Mengapakah Saya Perlu Percaya kepada Yesus?

Yesus Kristus, Anggota Penyelamat

Anda, seorang yang tidak tahu berenang, sedang lemas dalam lautan yang dalam dan bergelora. Bersendirian, kepenatan dan terdesak – anda menjerit meminta tolong dengan sekuat hati. Dalam saat-saat yang genting ini, apakah jenis penyelamat yang berkemungkinan besar menyelamatkan anda? Adakah seorang anggota penyelamat yang profesional atau seorang perenang yang tidak berpengalaman?

Kita iaitu semua umat manusia, lemas dalam air yang dalam dan merbahaya. Kita bertungkus lumus mengangkat kepala kita di atas paras air tetapi mendapati usaha ini amat meletihkan. Ada di antara kita yang akhirnya kehilangan tenaga dan hilang di dalam arus lautan yang tidak mengenal belas kasihan. Tiba-tiba sebuah Bahtera muncul. Anggota penyelamat yang berada di dalam Bahtera ini mencampakkan satu pelampung kepada orang-orang yang lemas. Dia menarik dan menyelamatkan mereka. Selepas itu, Dia mencampakkan pelampung itu semula dengan harapan untuk menyelamatkan lebih ramai orang. Akhirnya, anggota penyelamat ini mengadaikan keselamatanNya sendiri dan terjun ke dalam air yang bergelora. Dia memanggil semua orang untuk mendekati Bahtera itu dan menyelamatkan mereka.

Yesus Kristus adalah anggota penyelamat yang memiliki kuasa dan hikmat yang melebihi semua pakar perenang. Dia adalah satu-satunya Juru Selamat manusia yang lemas. Adakah anda termasuk orang-orang yang telah diselamatkan oleh Yesus Kristus dan ditempatkan di dalam Bahtera yang selamat? Atau adakah anda masih lagi bertungkus lumus dalam air yang dalam, mencurigai kemampuan Anggota Penyelamat ini sambil mencuba sedaya upaya mengapungkan diri? Kemungkinan, anda tidak mengenali siapakah Anggota Penyelamat ini kerana anda begitu jauh dariNya.

Analogi di atas mengenai Anggota Penyelamat dan perenang-perenang yang lemas merupakan jawapan kepada soalan: “Mengapakah Kita Perlu Percaya Kepada Yesus?” Sebab pertama kita perlu mempercayai Yesus adalah kerana kita sedang lemas di dalam Lautan Dosa yang bergelora. Keduanya, kita memerlukan Yesus kerana hanya Dia yang berupaya menyelamatkan kita dari jerat maut.

A. Tenggelam di dalam Lautan Dosa.

Manusia sedang tenggelam di dalam Lautan Dosa. Sebelum ini, Buku Jatuh dari Anugerah (Jilid Dua Tangga Menuju Syurga) telah membincangkan dengan terperinci masalah yang lazim dihadapi manusia – dosa. Kita pelajari bahawa semua orang telah berdosa (Roma 3:23) dan tidak ada seorang manusia di dalam dunia yang tidak berdosa. Terdapat “dosa asal” yang diwarisi dari nenek moyang kita (Mazmur 51:7) dan juga dosa yang dibuat oleh setiap orang (Roma 5:12). Menurut Paulus, “Kitab Suci telah mengurung segala sesuatu di bawah kekuasaan dosa” (Galatia 3:22).

Memandangkan semua umat manusia telah berdosa, kita pun berada di bawah murka Tuhan. Akibatnya adalah penghukuman yang tidak dapat dielakkan (Nahum 1:3, Roma 2:6). Di atas dosa-dosa kita itu, kita terpaksa menanggung penderitaan dalam hidup ini, diancam oleh maut, berdepan dengan kemusnahan dunia dan penghakiman selepas kita mati. Untuk mengelakkan diri daripada penghakiman yang sedemikian, kita mesti dibebaskan dari dosa untuk meredakan amarah Tuhan – kita hanya dapat melepaskan diri daripada dosa dengan mempercayai Yesus.

B. Cuba Menyelamatkan Diri Sendiri.

Kenikmatan Kebendaan Tidak Dapat Membebaskan Kita daripada Penderitaan.

Raja Salomo pernah cuba membebaskan dirinya daripada penderitaan, kesusahan dan kesedihan melalui kenikmatan kebendaan (Pengkhotbah 1:12 -18). Dia berkata, “Aku berkata dalam hati, ‘Mari, aku hendak menguji kegirangan” (Pengkhotbah 2:1). Akan tetapi ianya tidak dapat membebaskannya daripada kesedihan ataupun mengisi kekosongan di dalam hidupnya. Oleh itu, dia berkata, “Tetapi itupun sia-sia” (Pengkhotbah 2:1). Tentu sekali dia dipenuhi kegembiraan semasa dia memuaskan keinginan nafsunya dan mengejar kenikmatan kebendaan (Pengkhotbah 2:10). Walaupun begitu, ianya merupakan keseronokan badani yang terhad dan sementara kerana ianya bukan kegirangan rohani.

Oleh itu, apabila Salomo sudah lanjut usianya, dia sedar dan berkata: “Ketika aku meneliti segala pekerjaan yang telah dilakukan tanganku dan segala usaha yang telah kulakukan untuk itu dengan jerih payah, lihatlah, segala sesuatu adalah kesia-siaan dan usaha menjaring angin; memang tak ada keuntungan di bawah matahari (Pengkhotbah 2:11). Dia juga berkata, “Segala sesuatu menjemukan, sehingga tak terkatakan oleh manusia : mata tidak kenyang melihat, telinga tidak puas mendengar.” (Pengkhotbah 1:8).

Kebendaan yang Berkelimpahan tetapi Kerohanian yang Muflis.

Masyarakat yang moden hari ini didirikan di atas fahaman kapitalis dan sekular – teras keruntuhan sosial. Kemajuan ekonomi dalam kebanyakan negara membolehkan rakyatnya menikmati kesenangan yang dibawa oleh benda-benda yang berlimpah-limpah. Walaupun manusia menikmati kesejahteraan kebendaan, kehidupan rohani mereka ternyata serba kekurangan. Walaupun tubuh jasmani mereka mempunyai khasiat yang mencukupi tetapi jiwa dan hati mereka kelaparan. Hidup mereka yang kelihatan bermakna ternyata penuh dengan kekosongan. Ini ditambah lagi dengan tekanan kerja yang amat membebankan sehingga ramai orang yang menderita penyakit insomia yang serius dan memerlukan pil-pil untuk membantu mereka tidur. Terdapat segelintir orang yang menghadapi tekanan psikologi yang hampir menjadikan mereka gila. Ahli psikologi juga tidak tahu bagaimana mengubati orang-orang ini. Akhirnya, setelah mereka tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah dalam hidup mereka, mereka akan membunuh diri kerana mereka kehilangan azam untuk meneruskan hidup. Kemuflisan rohani pada tahap ini adalah disebabkan manusia telah lalai memupuk rohani yang perlu bagi mereka.

Kehidupan Yang Seimbang Amat Diperlukan

Masalah-masalah sosial yang disebutkan di atas menunjukkan ciri-ciri masyarakat yang berlandaskan perindustrian. Kepuasan yang diperolehi daripada kenikmatan kebendaan tidak dapat menggantikan penderitaan, masalah-masalah dan kekosongan di dalam hidup. Kita memerlukan makanan fizikal dan rohani untuk mengekalkan satu kehidupan yang seimbang (Amos 8:11). Yesus berkata, “Manusia hidup bukan dari roti saja tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Tuhan” (Matius 4:4). Kesejahteraan kerohanian kita hanya dapat dipenuhi dengan penerimaan firman Tuhan.

Bagaimanakah kita mencapai kehidupan yang padu dan seimbang? Hanya terdapat satu cara untuk memahami Firman Tuhan iaitu dengan mempercayai Yesus Kristus kerana Kebenaran FirmanNya didedahkan melaluiNya (Yohanes 1:14, Galatia 1:12).

Apakah pendapat ahli falsafah hari ini?

Kekosongan, kesedihan, keraguan, putus asa…inilah gambaran hidup yang lazim digunakan. Untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam hidup, segolongan manusia menumpukan sepenuh masa mereka untuk mempelajari falsafah hidup. Akan tetapi, adakah falsafah benar-benar dapat menyelesaikan masalah-masalah hidup? Manusia telah mengkaji falsafah dan mencari erti hidup ini untuk beribu-ribu tahun lamanya. Apakah kesimpulan yang diperolehi oleh mereka? Jawapan yang diperolehi hanya menambahkan siksaan para intelektual sahaja. Marilah kita pertimbangkan contoh-contoh yang berikut:

1) Hidup ini adalah sia-sia.

Kesedaran eksistensialisme manusia bermula apabila Dostoievsky yang berkata, ”Seandainya Tuhan tidak wujud, segala sesuatu diperbolehkan.” Sama juga, Jean Paul Sartre (1905-1980), seorang ahli falsafah eksistensialisme telah membuat satu pernyataan terkemuka yang berbunyi, “Saya ‘dikutuk’ untuk menjadi bebas”. Ia ditulis di dalam karyanya yang bersejarah mengenai antologi yang luar biasa berjudul, ‘Manusia dan kekosongan’. Prinsip asas Sartre mengenai eksistensialisme berdasarkan formula kewujudan mendahului antipati. Formula ini berbeza daripada metafizik yang tradisional. Sejak zaman Plato, intipati mendahului kewujudan ditekankan. Bagi Sartre, teorinya itu bermaksud, ’manusia wujud terlebih dahulu kemudian dia akan berdepan dengan dirinya dan muncul di dalam dunia di mana dia akan menentukan pendirian dirinya kemudian. Maksudnya manusia hanyalah wujud pada mulanya.

Menurut Sartre:

Tidak ada apa-apa yang dapat menyakinkan aku, terpisah dari dunia dan dari intipati aku sendiri oleh kekosongan yang merupakan aku. Aku terpaksa sedar akan makna dunia dan intipati aku. Aku membuat keputusan mengenainya tanpa justifikasi dan tanpa alasan. (Being and Nothingness, m.s. 39)

2) Kehidupan adalah Satu Tragedi.

Dapatkah falsafah menghilangkan kemurungan atau mengisi kekosongan di dalam hidup? Jawapannya adalah negatif. Menurut Sartre kewujudan manusia adalah berdasarkan kesedaran dan kebebasan yang sepenuhnya:

Berdasarkan kepada faktor utama bahawa aku sedar akan sebab-sebab ini adalah objek unggul kesedaran aku walaupun ianya adalah secara luaran. Aku akan berusaha mencari dan mendapatkannya walaupun ianya sia-sia belaka. Namun begitu, kewujudan aku yang menyebabkan kehilangannya. Aku ditakdirkan menjadi bebas. Maksudnya kebebasan aku tidak terhad dan tidak dapat dicari melainkan di dalam kebebasan itu sendiri. Maksudnya kita tidak mempunyai kebebasan untuk menghentikan kebebasan kita. Ianya sampai ke satu tahap di mana wujudnya sifat “demi diri” yang bertujuan menyembunyikan kekosongan diri sendiri. Ini ditambahkan lagi dengan sifat “dalam diri” sebagai unsur diri yang sebenar. Ianya juga bertujuan menyembunyikan kebebasan diri daripada dirinya sendiri.

Realiti manusia itu bebas kerana ianya tidak mencukupi. Ia bebas kerana ia telah melepaskan dirinya dan ia telah dipisahkan oleh kekosongan yang merupakan dirinya yang sebenar dan dirinya yang akan datang. Akhir sekali, ia bebas kerana dirinya adalah kekosongan dalam bentuk “renungan dan merenung kembali”. Manusia adalah bebas kerana dia bukanlah dirinya yang sebenar tetapi merupakan dirinya yang wujud. Diri seseorang yang sebenar tidak boleh bebas. Kebebasan pada hakikatnya adalah kekosongan yang “dibuat” di hati manusia dan yang memaksa manusia berdepan dengan realiti untuk “membentuk dirinya” sahaja. Seandainya kita berdepan dengan realiti manusia, manusia harus “memilih dirinya” kerana tidak ada apa-apa pun yang datang kepadanya dari luar atau dari dalam yang boleh “diterima”. Sekiranya tanpa sebarang bantuan ianya terserah kepada keperluan untuk membentuk diri – sehingga ke butir yang terperinci. Oleh itu, kebebasan bukanlah “satu kewujudan” tetapi ia adalah “kewujudan” manusia – contohnya kewujudannya yang kosong…manusia tidak boleh bebas dan diperhambakan sekali-kala. Seandainya dia bukan bebas sama sekali untuk selama-lamanya, dia tidak akan bebas untuk selama-lamanya. (Being and Nothingness, m.s. 439 – 441)

3. Usaha Sepanjang Hidup Berakhir dengan Kekosongan.

Ernest Hemingway ( 1899 – 1961 ) menggambarkan kesia-siaan hidup beliau dalam bukunya yang popular iaitu ‘The Old Man and the Sea’. Buku ini telah dihadiahkan anugerah Pulitzer pada tahun 1953 (buku ini juga membawa kejayaan kepadanya dengan kemenangan Anugerah Nobel dalam kesusasteraan pada tahun 1954). Santiago merupakan seorang nelayan berbangsa Cuba yang tua. Dalam cerita ini, dia berusaha dengan payah selama berjam-jam di Teluk Stream untuk menangkap gergasi mersuji. Setelah bertungkus lumus, dia berjaya menangkap ikan tersebut dan memulakan pelayaran pulang ke rumah. Akan tetapi ikan jerung muncul sebanyak empat kali untuk menelan ikannya. Dia berusaha melawan ikan-ikan jerung itu. Dia berkata,”Manusia tidak diciptakan untuk menerima kekalahan. Manusia boleh dimusnahkan tetapi tidak boleh dikalahkan. ( The Old Man and the Sea, m.s. 103 ). Apabila tiba waktu malam, dia hanya mempunyai separuh daripada ikan yang besar itu. Akan tetapi datang satu rombongan ikan jerung yang menghabiskan ikan yang tinggal. Setibanya di rumah, dia mendapati dirinya dipenuhi luka-luka akibat pergelutannya dengan ikan-ikan jerung. Walaupun orang tua ini berusaha sedaya upaya melawan ikan jerung daripada hasil tangkapan yang bernilai dan susah diperolehi, orang tua ini tidak membawa apa-apa pulang ke rumah kecuali tulang-tulang ikan. Kesungguhannya begitu utuh dan semangatnya sungguh mengkagumkan. Akan tetapi apakah yang diperolehi orang tua ini akhirnya? Kekosongan – hanyalah tulang-tulang ikan. Cerita ini mencerminkan kehidupan moden kita – kehidupan yang sibuk, emosi yang tertekan dan hati yang bimbang. Penderitaan dan usaha sepanjang hidup mungkin membawa status, prestij, kekayaan, kenamaan dan kekuasaan kepada kita. Walaupun begitu, apakah yang kita perolehi akhirnya? Usaha kita di sepanjang kehidupan kita berakhir dengan kekosongan.

4) Falsafah Memperkatakan Kesia-siaan Hidup.

Apakah sumbangan falsafah kepada manusia? Ia merupakan ilham kepada pengetahuan kita dan mencabar pemikiran kita. Ia membolehkan kita melihat kebenaran mengenai hidup dengan lebih jelas. Akan tetapi apakah akibat semua ini selain daripada menambahkan kesedihan kita. Falsafah menunjukkan kepada kita kesedihan dan kekosongan hidup ini. Ia menimbulkan banyak persoalan tentang hidup tetapi tidak memberikan jawapan yang menyeluruh. Ia tidak menunjukkan kepada kita cara membebaskan diri dari kesia-siaan hidup ini.

Pada masa dahulu, Raja Salomo menyatakan falsafah kesia-siaan. Beliau berkata, “Aku telah memperbesar dan menambah hikmat lebih daripada semua orang…tetapi aku sedar bahawa hal inipun adalah usaha menjaring angin kerana di dalam banyak hikmat ada banyak susah hati dan siapa memperbanyak pengetahuan memperbanyak kesedihan.” (Pengkhotbah 1:16-18). “Hikmat dan pengetahuan” termasuk falsafah kerana Alkitab mencatatkan Tuhan memberikan Salomo semua pengetahuan dan hikmat. Dia boleh menamakan semua benda iaitu daripada bintang-bintang di langit hinggalah setiap tumbuhan di bumi. Apakah yang diperolehi oleh Salomo daripada semua hikmat dan pengetahuannya? Dia menyambung bahawa dia tidak dapat apa-apa kembali kecuali kesedihan dan kehibaan kerana hidup ini sia-sia belaka!

5) Maut Datang kepada Aku.

Kehidupan bermaksud jerih payah yang tidak berkesudahan dan usaha yang berterusan untuk membebaskan diri daripada jerih payah ini. Pengakhiran semua ini adalah maut. Semua berakhir dengan maut dan yang mati itu meninggal dengan tangan yang kosong seperti semasa dia datang ke dunia ini iaitu dengan tangan yang kosong juga. Kita seringkali terdengar kematian orang-orang tertentu dalam berita, akan tetapi kematian saudara mara atau ahli keluarga sendiri lebih dirasai. Seseorang akan berfikir sedemikian, “Apakah yang akan aku lakukan apabila maut bukan sahaja menimpa orang lain secara amnya tetapi kepada aku khususnya.”

Memandangkan tidak ada sesiapapun yang dapat melarikan diri daripada maut, hidup ini ternyata tidak bermakna sama sekali seandainya tidak ada hidup yang kekal selepas maut. Umur yang panjang tidak lagi diingini. Fahaman hidup kebanyakan pendukung eksistensialisme adalah fahaman ateis – mereka tidak mengiktiraf kewujudan Tuhan.

C. Tuhan Boleh Menolong Kita.

Di manakah kita dapat mencari jawapan kepada pelbagai persoalan dalam kehidupan kita memandangkan falsafah gagal menyelesaikannya? Kesunyian tidak berdaya…ini merupakan ciri-ciri yang membentuk kehidupan ateis. Kita tahu bahawa kita harus berdepan dengan penderitaan dan perjuangan yang tidak berkesudahan sepanjang hidup kita seandainya tanpa bantuan Tuhan.

Kesimpulan dan Penyelesaian yang Asasi

Raja Salomo menulis dua belas fasal dengan terperinci dalam buku Pengkhotbah mengenai jerih payah, penderitaan dan kesia-siaan hidup. Ini diikuti dengan kesimpulannya: Akhir kata dari segala yang didengar ialah: takutlah akan Tuhan dan berpeganglah pada perintah-perintahNya kerana ini adalah kewajipan setiap orang. Kerana Tuhan akan membawa setiap perbuatan ke pengadilan yang berlaku ke atas segala sesuatu yang tersembunyi, entah itu baik, entah itu jahat. (Pengkhotbah 12:13-14). Maksudnya, Tuhan yang mencipta langit dan bumi serta semua isinya adalah Tuhan yang Adil. Kehidupan penuh dengan jerih payah, kesedihan dan kesia-siaan kerana manusia telah berdosa dan menjauhi Tuhan sehinggakan murka Tuhan menimpa kita.

Menunjukkan Jalan Keluar.

Hanya satu cara iaitu meninggalkan kejahatan dan didamaikan semula dengan Tuhan – menghormati dan mentaati hukum-hukumNya. Lantas memenuhi kewajipan manusia. Kesedaran ini mempertingkatkan lagi nilai buku Pengkhotbah yang melebihi semua hasil falsafah sehinggakan ia termasuk dalam ke 66 buah buku di dalam Alkitab. Ahli falsafah mengeluh tentang kepedihan dan kesia-siaan hidup ini tanpa menunjukkan jalan keluar daripada kesengsaraan hidup. Salomo yang menulis buku Pengkhotbah memperlihatkan kekelaman hidup tetapi dia juga membekalkan satu jawapan – takut akan Tuhan yang benar dan tunggal. Ia memberikan satu pengharapan dan pemahaman akan hidup kita.

Iman di dalam Yesus Kristus.

Tetapi Kitab Suci telah mengurung segala sesuatu di bawah kekuasaan dosa, supaya oleh kerana iman dalam Yesus Kristus janji itu diberikan kepada mereka yang percaya. (Galatia 3:2). Berdasarkan standard Alkitab, seluruh dunia “terkurung di bawah kekuasaan dosa”. Memandangkan manusia tidak dapat dibebaskan daripada cengkaman dosa, harapan tunggal untuk kita diselamatkan terletak dalam tangan Juru Selamat kita – Tuhan Yesus Kristus. Yesus adalah Firman yang menjelma menjadi manusia dan Dia adalah Tuhan Benar di syurga yang datang ke dalam dunia ini sebagai Juru Selamat kita.

D. Yesus Kristus Harapan Tunggal kita.

Semasa Yesus memberitakan Injil di dunia, Dia berseru kepada orang ramai,”Marilah kepadaKu, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.” Penyelamatan bukanlah satu cara untuk melarikan diri dari dunia tetapi ia merupakan satu seruan agar kita dihubungkan dengan dunia ini. Tuhan ada rancangan untuk digenapkan oleh kita melalui kehidupan kita dengan keluarga dan komuniti. Di situlah Tuhan sekarang – dalam kehidupan harian kita – di situlah Dia memberi kuasa kepada kita untuk mengalahkan dunia ini.

Hai kawan-kawan yang mengingini Kebenaran, adakah anda letih lesu dan berbeban berat? Adakah anda menanggung penderitaan daripada jerih payah dan kesusahan dalam hidup anda di mana anda merasa hidup ini sia-sia belaka? Hanya Yesus Kristus yang dapat mengambil beban ini dari hati anda dan memberikan anda jiwa yang tenang – datanglah kepada Yesus sekarang.

(Dibaca : 422 kali)