Percaya Kepada Yesus

Prakata

Sewaktu kita merentas jalan kehidupan, kita bergerak maju menuju ke arah-arah tertentu. Adakalanya kita akan bertembung dengan sekatan ataupun lencongan. Adakala pula kita terpaksa mendaki gunung atau bukit, menyeberang sungai ataupun mengharungi lautan. Biarpun apa jalan yang direntasi, semuanya akan berakhir di satu destinasi yang sama – Maut. Kebanyakan kita takut menghadapi titik penamat perjalanan tersebut memandangkan ia adalah kesudahan kepada segala sesuatu yang telah kita usahakan sepanjang hayat kita. Walaupun demikian, ada di antara kita yang mengharapkan ketibaan hari “Pengakhiran Muktamad”. Ini disebabkan kita sedang berada di tangga yang menuntun ke arah satu tempat indah iaitu tempat istirehat kekal abadi yang bernama Syurga. Adakah anda berada di tangga yang menuju ke Syurga?

Jilid ini membentangkan langkah yang ketiga daripada empat langkah untuk seseorang menempuh tangga ke kerajaan syurga. Adalah disyorkan supaya anda menghabiskan langkah yang pertama, Setiap Insan Perlu Menyembah Tuhan Yang Benar diikuti dengan langkah yang kedua Jatuh dari Anugerah sebelum membaca jilid ketiga yang berjudul Percaya Kepada Yesus. Anda juga dipelawa membaca langkah yang terakhir dengan teliti – Kembali Ke Gereja Yang Benar. Keempat jilid ini membawa kepada buku berjudul Tangga ke Syurga. Buku kecil ini memainkan peranan sebagai satu rujukan garis panduan kepada para pembaca tentang tangga masing-masing yang menuju ke Syurga.

Berkenaan jilid yang terakhir, kami memohon anda agar menantikan semuanya dengan bantuan doa dan di dalam kesabaran. Semoga terang kemuliaan di penghujung Tangga di Syurga ini akan mendorong anda untuk mengorak langkah ke depan. Semoga Roh Kudus menerangi setiap jejak langkah anda semasa anda mendekati terang di Syurga.

TUJUAN

Sebaik sahaja anda terlihat tajuk buku ini, reaksi anda yang pertama mungkin: “Percaya kepada Yesus? Untuk apa?” Anda mungkin mempertikaikannya dengan berkata, “Saya mengenali ramai orang yang hidup dengan baik tanpa Yesus dalam kehidupan mereka. Saya tahu saya tidak akan mati kelaparan atau mengalamai apa-apa kecederaan kalau saya tidak percaya kepada Yesus. Lagipun, saya tidak ada masa – bukankah hidup ini penuh dengan kesibukan? Oleh itu, mengapakah saya peduli?” Pendapat anda hanya bertepatan seandainya anda merujuknya kepada kehidupan di dunia pada masa ini. Ini disebabkan kepercayaan kepada Yesus Kristus meliputi implikasi-implikasi yang jauh melebihi keperluan fizikal. Seandainya kita kekurangan keperluan fizikal seperti makanan atau air, kita akan menanggung kesakitan yang hebat dan berkemungkinan mati di dalam keadaan-keadaan yang teruk. Sama juga, seandainya kita tidak percaya kepada Yesus Kristus, kita akan menderita penghukuman yang kekal selepas kematian kita. Walaupun begitu, kami ingin menunjukkan kepada anda berkat-berkat yang menghairankan yang anda akan terima apabila anda percaya kepada Yesus. Ini lebih baik daripada perasaan takut semasa menerima penghukuman. Silalah baca dengan teliti supaya anda dapat mengetahui perhubungan sebenar Yesus dengan anda.

Marilah kita rujuk kepada nas Alkitab yang berbunyi:

“Supaya dalam nama Yesus bertekuk lutut segala yang ada di langit dan yang ada di atas bumi dan yang ada di bawah bumi dan segala lidah mengaku, Yesus Kristus adalah Tuhan.” (Filipi 2:10,11)

Anda mungkin tertanya-tanya, apakah keistimewaan Yesus Kristus sehinggakan anda perlu percaya dan menyembahNya? Bukankah Dia hanya seorang nabi yang mengajar orang berbuat baik? Mengapakah golongan Kristian percaya Yesus adalah Tuhan dan Juru Selamat mereka? Mengapakah anda memerlukan Yesus Kristus? Alkitab menegaskan bahawa bukan segelintir manusia tetapi semua manusia “yang ada di langit dan yang ada di atas bumi dan yang ada di bawah bumi” – perlu percaya dan menyembah Yesus.

Buku kecil ini dimulakan dengan pandangan dari aspek negatif kehidupan manusia serta dilema-dilema yang lazimnya dihadapi oleh manusia pada hari ini. Kita akan meninjau secara kasar apa yang telah digariskan dalam Jatuh dari Anugerah ( Buku Dua ): penderitaan yang tidak dapat dielakkan dalam hidup akibat dosa-dosa sendiri. Dalam Bab Satu, Mengapakah Saya Perlu Percaya Kepada Yesus? Kita akan melihat pandangan-pandangan segelintir ahli falsafah moden mengenai hidup. Kita akan sedar bahawa walaupun kita cuba sedaya upaya, kita tidak akan dapat membebaskan diri kita daripada belenggu dosa.

Anda mungkin juga tertanya-tanya, bagaimanakah saya percaya kepada Yesus seandainya saya sama sekali tidak mengenaliNya? Bab Dua, Perhubungan Di Antara Yesus Dengan Saya, mendedahkan dua ciri intipati ketuhananNya yang paling asas : Kasih dan keadilanNya terhadap umat manusia. Kita akan faham tentang perhubungan Yesus yang intim dengan setiap di antara kita setelah kita memahami dua peranan utama yang dimainkanNya dalam sejarah manusia.

Akhirnya, Bab Tiga, Kebaikan-kebaikan Percaya kepada Yesus, menggariskan berkat-berkat yang dijanjikan dan diberikanNya kepada orang yang menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juru Selamat. Tuhan memberikan anugerah yang menghairankan kepada kita di samping berkat-berkat berkelimpahan yang dijanjikanNya. Ia mengalihkan perhatian kita kepada kuasa Roh Kudus yang dapat membantu kita menjalankan satu kehidupan yang berjaya dalam dunia ini.

Kami berharap buku kecil ini akan membantu anda mencapai satu kefahaman yang lebih jelas terhadap Tuhan Yesus Kristus. Semuga kecurigaan dan konsep-konsep yang anda bentuk sebelum ini terhadap Dia akan dilenyapkan. Anda berkemungkinan mempunyai banyak kemusykilan terhadap agama Kristian secara umum terutamanya terhadap Tuhan Yesus Kristus. Akan tetapi janganlah teragak-agak menghubungi penginjil-penginjil kami di mana-mana Gereja Yesus Benar yang berdekatan dengan anda kerana kami menghargai setiap pertanyaan anda.

Apabila anda membaca buku ini, sila pertimbangkan bahawa hikmat dan pengetahuan Tuhan itu begitu luas sekali. Buku ini dan buku-buku seterusnya hanya menyentuh sedikit daripada pemahaman kami yang terhad terhadap alam rohaniah. Seandainya anda mempunyai pertanyaan yang dianggap tidak terjawab dengan memuaskan, sila hantarkan soalan-soalan anda kepada alamat yang tercatat di belakang buku ini. Kami akan cuba sedaya upaya kami untuk membantu anda mencari Tuhan. Semuga Tuhan memberkati anda di atas usaha anda untuk mengenaliNya. Amin.

(Dibaca : 470 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *