Perhubungan di antara Yesus dan Aku

Kekuasan NamaNya.

Nama “Yesus” membawa kekuasaan yang besar. Ia bermaksud “Tuhan adalah penyelamat” atau “Juru Selamat” (Matius 1: 21). Ia merupakan nama peribadi yang diberikan kepada Anak Tuhan semasa malaikat Gabriel menampakkan diri kepada Maria untuk mengumumkan kelahiran Mesias  (Lukas 1:31). Perkataan “Kristus” adalah “Christos” dalam Bahasa Greek yang bermaksud “Yang Diurapi”. Yesus adalah Imanuel yang bermaksud “Tuhan menyertai kita” (Yesaya 7:14, Matius 1:23).

Dalam dua keadaan yang sama, seorang malaikat yang membawa berita ini telah menampakkan diri kepada ibu dan bapa anak ini dan menyuruh mereka menamakannya Yesus. Yusuf, bapa kepada anak itu diberitahu bahawa “anak di dalam kandungannya (Maria) adalah dari Roh Kudus. Dia akan melahirkan seorang anak lelaki dan engkau akan menamakan dia Yesus, kerana Dialah yang akan menyelamatkan umatNya dari dosa mereka.” (Matius 1:20). Maria, ibu kepada anak itu diberitahu tentang perananNya sebagai raja (Lukas 1:26-38). Kita dapat melihat kebesaran pekerjaan Roh Kudus dengan kehamilan anak dara Maria yang sungguh menakjubkan serta nama Yesus yang diberikan kepada anak itu – satu nama yang penuh makna. Sebagaimana maksud namaNya, Yesus datang ke dunia ini untuk menjadi Juru Selamat semua manusia, tanpa mengira bangsa, jantina ataupun latar belakang mereka.

Apakah Perhubungan Yesus dengan Aku?

Anda mungkin terfikir: “Apakah perhubungan Yesus dengan aku?”  Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Yesus adalah Imanuel – “Tuhan menyertai kita”. Dia adalah Tuhan yang datang ke dunia kita untuk menanggung kelemahan manusia bersama dengan kita. Dia memahami kelemahan-kelemahan kita dan bersimpati dengan kelemahan kita. Yesus tidak mengeluarkan kita daripada penderitaan dan cabaran hidup tetapi Dia berjalan bersama dengan kita dalam kehidupan harian kita. Itulah perhubungan intim yang Dia ada dengan setiap di antara kita.

Menurut rasul Petrus, “tiada nama lain” di dalam dunia ini yang membawa keselamatan – ia menunjukkan agama Kristian yang eksklusif ( Kisah Para Rasul 4:12 ). Huraian ini berkemungkinan tidak dapat diterima oleh masyarakat majmuk yang beranggapan toleransi terhadap agama adalah kebaikan yang utama. Pada hakikatnya, terdapat ramai orang yang berpendapat pengabdian yang eksklusif terhadap mana-mana satu sistem agama tidak perlu kerana mereka beranggapan bahawa  semua agama pada asasnya adalah sama. Di sebalik pendapat ini, tersembunyi satu impian agar semua manusia dapat hidup bersama dengan rukun dan damai di dunia – Siapakah yang ingin tercetusnya peperangan suci? Pada hari ini terdapat ramai orang yang tidak memegang faham ateis akan tetapi mereka mempunyai nurani yang semulajadi untuk menyembah Tuhan kerana mereka berpegang kepada fahaman sekular. Mereka ini terlahir daripada masyarakat yang terselindung nuraninya (Roma 1:18-21). Akan tetapi, apabila kita mempunyai satu pemahaman tentang perhubungan Yesus dengan kita, kesedaran untuk percaya kepadaNya akan wujud dalam diri kita kerana:

Yesus adalah Juru Selamat dunia – Dan keselamatan tidak ada di dalam sesiapapun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan (Kisah Para Rasul 4:12).

Yesus adalah Tuhan yang menghakimi dunia – Sebab kita semua harus menghadap takhta pengadilan Kristus, supaya setiap orang memperoleh apa yang patut diterimanya, sesuai dengan yang dilakukannya dalam hidupnya ini, baik ataupun jahat (2 Korintus 5 : 10).

A. Yesus Kristus adalah Juru Selamat Dunia Ini.

Yesus Kristus telah dilahirkan di Betlehem, Yudea lebih kurang 2000 tahun yang lalu. Seorang malaikat Tuhan telah muncul di kalangan beberapa orang gembala dengan berkata, “Aku memberitakan kepadamu kesukaan besar untuk seluruh bangsa. Hari ini telah lahir bagimu Juru Selamat di kota Daud. Dia adalah Tuhan Kristus.” (Lukas 2: 8-11). Dari kenyataan ini, kita sedia maklum bahawa Tuhan Yesus Kristus datang ke dunia ini untuk menjadi Juru Selamat kepada semua iaitu menyelamatkan kita dari dosa (Matius 1:21, 1 Timotius 1:15).

l) Yesus Kristus Adalah Tuhan Dalam Rupa Manusia.

Yesus Kristus dikandung oleh seorang dara bernama Maria melalui Roh Kudus (Matius 1:18-23). Dia adalah Tuhan di dalam rupa seorang manusia – “Pada mulanya adalah Firman, Firman itu bersama-sama dengan Tuhan dan Firman itu adalah Tuhan…Firman itu telah menjadi manusia dan diam di antara kita.” (Yohanes 1:1,14). Memandangkan Dia berasal dari Tuhan, Dia adalah satu dengan Tuhan. ”Aku dan Bapa adalah satu” – Dialah satu-satunya Juru Selamat dunia ini. (Yohanes 10:30,14:8-10).

2)  Dia melakukan tanda mujizat.

Yesus Kristus telah menunjukkan banyak mujizat dan menyembuhkan pelbagai penyakit manusia semasa memberitakan injil di dunia. (Matius 4:23-25, 8:14-16, Yohanes 20:30, Kisah Para Rasul 10:38). Seandainya Dia bukan Juru Selamat, bagaimanakah Dia dapat melakukan semua mujizat yang menghairankan itu untuk memuliakan Tuhan? (Matius 11:2-5, Yohanes 3:1-2, 20:31 ).

3)  Dia mengampuni dosa dan menyembuhkan penyakit.

Apabila Yesus memberitakan injil di Kapernaum, Dia memberitahu seorang lumpuh dengan berkata, “Hai anakku, dosamu sudah diampuni.” Beberapa ahli-ahli Taurat yang mendengarkan ini berfikir di dalam hati, “Siapa yang dapat mengampuni dosa selain daripada Tuhan sendiri?” Oleh itu, Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Kepadamu  Ku katakan, bangunlah, angkatlah tempat tidurmu dan pulanglah ke rumahmu.” Orang lumpuh itu bangun, segera mengangkat tempat tidurnya dan pergi ke luar di hadapan mereka (Markus 2:1-12). Peristiwa ini memberitahu kita bahawa Tuhan Yesus Kristus adalah Tuhan dan Juru Selamat dunia ini dan Dia mempunyai kuasa untuk mengampuni dosa. Orang lumpuh itu bukan sahaja disembuhkan tetapi yang lebih penting lagi, dosanya telah diampuni.

4)  Yesus Kristus Tanpa Dosa.

Tidak ada manusia yang dapat mengatasi hukum dosa (Roma 7:15-24) melainkan Yesus Kristus – Dia belum pernah tunduk kepada kuasa dosa. Kenyataan ini membolehkanNya menegaskan kebenaranNya dengan berani di depan musuh-musuh (Yohanes 18:38,19:4,6). Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus juga telah berkata, “Aku telah berdosa kerana menyerahkan darah orang yang tidak bersalah” (Matius 27:4). Yesus telah mengalahkan hukum dosa dan ternyata tanpa dosa (Ibrani 4:15). Oleh itu, Dia adalah Juru Selamat dunia ini yang dapat menyelamatkan kita dari belenggu dosa.

5)  Yesus Kristus Mati untuk Kita.

Yesus Kristus disalibkan – Dia telah menyerahkan DiriNya sebagai tebusan untuk menghapuskan dosa-dosa kita (Yohanes 1:29, I Timotius 2:6) – Sebab tidak mudah seorang mau mati untuk orang yang benar – tetapi mungkin untuk orang yang baik ada orang yang berani mati – Akan tetapi Tuhan menunjukkan kasihNya kepada kita, oleh kerana darahNya, kita pasti akan diselamatkan dari murka Tuhan (Roma 5:7-8). Dari manakah kita dapat mencari kasih yang begitu murni dan suci di dunia ini kalau bukan dari Tuhan? Hanya Yesus Kristus yang mempunyai kasih sedemikian yang berasal dari Tuhan. Oleh itu Dia layak sebagai Juru Selamat manusia.

6)  Yesus Kristus Berkuasa di Atas Hidup.

Yesus Kristus berkuasa untuk menyerahkan nyawaNya dan mengambilnya kembali (Yohanes 10:18). Dia bernubuat bahawa Dia akan dibunuh dan dibangkitkan pada hari yang ketiga (Matius 16:21). Selepas itu, Dia benar-benar dibangkitkan pada hari yang ketiga selepas kematianNya (Matius 27:62-66, 28:1-6) dan menampakkan diriNya kepada murid-muridNya untuk beberapa kali (I Korintus 15:3-8).

Oleh itu murid-muridNya tidak lagi bersembunyi di dalam rumah tetapi mereka telah tampil ke depan dengan berani untuk mengumumkan kebangkitan Kristus kepada semua orang yang menentang Injil kerana mereka mesti mengumumkan apa yang telah dilihat oleh mereka (Yohanes 20:19, Kisah Para Rasul 2:23-32, 4:20). Seandainya kebangkitan Yesus Kristus adalah khabar angin semata-mata dan tidak bernilai bagaimanakah murid-muridNya yang penakut ini menjadi berani secara mendadak untuk mengambil risiko menyebarkan khabar angin ini? Sama juga, Paulus yang menganiaya jemaat pada mulanya telah menjadi seorang penginjil yang sanggup menghadapi pelbagai rintangan demi Tuhan sehinggakan dia  menyerahkan nyawanya untuk Tuhan (Kisah Para Rasul 9:1-6, 2 Korintus 11:23-27,    2 Timotius 4:6-8). Kejayaan kehidupannya yang berdasarkan iman dibuktikan dari kenyataannya yang berbunyi: Aku telah mengakhiri pertandingan yang baik, aku telah mencapai garis akhir dan aku telah memelihara iman. Sekarang telah tersedia bagiku mahkota kebenaran yang akan dikaruniakan kepadaku oleh Tuhan, Hakim yang adil, pada hariNya; tetapi bukan hanya kepadaku, melainkan juga kepada semua orang yang merindukan kedatanganNya (2 Timotius 4:7-8).

Upah dosa adalah maut (Roma 6:23). Kita tidak boleh mengalahkan kuasa maut kerana kita tidak dapat mengalahkan hukum dosa . Hanya Yesus Kristus yang berkuasa mengalahkan hukum dosa dan terpelihara daripada dosa seumur hidupNya. Oleh itu maut tidak dapat membelengguNya kerana Dia dibangkitkan. KebangkitanNya membuktikan kepada seluruh dunia bahawa Dia adalah Sumber hidup dan Juru Selamat umat manusia (Kisah Para Rasul 1:15, Yohanes 11:25). Dia sahaja yang berkuasa mengalahkan iblis yang berkuasa di atas maut (Ibrani 2:14-15, Yohanes 5:24).

7) Kedatangan Kristus Yang Kedua Kali.

Tuhan Yesus Kristus bukan sahaja dibangkitkan dari maut tetapi Dia juga diangkat ke syurga untuk menyediakan tempat bagi murid-muridNya. Apabila Dia telah menyelesaikanNya, Dia akan kembali semula untuk mendapatkan mereka (Yohanes 14:1-3). Oleh itu kedatangan Kristus pada kali kedua menjadi pengharapan murid-muridNya yang terbesar dan kebangkitan serta pengangkatanNya ke syurga menjadi penjamin kepada pengharapan ini (Kisah Para Rasul 1:9-11). Sebelum Dia terangkat ke syurga, Tuhan Yesus memberitahu murid-muridNya, “Sebab jikalau Aku tidak pergi, Penghibur itu tidak akan datang kepadamu, tetapi jikalau Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepadamu” (Yohanes 16:7).

Roh Kudus telah diturunkan dan Dia memenuhi semua murid-murid pada hari Pentakosta (Kisah Para Rasul  2:1-4 ). Melalui peristiwa ini, mereka tahu bahawa Tuhan Yesus Kristus telah diangkat ke syurga  untuk menyediakan tempat bagi mereka dan Dia akan kembali semula untuk mendapatkan mereka. Mereka juga tahu bahawa Tuhan Yesus adalah Kristus yang dinubuatkan oleh para nabi selama beberapa generasi. Kenyataan ini telah membuktikan bahawa Yesus Kristus benar-benar telah dibangkitkan dan diangkat ke syurga. Seandainya Dia tidak terangkat ke syurga, Roh Kudus tidak akan diturunkan (Yohanes 16:7). Pada hari ini, Gereja Yesus Benar adalah gereja pada akhir zaman yang diasaskan oleh Tuhan Yesus Kristus melalui Roh Kudus – Dia adalah gereja kepercayaan para rasul yang dipulihkan semula.

8) Namanya yang Kudus Berkuasa.

Tuhan Yesus Kristus berjanji kepada murid-muridNya dengan berkata, “Jika kamu meminta sesuatu kepadaKu dalam namaKu, Aku akan melakukannya” (Yohanes 14:14). Setelah Tuhan terangkat ke syurga, murid-muridNya berdoa  di dalam nama Yesus dan melakukan banyak mujizat dan penyembuhan yang menghairankan (Kisah Para Rasul 3:1-10, 5:12-16, 19:11-12). Tuhan yang  bersama dengan jemaat pada awalnya juga bersama dengan Gereja Yesus Benar hari ini. Namanya yang kudus membawa kuasaNya sebagaimana dalam era permulaan gereja. Yesus berjanji bahawa Dia tidak akan berubah – dia akan melakukan segala yang kita minta dalam namaNya, asalkan ianya menurut kehendak Tuhan. Seandainya Dia tidak tinggal di syurga sekarang, bagaimanakah janjiNya digenapkan pada hari ini? Seandainya Dia bukan Juru Selamat, bagaimanakah namaNya begitu berkuasa? Bagaimanakah Dia mendengar doa murid-muridNya?

Daripada perbincangan di atas, kita sedar bahawa kita memerlukan Yesus yang adalah Tuhan dan Juru Selamat dunia – tidak ada keselamatan melainkan Dia (Kisah Para Rasul 4:12). Dia datang ke dunia ini untuk mencari dan menyelamatkan semua orang berdosa yang sesat (Matius 9:10-13, Lukas 15:1-10, 19:10, I Timotius 1:15).

B. Yesus Adalah Tuhan yang Menghakimi.

Yesus Kristus bukan sahaja Juru Selamat dunia ini tetapi Dia juga merupakan Tuhan yang menghakimi. Dia merupakan Penghakim kepada mereka yang percaya kepadaNya (Yohanes 3:16-18).

Apabila Dia memberitakan Injil kepada orang-orang Yahudi, Dia berkata, “Bapa tidak menghakimi siapapun, melainkan telah menyerahkan penghakiman itu seluruhnya kepada Anak” (Yohanes 5:22). Dia juga berkata, “Aku datang ke dalam dunia untuk menghakimi, supaya barangsiapa yang tidak melihat, dapat melihat, dan supaya barangsiapa yang dapat melihat, menjadi buta” (Yohanes 9:39). Petrus juga telah bersaksi untukNya kemudian dengan berkata, “Dan Dia telah menugaskan kami memberitakan kepada seluruh bangsa dan bersaksi, bahawa Dialah yang ditentukan Tuhan menjadi Hakim atas orang-orang hidup dan orang-orang mati” (Kisah Para Rasul 10:42).

Berdasarkan kenyataan kebangkitan Yesus Kristus, Paulus bersaksi bahawa dia adalah Tuhan yang menghakimi. Dia mengumumkan kepada golongan Ateis, “Kerana Ia telah menetapkan suatu hari, pada waktu mana Ia dengan adil akan menghakimi dunia oleh seorang yang telah ditentukanNya, sesudah Ia memberikan kepada semua orang suatu bukti tentang hal itu dengan membangkitkan Dia dari antara orang mati” (Kisah Para Rasul 17:31).  Yesus Kristus mengalahkan hukum dosa dan memelihara diri dari dosa seumur hidupNya. Dia mengalahkan maut dan dibangkitkan melalui hal ini, Dia telah menjadi saksi kepada seluruh dunia bahawa Dia adalah raja di atas kehidupan yang mempunyai kuasa mutlak untuk menjadi Juru Selamat dan Penghakim dunia.

Siapakah yang Akan Dihakimi?

1) Mereka yang enggan mendengar atau mematuhi Injil.

Apabila Yesus Kristus mengutus murid-muridNya keluar menginjil, Dia memberitahu mereka, “Dan apabila seorang tidak menerima kamu dan tidak mendengar perkataanmu, keluarlah dan tinggalkan rumah atau kota itu dan kebaskanlah debunya dari kakimu. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya pada hari penghakiman tanah Sodom dan Gomora akan lebih ringan tanggungannya daripada kota itu”              (Matius 10:14-15). Sodom dan Gomora telah hangus dimakan api yang diturunkan oleh Tuhan dari Syurga kerana dosa-dosa mereka (Kejadian 18:20, 19:24-25). Sebelum kemusnahan mereka, Tuhan tidak memberikan mereka sebarang amaran. Sehubungan dengan itu, mereka yang enggan mendengar Injil akan dihakimi kerana dosa asal mereka (Roma 5:12, I Korintus 15:22). Bagi mereka yang enggan mematuhi Injil yang mereka dengar, mereka akan dijatuhkan hukuman yang lebih berat pada Hari Penghakiman.

2) Mereka yang enggan bertaubat selepas menyaksikan mujizat.

Yesus mula mengecam kota-kota yang enggan bertaubat walaupun banyak mujizatNya telah ditunjukkan.”Celakalah engkau Khorazim! Celakalah engkau Betsaida! Kerana jika di Tirus dan di Sidon terjadi muzizat-muzizat yang telah terjadi di tengah-tengah kamu, sudah lama mereka bertaubat dan berkabung. Tetapi Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, tanggungan Tirus dan Sidon akan lebih ringan daripada tanggunganmu. Dan engkau Kapernaum, apakah engkau akan dinaikkan sampai ke langit? Tidak, engkau akan diturunkan sampai ke dunia orang mati! Kerana jika di Sodom terjadi mujizat-mujizat yang telah terjadi di tengah-tengah kamu, kota itu tentu masih berdiri sampai hari ini. Tetapi Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, tanggungan negeri Sodom akan lebih ringan daripada tanggunganmu (Matius 11:20-24).

Apabila Yesus datang semula untuk menghakimi dunia, mereka yang belum bertaubat lebih ringan tanggungannya memandangkan mereka belum pernah menyaksikan sebarang mujizat. Bagi mereka yang tegar hatinya dan enggan bertaubat, walaupun telah menyaksikan mujizat-mujizat, mereka akan menerima penghukuman yang lebih berat. Yesus telah melakukan banyak mujizat-mujizat untuk membuktikan kepada orang-orang Yahudi bahawa Dia adalah Kristus, Anak Tuhan yang Hidup                ( Yohanes 20:30-31 ). Dia mendengar doa kita pada hari ini, menyembuhkan penyakit kita dan menyelamatkan kita dari bahaya. Dia benar-benar telah diangkat ke Syurga dan hidup untuk selama-lamanya. Dia adalah Juru Selamat dan Penghakim dunia ini (Kisah Para Rasul 17:31). Oleh itu, sesiapa yang pernah menyaksikan mujizat Tuhan dengan mata sendiri harus bergegas untuk bertaubat dan percaya kepadaNya demi mengelakkan penghukuman yang berat pada akhir zaman.

Berbahasa Roh.

     Paulus berkata, “Kerana itu karunia bahasa Roh adalah tanda bukan untuk orang yang beriman tetapi untuk orang yang tidak beriman… (I Korintus 14:22). Perkataan “tanda” ini membawa maksud “mujizat”. Apabila Yesus berkata, “Tanda-tanda ini akan menyertai orang-orang yang percaya, dia telah membentangkan lima mujizat dan salah satu daripadanya adalah “berbahasa”  Roh (Markus 16:17-18). Dari sini, kita tahu bahawa berbahasa Roh adalah satu mujizat kepada mereka yang tidak percaya. Ini akan membolehkan mereka tahu bahawa Tuhan sememangnya wujud di cakrawala ini. Ini disebabkan kita tahu bahawa Tuhan diam di dalam kita melalui Roh yang diberikanNya kepada kita (I Yohanes 3:24). Kita juga sedia maklum seseorang telah menerima Roh Kudus dengan mendengarnya berbahasa Roh  (Kisah Para Rasul 10:44-47). Memandangkan berbahasa Roh adalah satu mujizat yang mempunyai kuasa yang sama untuk mengusir setan dan menyembuhkan penyakit, mereka yang enggan bertaubat dan percaya setelah mendengar bahasa-bahasa Roh yang diucapkan akan dihakimi dengan lebih berat pada Hari Penghakiman.

Sebagai kesimpulannya, mereka yang telah menyaksikan tanda muzizat (termasuk berbahasa Roh) tetapi enggan bertaubat akan menerima penghukuman yang lebih berat pada Hari Penghakiman. Ini termasuk juga mereka yang enggan dibaptis ke dalam Kristus setelah disembuhkan oleh Tuhan atau  mereka yang mempunyai pengalaman mengenai bahasa Roh.

Hidup yang Kekal di Dalam Yesus Kristus.

Petrus telah menggunakan beberapa fakta dalam sejarah untuk memberi amaran kepada kita kerana penghakiman itu adalah suatu perkara yang nyata. Dia berkata, “Sebab jika Tuhan tidak menyayangkan malaikat-malaikat yang berbuat dosa tetapi melemparkan mereka ke dalam neraka dan dengan demikian menyerahkannya ke dalam gua-gua yang gelap untuk menyimpan mereka sampai pada hari penghakiman dan jikalau Tuhan tidak menyayangkan dunia purba tetapi hanya menyelamatkan Nuh, pemberita kebenaran itu,dengan tujuh orang lain, dan jika Dia membinasakan kota Sodom dan Gomora dengan api dan dengan demikian memusnahkannya menjadi suatu peringatan untuk mereka yang hidup fasik; tetapi Ia menyelamatkan Lot, orang yang benar, yang terus menerus menderita oleh cara hidup orang-orang yang tidak mengenal hukum…maka nyata bahawa Tuhan tahu menyelamatkan orang-orang saleh daripada pencobaan dan tahu menyimpan orang-orang yang jahat untuk disiksa pada hari penghakiman” (2 Petrus 2:4-9).

Yudas juga berkata, “Tuhan  menyelamatkan umatNya dari tanah Mesir, namun sekali lagi membinasakan mereka yang tidak percaya. Dan bahawa Ia menahan malaikat-malaikat yang tidak taat pada batas-batas kekuasaan mereka, tetapi telah meninggalkan tempat kediaman mereka – dengan belenggu abadi di dalam dunia kekelaman sampai penghakiman pada hari besar. Sama seperti Sodom dan Gomora dan kota-kota sekitarnya, yang dengan cara yang sama melakukan percabulan dan mengejar kepuasan-kepuasan yang tidak wajar, telah menanggung siksaan api kekal sebagai peringatan kepada semua orang” (Yudas 5-7). Tuhan yang mencipta langit, bumi dan segalanya adalah Tuhan yang penyayang dan adil. Melalui kasihNya, semua yang bertaubat dan percaya kepada Tuhan Yesus Kristus tidak akan binasa tetapi mewarisi hidup kekal. Akan tetapi sesiapa yang mengeraskan hatinya dan tidak percaya kepada Yesus Kristus akan dihukum untuk selama-lamanya berdasarkan keadilan Tuhan (Yohanes 3:16-18, 2 Tesalonika 1:7-9)

Menurut catatan Alkitab, Paulus telah berdiri menghadapi Feliks untuk membela dirinya apabila askar Roma menghantar Paulus kepada Kaisar. Dia berbicara tentang kebenaran penguasaan diri dan penghakiman yang akan datang. Feliks menjadi takut dan berkata, “Cukuplah dahulu dan pergilah sekarang; apabila ada kesempatan baik aku akan memanggil engkau.” Walaupun begitu, dia tetap mengeraskan hatinya dan ternyata akan binasa (Kisah Para Rasul 23:31-33, 24:25-27).

Bagaimanakah kita akan luput, jikalau kita menyia-yiakan keselamatan yang sebesar itu, yang mula-mula diberitakan oleh Tuhan, dan oleh mereka yang telah mendengarnya, kepada kita dengan cara yang dapat dipercayai sedangkan Tuhan meneguhkan kesaksian mereka oleh tanda-tanda mujizat dan oleh berbagai-bagai pernyataan kekuasaan dan kerana Roh Kudus, yang dibagi-bagikanNya menurut kehendakNya (Ibrani 2:3-4). Wahai kawan-kawan yang ingin mengetahui tentang Kebenaran, renungkanlah kata-kata ini dan terimalah Tuhan Yesus Kristus ke dalam hidupmu sebagai Tuhan dan Juru Selamat kamu sendiri sekarang!

(Dibaca : 658 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *