenangkan.

Seperti yang tercatat dalam Injil Markus: Pada suatu hari, Yesus dan murid-muridNya menaiki perahu ke seberang danau Galilea. Tiba-tiba angin taufan melanda dan ombak menyembur masuk ke dalam perahu sehingga perahu itu mulai dipenuhi air. Pada waktu itu, Yesus sedang tidur di buritan di sebuah tilam. Murid-muridNya membangunkan Yesus dan berkata, “Guru, Engkau tidak peduli kalau kita binasa?” Dia bangun dan menghardik angin itu: “Diam! Tenanglah.” Lalu angin itu reda dan danau itu menjadi tenang sekali. Dia berkata kepada murid-muridNya, “Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu tidak percaya?” (Markus 4:35-40).

Mujizat di atas memberitahu kita bahawa Yesus Kristus adalah Tuan di atas cakrawala ini dan tidak ada apa-apapun yang boleh mengancam kita kalau Tuhan menyertai kita. Kita hanya memerlukan iman dan mempunyai kepercayaan yang penuh terhadapNya. Apakah yang perlu kita takutkan kalau Tuhan yang Hidup ini bersama-sama kita?

2. Berkat Tuhan – Menyembuhkan penyakit-penyakit kita.

Semasa Yesus memberitakan Injil di Kana, Galilea, seorang pegawai istana yang anaknya sakit tenat di Kapernaum telah datang berjumpa Yesus. Dia memohon agar Yesus datang dan menyembuhkan anaknya yang hampir mati. Yesus memberitahunya, “Pergilah, anakmu hidup.” Orang ini percaya akan apa yang dikatakan Yesus lalu pergi. Ketika dia masih di pertengahan jalan, hamba-hambanya telah datang kepadanya dengan khabar bahawa anaknya hidup. Apabila dia bertanya bila anaknya beransur pulih, mereka memberitahu dia, “Demamnya mula hilang pukul satu kelmarin.” Ayah itu sedar bahawa pada saat itulah Yesus berkata kepadanya: “Anakmu hidup.” Lalu dia pun percaya, dia dan seisi keluarganya. (Yohanes 4:46-53).

Orang ini adalah pegawai istana yang mampu membelanjakan wang untuk mendapatkan rawatan daripada doktor-doktor yang terkemuka. Kemungkinan dia telah merujuk kepada mereka semua tetapi tidak seorang pun yang dapat menyembuhkan anaknya. Akhirnya dia telah pergi mendapatkan Yesus dan memohonNya menyembuhkan anaknya berdasarkan kasihNya dan keperluan  mendapat rawatan yang segera untuk anaknya. Tuhan Yesus mendengar permintaannya dan menyembuhkan anaknya dengan serta merta.

Yesus telah melakukan banyak mujizat semasa memberitakan Injil selama tiga tahun di dunia. (Yohanes 20:30). Dalam jangka masa lapan dekad yang lalu, Yesus telah melakukan banyak mujizat di dalam Gereja Yesus Benar. Bagaimanakah Dia menyembuhkan kita? Ini disebabkan Dia adalah pakar perubatan yang penuh dengan kuasa (Markus 5: 25-34). Dia boleh  menyembuhkan segala penyakit seandainya Dia berkenan. Mengapakah Dia  rela menyembuhkan kita? Ini disebabkan Dia adalah Tuhan yang penuh dengan belas kasihan dan rahmat. Dia menyembuhkan kita berdasarkan rahmatNya yang berkelimpahan (Matius 14:14, 20:30-34, Markus 1:40-42, 5:19, Lukas 7:13-15). Walaupun begitu, kita harus juga beriman. Mereka yang memohon disembuhkan seringkali diberitahu oleh Yesus bahawa, “terjadilah kepadamu seperti yang engkau percaya.” (Matius 8:13, 9:29-30) ataupun “Imanmu telah menyelamatkan engkau. Pergilah dengan selamat dan sembuhlah penyakitmu.” (Markus 5:34, 10:52, Lukas 17:19). Adakalanya, Dia bertanya  kepada orang-orang yang berpenyakit, “Percayakah kamu bahawa Aku dapat melakukannya?” (Matius 9:28). Sama juga soalan ini juga boleh dikemukakan kepada kita pada hari ini – adakah kita percaya bahawa Tuhan dapat menyembuhkan penyakit-penyakit kita seandainya kita beriman terhadapNya.

B. Damai Sejahtera yang Rohani di Dalam Tuhan Yesus Kristus.

1. Yesus Kristus memikul beban kita.

Raja Salomo pernah mengeluh dengan berkata, “Kerana di dalam banyak hikmat ada banyak susah hati, dan siapa memperbanyak pengetahuan memperbanyak kesedihan.” (Pengkhotbah 1:18). Musa juga berkata, “Masa hidup kami tujuh puluh tahun dan jika kami kuat, lapan puluh tahun  dan kebanggaannya adalah kesukaran dan penderitaan… (Mazmur 90:10). Ternyata sekali dari zaman dahulu sehingga sekarang, semua manusia mempunyai penyakit yang sama  iaitu hidup ini dipenuhi dengan jerih payah, masalah dan penderitaan yang tidak putus-putus. “Marilah kepadaKu semua yang letih lesu dan berbeban berat dan Aku akan memberi kelegaan kepadamu.” (Matius 11:28). Ini merupakan layanan Tuhan Yesus yang penuh belas kasihan terhadap semua manusia. Semua yang melalui jerih payah dan penderitaan di dalam hidup ini dijemput datang kepada Yesus dan serahkan beban mereka kepadaNya. Dengan demikian, kita dapat menikmati damai sejahtera rohani yang diberikan kepada kita. Ini disebabkan Dia memelihara dan memikul beban kita. (I Petrus 5:7, Mazmur 68:19).

2. Carilah Tuhan dan kebenaranNya.

Kita seringkali khuatir tentang keperluan harian kita seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Akan tetapi Tuhan Yesus memberitahu kita supaya jangan khuatir tentang hal-hal ini. Dia menyuruh kita memandang kepada burung-burung di langit yang tidak menabur, tidak menuai dan tidak mengumpul bekal di dalam lumbung, namun diberi makan oleh Bapa di Syurga. Apalagi kita sebagai anak-anak Tuhan! Dia juga menyuruh kita perhatikan bunga bakung di ladang yang tumbuh tanpa bekerja dan tanpa memintal namun Tuhan mendandaniNya. Kita sebagai anak-anakNya akan lebih lagi didandani. Ini disebabkan Bapa tahu segala keperluan kita. Daripada contoh-contoh di atas, Tuhan Yesus telah menunjukkan kepada kita cara yang paling asas untuk menghilangkan kekhuatiran kita – carilah dahulu kerajaan Tuhan dan kebenaranNya (menganggap Bapa di syurga sebagai Tuhan kita sendiri dan patuh kepadaNya). Maka semuanya akan ditambahkan kepada kita (Matius 6:25-34). Akan tetapi, kita pula seringkali berjerih payah dan khuatir pada setiap hari akan hal-hal di dalam dunia ini dan tidak bersandar kepada Tuhan.

Selain daripada kekhuatiran akan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal, terdapat juga penyiksaan dan penderitaan rohani. Ramai orang boleh menanggung kesakitan tubuh jasmani tetapi bukan  penyiksaan rohani. Apabila dilanda oleh malapetaka, ramai orang akan lupa untuk makan dan tidur sehingga ada yang patah jiwa kerana mereka tidak dapat menghadapi realiti kehidupan yang penuh dengan cabaran. Akan tetapi, kita tidak akan takut menghadapi penderitaan kerana kita percaya kepada Tuhan Yesus sebagai Juru Selamat. Yesus belum pernah berjanji bahawa kita  tidak akan menghadapi cabaran dalam hidup tetapi Dia telah berjanji untuk berjalan bersama-sama kita dalam penderitaan kita (Yohanes 14:27, 16:33).

3. Damai sejahtera dalam penderitaan.

Seorang Kristian yang mempunyai Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juru Selamatnya akan menikmati damai sejahtera yang sesungguhnya di dalam penderitaannya. Mengapa begitu? Ini disebabkan:

  • Dia tahu bahawa Tuhan Yesus Kristus adalah tempat perlindungannya. Tuhan akan melindungi dan menyelamatkanya dari penderitaannya  (Mazmur 62:8, 34:15,17).
  • Dia tahu bahawa seekor burung pipit pun tidak akan jatuh ke bumi di luar kehendak Bapa di syurga (Matius 10:29). Sebagai anak Bapa di syurga, dia tahu bahawa penderitaan yang timbul dari kehendak Tuhan akan bermanfaat baginya (Roma 8:28, Mazmur 119:71, Ayub 23:10). Atas sebab inilah, seorang Kristian yang menghadapi penderitaan harus menyerahkan kepada Tuhan terlebih dahulu kemudiannya menantikan bagaimana Tuhan memenuhi kehendakNya dengan tenang. Seandainya Tuhan menyelamatkan dia daripada penderitaaanya, dia akan bersyukur di atas belas kasihan Tuhan yang berkelimpahan. Kalau Tuhan membaiki kelakuannya melalui penderitaan-penderitaan berbentuk kehilangan material dan penderitaan rohani, dia seharusnya bersyukur kepada Tuhan juga. Filsafat hidupnya haruslah bertemakan ucapan syukur dalam apa keadaan sekalipun. Rahsia kejayaannya adalah berserah kepada Tuhan dalam segala sesuatu.

Apabila lautan bergelora, perahu akan terombang-ambing kerana tiupan angin dan ombak yang kuat. Akan tetapi kapal-kapal lebih stabil dalam keadaan ini. Walaupun kapal ini tenggelam ke dasar laut, kompasnya tetap menunjukkan arah utama iaitu ke utara dan selatan. Sehubungan dengan itu, apabila seorang Kristian melalui penderitaan, hatinya tetap tenang seperti kapal yang diuji oleh gelora dunia yang bertubi-tubi. Jiwanya seperti kompas kapal yang telah tanggelam iaitu tetap setia terhadap Tuhan dan bertahan sampai kesudahannya. Bukankah kedamaian batiniah sedemikian amat bernilai?

4. Pengampunan dosa. Penyucian. Pembenaran.

Seperti yang dibincangkan di atas, manusia di dalam dunia ini berjerih payah dalam kehidupan yang penuh dengan penderitaan dan kesedihan kerana mereka tidak percaya kepada Yesus Kristus dan murka Tuhan tetap di atas mereka (Kejadian 3:16-19, Yohanes 3:36). Terdapat satu jalan keluar sahaja, iaitu bertaubat dan percaya kepada Yesus agar dosa-dosa kita dihapuskan supaya kita diperbaharui oleh Tuhan (Kisah Para Rasul 3:19). Adakah kita percaya bahawa dosa-dosa kita akan diampuni dengan cara ini? Petrus berkata, “Bertaubatlah dan hendaklah kamu masing-masing memberi dirimu dibaptis dalam nama Yesus Kristus untuk pengampunan dosamu” (Kisah Para Rasul 2:38). Ananias juga berkata, “Dan sekarang, mengapa engkau masih ragu-ragu? Bangunlah, berilah dirimu dibaptis dan dosa-dosamu disucikan sambil berseru kepada nama Tuhan.” (Kisah Para Rasul 22:16).

  • Apakah kesan pembaptisan terhadap pengampunan dosa?

 Keberkesanan pembaptisan terhadap pengampunan dosa adalah seperti berikut:

1) Di dalam Yesus Kristus, dan oleh Dia, kita memperolehi pengampunan dosa. (Efesus 1:7).

2) Apabila Yesus Kristus disalibkan, darah dan air mengalir keluar dari tubuhNya. (Yohanes 19:34).

3) Kita bukan sahaja dibaptis dengan air tetapi dengan air dan darah. Roh Kudus memberi kesaksian kerana “Roh itu adalah kebenaran.” Yesus datang dengan air dan darah, dan punca keselamatanNya terletak dalam tiga yang memberi kesaksian – iaitu Roh, air dan darah.” ( I Yohanes 5:6-8 ).

“Tetapi kamu telah memberi dirimu disucikan, kamu telah dikuduskan, kamu telah dibenarkan dalam nama Tuhan Yesus Kristus dan dalam Roh Tuhan kita.” (I Korintus 6:11). Pembaptisan air bukan sahaja membolehkan dosa kita ditebus dan diampuni tetapi yang penting sekali, ia dapat menyuci dan membenarkan kita. Ini tidak dapat dicapai melainkan kita dibaptis di dalam nama Tuhan Yesus dengan adanya Roh Kudus sebagai saksi.

  • Kesan penyucian dan pembenaran.

Corak pembaptisan yang betul mempunyai kesan-kesan penyucian dan justifikasi. Di dalam Buku Ibrani dinyatakan, “Tanpa kekudusan tidak seorangpun akan melihat Tuhan.” (Ibrani 12:14). Dalam erti kata yang lain, orang-orang kudus sahaja yang dapat melihat Tuhan. Memandangkan pembaptisan berkesan menyucikan manusia, orang-orang yang telah dibaptis “akan berani melihat Tuhan”. Oleh itu, “kita penuh keberanian dapat masuk ke dalam tempat kudus oleh darah Yesus, melalui jalan yang baru dan hidup yang dibukakan bagi kita melalui tabir iaitu diriNya sendiri…marilah kita menghadap Tuhan dengan hati yang tulus ikhlas kerana hati kita telah dibersihkan dari hati nurani yang jahat dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang murni. (Ibrani 10:19-22).

Paulus berkata, lebih-lebih kerana kita sekarang telah dibenarkan oleh darahNya, kita pasti akan diselamatkan dari murka Tuhan. Sebab jikalau kita, ketika masih seteru, diperdamaikan dengan Tuhan oleh kematian AnakNya, lebih-lebih kita yang sekarang telah diperdamaikan, pasti akan diselamatkan oleh hidupNya! (Roma 5:9-10). Melalui pembaptisan, darah Yesus yang dialirkan di atas salib untuk semua manusia membolehkan kita dibenarkan oleh Tuhan – untuk diselamatkan dari murka Tuhan, didamaikan denganNya dan diselamatkan.

Dari apa yang dinyatakan di atas, kita tahu bahawa pembaptisan berkesan untuk pengampunan dosa, untuk disucikan dan untuk dibenarkan. Ketiga-tiga ini merupakan jalan untuk menghilangkan murka Tuhan, didamaikan dengan Tuhan dan ditebus ke dalam hidup yang kekal.

B. Roh Kudus membantu kita mengalahkan hukum dosa.

1.Kita tidak berupaya mengalahkan hukum dosa.                                                                                     

Kita dapati bahawa pendidikan dan tamadun masyarakat yang semakin maju menyebabkan hati manusia semakin tertuju kepada kejahatan. Inilah keadaan kita pada hari ini. Walaupun begitu, kita tidak seharusnya mengaitkan kejahatan dengan pendidikan. Pendidikan tidak mencemarkan manusia tetapi kuasa yang ada padanya berupaya mempengaruhi manusia sehingga melupakan kebaikan. Manusia berdosa bukan kerana mereka tidak dapat membezakan yang baik daripada yang jahat tetapi kita melakukan kejahatan kerana kita, “tidak berupaya mengalahkan hukum dosa”. (Roma 7:17-24). Pendidikan membolehkan kita memahami yang mana jahat dan yang mana baik tetapi ia tidak menyelamatkan kita daripada godaan kejahatan.

Kita tahu bahawa untuk mengelakkan diri daripada kejahatan kita harus memperbaharui hati kita terlebih dahulu. Seandainya ini tidak dilakukan, maka tekad kita untuk mengelakkan tabiat yang buruk dan berbuat baik hanyalah sia-sia belaka. Oleh itu, kita dapat melihat bagaimana Tuhan berjanji dengan umatNya melalui nabi Yehezkiel, “Kamu akan Ku berikan hati yang baru, dan roh yang baru di dalam batinmu dan Aku akan menjauhkan dari tubuhmu hati yang keras dan Ku berikan kepadamu hati yang taat. RohKu akan Ku berikan diam di dalam batinmu dan Aku akan membuat kamu hidup menurut segala ketetapanKu dan tetap berpegang pada peraturan-peraturanKu dan melakukannya. (Yehezkiel 36:26-27). Malah Tuhan juga telah memperlihatkan kepada kita melalui penglihatan Yehezkiel bahawa walaupun orang-orang Israel adalah umat pilihan Tuhan yang memahami hukum akan tetapi mereka menjadi bangkai-bangkai bernyawa kerana jiwa rohani mereka belum diperbaharui. Walaupun begitu, sebaik sahaja roh Tuhan dicurahkan, mereka dengan serta merta hidup kembali dan menjadi satu angkatan besar yang dapat berperang melawan kejahatan. (Yehezkiel 37:1-14).

2. Yesus Kristus mengalahkan pencubaan kerana Dia dipenuhi Roh Kudus.

Dalam fasal 4, kedua-dua buku Injil Matius dan Lukas, ada mencatatkan bahawa setelah Yesus berpuasa empat puluh hari dan malam, dia menjadi lapar dan Iblis mencubaiNya sebanyak tiga kali. Walaupun dia mempunyai kelemahan-kelemahan fizikal, (Dia dalam bentuk manusia yang mempunyai kelemahan-kelemahan yang sama seperti anda dan aku), “Dia telah dicubai hanya tidak berbuat dosa.”      (Ibrani 4:15). Jadi bagaimanakah Dia mengatasinya walaupun Dia memiliki kelemahan-kelemahan fizikal yang sama seperti kita? Lukas memberitahu kita bahawa Yesus “dipenuhi Roh Kudus” dan “penuh dengan kuasa Roh Kudus” (Lukas 4:1,14). Oleh itu, Dia dapat mengalahkan musuhNya kerana Dia dipenuhi dengan Roh Kudus.

3. Petrus menjadi kuat dan berani bersaksi tentang Tuhan setelah dia dipenuhi Roh Kudus.

Pada malam sebelum Yesus disalibkan, Dia berkata kepada Petrus, “Simon, Simon, lihat Iblis telah menuntut untuk menampi kamu seperti gandum. tetapi Aku telah berdoa untuk engkau, supaya imanmu jangan gugur. Dan engkau, jikalau engkau telah insaf, kuatkanlah saudara-saudaramu.” Jawab Petrus: “Tuhan, aku bersedia masuk penjara dan mati bersama-sama dengan Engkau!” Tetapi Yesus berkata: “Aku berkata kepadamu, Petrus, hari ini ayam tidak akan berkokok, sebelum engkau tiga kali menyangkal, bahawa engkau mengenal Aku.” (Lukas 22:31-34). Ternyata sekali, apabila Tuhan Yesus dibawa ke rumah Imam Besar, iman Petrus menjadi amat lemah dan dia hanya mengikut dari jarak yang jauh. Sebagaimana diramalkan oleh Tuhan, sebelum ayam berkokok, Petrus menyangkal Tuhan tiga kali sehinggakan dia bersumpah bahawa dia tidak mengenali Tuhan. (Lukas 22:54, Matius 26:69-75). Walaupun begitu, apabila Roh Kudus dicurahkan kepadanya pada hari Pentakosta, rohaninya telah dikuatkan dan dengan berani dia bersaksi untuk Tuhan. (Kisah Para Rasul 4:8-12, 18-20, 5:27-33). Petrus bagaikan telah menjadi dua orang yang berlainan sebelum dan selepas dia dipenuhi Roh Kudus.

4. Roh kehidupan telah membebaskan Paulus daripada hukum dosa dan maut.

Paulus mengakui bahawa sebelum dia memeluk ke dalam Kristus, dia adalah hamba dosa – dia tidak dapat meninggalkan kejahatan dan berpaling kepada kebaikan (Roma 7:14-24). Setelah dia percaya, dia telah melalui perubahan yang besar dan dia dapat menyanyikan lagu-lagu kejayaan yang   menggembirakan. Dia berkata, “Demikianlah sekarang tidak ada penghukuman bagi mereka yang ada di dalam Kristus Yesus. Roh yang memberi hidup telah memerdekakan kamu dalam Kristus dari hukum dosa dan hukum maut. (Roma 8:1-2). Sama juga, hukum Roh telah menyelamatkan kita pada hari ini untuk mengalahkan hukum dosa. Oleh itu, kita bukan lagi hamba-hamba dosa tetapi orang-orang yang dimerdekakan di dalam Tuhan Yesus (2 Korintus 3:17).

Penyelamatan Tuhan dinyatakan dalam keselamatan  Injil. Yesus Kristus menyucikan semua dosa-dosa kita dan mengutus Roh Kudus untuk menyelamatkan kita dari hukum dosa agar kita tidak lagi jatuh ke dalam dosa. Kita telah dikuduskan dalam hidup kita kerana kita telah diselamatkan (2 Tesalonika 2:13). Pada hari ini, Gereja Yesus Benar telah diasaskan melalui “pencurahan Roh Kudus yang kedua kali” dan Ia mengajar Injil Keselamatan yang menyeluruh. Gereja pada awalnya, mempunyai banyak saksian di mana kejahatan telah ditinggalkan melalui kuasa Roh Kudus. Saksian ini merupakan anotasi terbaik yang tercatat dalam Roma 8:1-2. Ia juga merupakan kuasa yang besar untuk meneguhkan pemercaya-pemercaya yang lemah di dunia.

C. Bermegah di atas kejayaan mengalahkan maut.

1. Yesus telah mengalahkan maut dan menunjukkan diriNya dalam diri kita.

Upah dosa adalah maut (Roma 6:23). Kita tidak dapat mengalahkan maut kerana ditetapkan untuk mati kerana kita tidak dapat mengalahkan kuasa dosa (Pengkhotbah 8:8, Ibrani 9:27). “Yesus telah dibangkitkan dari maut kepada kehidupan” – Dia tidak dibelenggu oleh maut kerana Dia adalah tanpa dosa. (Kisah Para Rasul 2:24, 2 Korintus 5:21). Dosa tidak berkuasa ke atasNya (Ibrani 4:15).

Yesus Kristus juga merasai pengalaman sebagai manusia kerana Dia adalah Tuhan di dalam darah dan daging supaya oleh kematianNya, Dia dapat mengalahakan Iblis yang berkuasa atas maut – untuk membebaskan mereka yang berada dalam perhambaaan oleh kerana takut akan maut. (Ibrani 2:14-15). Paulus mengatakan, “Juru selamat kita, Yesus Kristus telah mematahkan kuasa maut dan mendatangkan hidup yang tidak binasa melalui Injil” (2 Timotius 1:10). Melalui keselamatanNya, kita yang sudah mati dalam dosa iaitu dalam persekutuan dengan Adam, boleh menyelamatkan jiwa kita oleh darah Yesus Kristus – Dia juga menyatakan hidupNya di dalam kita (I Korintus 15:22, Kolose 2:12, Galatia 2:20).

2. Yesus memberikan kita kemenangan di atas dosa dan maut.

Seterusnya Paulus berkata, “Musuh yang terakhir yang dibinasakan ialah maut.” (I Korintus 15:26). Maksudnya, mereka yang mati dalam Kristus akan dibangkitkan terlebih dahulu dari maut ke dalam hidup yang kekal. Sementara itu, mereka yang masih hidup tidak akan mengalamai maut tetapi akan diubah menjadi tubuh-tubuh rohaniah (I Tesalonika 4:13-17, I Korintus 15:42-44). Pada masa itu, tubuh-tubuh yang akan binasa akan menjadi tidak binasa dan yang fana menjadi yang tidak fana. Ini menggenapkan apa yang tercatat, “Maut telah ditelan oleh kemenangan”. Oleh itu kita boleh berkata, “Oh maut,dimanakah kejayaanmu? Oh maut, dimanakah sengatmu?” Seterusnya kita dapat berkata, “Sengat maut adalah dosa dan Yesus Kristus membolehkan kita hidup di bawah anugerah dan bukan di bawah hukum. Dosa-dosa kita pada masa yang lalu telah dibersihkan oleh darah Yesus melalui pembaptisan air. Dengan bantuan Roh Kudus, kita tidak boleh berdosa lagi. Oleh itu, bagaimanakah kita dihakimi oleh kuasa hukum? Bagaimanakah sengat maut menjerat kita? Paulus berkata, “Syukur kepada Tuhan yang telah memberikan kepada kita kemenangan oleh Yesus Kristus!” (I Korintus 15:51-57, Roma 6:14). Pada hari itu, kita akan diangkat dalam awan menyongsong Tuhan di angkasa dan kita akan selama-lamanya bersama-sama dengan Tuhan. (I Tesalonika 4:16-17). Itu memang jauh lebih baik. (Filipi 1:23)

Kita tidak dapat menghitung  semua kebaikan-kebaikan percaya kepada Tuhan. Semoga kawan-kawan akan mengkaji kebenaran Alkitab untuk mengetahui anugerah Tuhan yang menghairankan ini. Pada masa yang sama, diharapkan kawan-kawan akan bertekad untuk bertaubat dan bersandar kepada Tuhan Yesus sebagai Juru Selamatmu yang tunggal. Anda tentu sekali dapat menikmati berkat berkelimpahan Tuhan yang dicurahkanNya kepada manusia baik sekarang mahupun selama-lamanya. Marilah  hai kawan-kawan, jangan berlengah-lengah lagi. Percayalah kepada Yesus sekarang!

BIBLIOGRAFI

Barnes, Hazel E., trans. Being and Nothingness. Oleh Jean-Paul Sartre. New York: Gramercy Books,1956.

Hemingway Ernest. The Old Man dan the Sea. New York: Simon&Schuster, 1952.

Kenny, Anthony, ed. The Oxford History of Western Philosophy. New York: Oxford University Press, 1994.

Stumpf, Samuel E. Elements of Philosophy. New York: McGraw-Hill Book Company, 1979.

GLOSARI.

Rasul : Orang yang diutus oleh Tuhan Yesus Kristus.

Pembaptisan : Termasuk proses penyelaman, penenggelaman dan pemunculan. “Pembaptisan air” bermaksud penyelaman ke dalam air yang mengalir. “Pembaptisan Roh Kudus” bermaksud menerima Roh Kudus yang dijanjikan dengan berbahasa Roh sebagai bukti.

Alkitab : Firman Tuhan kepada manusia dalam bentuk tulisan.

Kristus : Yang diurapi. Yesus – Juru Selamat yang dinubuatkan dalam Perjanjian Lama.

Kristian : Seorang pemercaya Yesus Kristus yang dipanggil untuk menyerupaiNya.

Gereja : Kumpulan manusia yang ditebus oleh darah Kristus.

Salib : Binaan yang dibuat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas penjenayah.

Penyaliban : Kematian di atas salib.

Injil : Berita baik mengenai Kerajaan Tuhan dan penyelamatan manusia melalui Tuhan Yesus Kristus.

Syurga : Tempat tinggal Tuhan yang kekal abadi. Tempat tinggal yang disediakan oleh Tuhan untuk orang-orang yang selamat.

Neraka : Tempat penyiksaan yang hebat. Disediakan untuk Iblis dan roh-roh yang tidak diselamatkan.

Roh Kudus : Roh Tuhan. Di dalam Perjanjian Baru, Roh Kudus yang dijanjikan diam di dalam pemercaya-pemercaya sebagai Penghibur pribadi seseorang.

Yesus : Nama Tuhan, pernyataan Tuhan dalam rupa manusia sebagai Juru Selamat manusia.

Muzizat : Pekerjaan Tuhan yang tidak dapat dilakukan secara semulajadi.

Pentakosta : 50 hari selepas Paskah, juga digelar Hari Raya Tujuh Minggu (Ulangan 6:10) Hari Raya Pengumpulan Hasil (Keluaran 23:16) dan Hari Hulu Hasil (Bilangan 28:26).

Penebusan : Penyelamatan untuk mereka yang dibeli dengan darah Yesus Kristus dari dosa dan maut yang kekal.

Penyelamatan : Penyelamatan rohani yang kekal daripada dosa dan maut oleh Tuhan untuk orang-orang yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus.

Kedatangan Kristus : Kedatangan Tuhan Yesus Kristus yang kedua dan terakhir ke dunia ini yang kedua kali sebagai Tuhan yang menghakimi.

Dosa : Satu perbuatan yang tidak taat terhadap perintah-perintah Tuhan.

(Dibaca : 607 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *