Balasan Terhadap Dosa

Sebagai warganegara sesebuah negara, kita harus mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang negara kita. Peraturan-peraturan ini digubal demi memelihara kedamaian sosial dan menghukum mereka yang melanggar undang-undang. Sama juga, kita adalah ciptaan Tuhan dan terletak di bawah bidang kuasaNya. Untuk memelihara kedamaian alam semesta ini, Tuhan telah menetapkan hukum-hukumNya untuk ditaati oleh semua makhluk di bawah langit. Matahari, bulan dan semua bintang-bintang menurut susunan semulajadi yang telah diasaskan oleh Tuhan. Walaupun begitu, Adam dan Hawa membuat pilihan untuk melanggar satu-satunya perintah yang Tuhan berikan kepada mereka. Mereka tidak taat kepada Tuhan, sebaliknya mereka telah digoda oleh keangkuhan diri mereka kerana ingin sebijak Tuhan – mengenali yang baik dan yang jahat. Akibatnya, mereka kehilangan keistimewaan untuk tinggal di Taman Eden dan menanggung penghukumannya kemudian.

Adam dan Hawa bukan sahaja menerima penghukuman di atas kesalahan mereka malah dosa-dosa mereka telah diturunkan kepada anak-anak mereka dan generasi mereka yang seterusnya. Oleh itu, Tuhan beranggapan semua manusia di dalam dunia ini berdosa dan tidak ada seorangpun yang tidak berdosa di mataNya. (Roma 3:23, Galatia 3:22). Alkitab memberitahu kita bahawa penguasa alam semesta ini adalah Tuhan yang adil. Hukum yang adil ini tidak akan membebaskan dari hukuman orang yang berdosa. (Nahum 1:3). Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya. (Roma 2:6). Tidak ada seorangpun yang dapat melepaskan diri daripada hukuman dosa.

Apakah hukuman Tuhan terhadap dosa-dosa di dalam dunia?

Dosa tersebut adalah seperti berikut:

* Penderitaan di dalam kehidupan kita di dunia.

* Ancaman maut.

* Kemusnahan dunia.

* Penghakiman selepas maut.

A. Penderitaan di dalam kehidupan kita di dunia.

Kita tahu bagaimana Adam dan Hawa pernah tinggal di Taman Eden. (Kejadian 2:15,16). Mereka menurut perintah-perintah Tuhan. Kejahatan tidak wujud di dalam dunia kerana manusia tidak mempunyai pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Pada masa itu, “Tuhan melihat segala yang dijadikanNya itu, sungguh amat baik.” (Kejadian 1:31). Seandainya segala sesuatu baik, mereka tidak akan mengalamai apa-apa yang jahat seperti penderitaan, kesakitan, kesedihan, rasa bersalah, kehibaan dan lain-lain. Tuhan sentiasa berada di sisi mereka untuk memenuhi segala keperluan mereka. Walaupun begitu, Adam dan Hawa telah diusir dari Taman Eden kerana mereka melanggar hukum Tuhan. Dengan pembuangan yang kekal ini, manusia telah terjerumus ke dalam jurang neraka yang menjahamankan kerana mereka tidak lagi hidup di Taman Eden di bawah perlindungan Tuhan yang secara langsung. Sebaliknya mereka terpaksa berdepan dengan cabaran hidup, ancaman maut dan jerih payah sepanjang umur. Kesemuanya ini tidak dapat ditukar ganti dengan kenikmatan material.

1. Kita harus berjerih payah dan mengalirkan peluh untuk menyara hidup.

Setelah Adam berdosa, Tuhan telah menetapkan hukumanNya:

Kerana engkau mendengarkan perkataan isterimu dan memakan dari buah pohon yang telah Ku perintahkan kepadamu: Jangan makan daripadanya, maka terkutuklah tanah kerana engkau; dengan bersusah payah engkau akan mencari rezekimu dari tanah seumur hidupmu…dengan berpeluh engaku akan mencari makananmu, sampai engkau kembali lagi menjadi tanah.” (Kejadian 3:17,19)

Sebenarnya, Adam dan Hawa tidak perlu berjerih payah atau bekerja keras di Taman Eden. Mereka mengusahakan taman itu dan bebas memakan semua buah dalam taman itu kecuali pohon larangan.

(Kejadian 2:15,16). Setelah mereka dibuang dari taman itu, Tuhan mengutuk tanah sehinggakan mereka terpaksa berjerih payah dengan menderita dan berpeluh untuk mengisi perut mereka. (Kejadian 3:17,19).

2. Penderitaan dan kehibaan dalam hidup yang tidak dapat dielakkan.

Tuhan juga berfirman kepada Adam, “Semak duri dan rumput duri akan dihasilkannya (tanah) bagimu.” (Kejadian 3:18). Hidup kita tidak akan begitu menyusahkan sekiranya kehidupan kita terbentuk menurut usaha-usaha kita. Akan tetapi, kenyataan telah membuktikan bahawa penderitaan dan kesedihan tetap timbul walaupun kita telah membuat perancangan yang baik dan berjerih payah. Seperti seorang petani, kita membuat pelaburan, menyumbangkan tenaga dan berusaha dengan harapan untuk menuai hasil yang lumayan sebagai upah kita. Akan tetapi, tanaman kita itu dihalang dari berbuah oleh semak duri dan rumput duri (Lukas 8:7; Markus 4:7). Sama seperti semak dan rumput duri yang tidak dapat dielakkan, peristiwa-peristiwa yang tiba-tiba timbul di luar jangkaan kita akan terjadi – kemalangan, kehilangan pekerjaan, kematian orang yang disayangi, kecurian, gempa bumi, penyakit yang membawa memudaratkan dan sebagainya. Dengan adanya salah satu daripada duri ini di dalam hidup kita, semua impian kita hancur atau diubah secara mendadak. Ini ditambah lagi dengan keupayaan duri-duri untuk tumbuh dengan cepat dan banyak. Sebaik sahaja kita telah menghapuskan salah satu daripada penderitaan kita, duri yang lain tumbuh untuk menggantikannya.

3. Tuhan telah meletakkan beban yang berat untuk manusia.

“Aku membulatkan hatiku untuk memeriksa dan menyelidiki dengan hikmat segala yang terjadi di bawah langkit. Itu pekerjaan yang menyusahkan yang diberikan Tuhan kepada anak-anak manusia untuk melelahkan diri!” (Pengkhotbah 1:13).

Seandainya kata-kata di atas diucapkan oleh seorang yang tidak terkemuka dan yang kelelahan, kita tidak akan merasa hairan. Akan tetapi kata-kata tersebut telah diucapkan oleh Raja Salomo yang paling berhikmat, kaya dan mempunyai paling banyak hamba-hamba di dalam sejarah manusia. Dia tidak perlu bekerja di mana masa dan fikirannya diluangkan untuk menikmati kekayaan dan keseronokkan. Walaupun begitu, Salomo juga merasai beban berat yang diletakkan oleh Tuhan ke atas manusia.

Tidak kira apakah status kewangan kita, bahu kita senantiasa dibebankan dengan tanggungjawab dan komitmen kepada gereja, keluarga, pekerjaan, kawan-kawan dan lain-lain. Inilah yang membawa kepada peningkatan gejala tekanan dan kemurungan di dalam masyarakat masa kini. Pengakuan Salomo ternyata benar di dalam kehidupan manusia hari ini – tidak ada seorangpun yang dapat bertahan terhadap kutukan Tuhan.

4. Kenikmatan material tidak dapat menghapuskan jerih payah di dunia.

Alkitab mencatatkan bahawa tidak ada seorangpun di dalam sejarah yang pernah dan akan memiliki semua kualiti seperti Salomo dari segi status, hikmat, pengetahuan, kekayaan dan kenikmatan. Walaupun Salomo mempunyai semua kekayaan yang diidam-idamkan di dunia, dia telah mengenal pasti bahawa Tuhan telah meletakkan beban yang berat di atas manusia. Salomo mengaku, “Aku tidak merintangi mataku dari apapun yang dikehendakinya, dan aku tidak menahan hatiku dari sukacita apapun.” (Pengkhotbah 2:10). Kita beranggapan bahawa dia adalah orang yang paling gembira di dunia. Sebaliknya, raja ini mengeluh dan berkata, “Ketika aku meneliti segala pekerjaan yang telah dilakukan tanganku dan segala usaha yang telah kulakukan untuk itu dengan jerih payah, lihatlah, segala sesuatu adalah kesia-siaan dan usaha menjaring angin; memang tak ada keuntungan di bawah matahari.” (Pengkhotbah 2:11). Kenikmatan material tidak akan menghapuskan segala kesusahan dalam dunia.

“Dan kebanggaannya adalah kesukaran dan penderitaan.” (Mazmur 90:10). “Manusia yang lahir dari perempuan singkat umurnya dan penuh kegelisahan.” (Ayub 14:1). Kehidupan ini ternyata penuh dengan jerih payah, kesedihan dan penderitaan yang berterusan dan sentiasa menghadapi halangan-halangan seperti semak duri dan rumput duri yang tumbuh dengan segera sebaik sahaja ia dicabut. Semua jerih payah, kesusahan dan penderitaan manusia adalah akibat dosa yang menyebabkan tanah dikutuk. (Kejadian 3:17-18, 5:29).

B. Ancaman maut.

“Hidup” adalah perjalanan dari buaian ke liang lahad. Manusia menuju ke arah maut pada hari dia dilahirkan. Maut melambangkan tirai penutupan untuk persembahan drama berjudul, “Hidup”. Untuk masa yang tertentu anda mungkin menumpukan perhatian anda terhadap persembahan anda – melanjutkan pelajaran, memajukan kerjaya, mendirikan rumahtangga atau terjerumus ke dalam kenikmatan kebendaan. Walaupun begitu, kita akan berundur dari pentas drama hidup satu hari nanti apabila persembahan ini sampai ke penghujungnya.

1.Hukuman maut ke atas semua yang telah berdosa.

“Sebab engkau debu dan engkau akan kembali menjadi debu.” (Kejadian 3:19). Inilah hukuman maut yang Tuhan jatuhkan ke atas Adam dan Hawa dan semua manusia. Tuhan telah mengatakan dengan jelas kepada manusia yang pertama, “Tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, jangan kau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” (Kejadian 2:16,17).

Adam tidak mengenali maut di dalam kehidupannya yang bebas di Taman Eden. Walaupun begitu, sebaik sahaja Adam dan Hawa berdosa dengan memakan buah larangan, maut telah masuk ke dalam dunia. “Sebagaimana ia keluar dari kandungan ibunya, demikian juga ia akan pergi, telanjang seperti ketika ia datang dan tidak diperolehinya dari jerih payahnya suatupun yang dapat dibawa dalam tangannya. Sebagaimana, dia datang, demikianpun ia akan pergi…” (Pengkhotbah 5:15-16). Kenyataan maut adalah sama seperti hidup ini.

2.Tidak ada seorangpun yang berkuasa di atas maut.

Angan-angan untuk hidup selama-lamanya bukan sesuatu yang asing bagi kita. Terdapat banyak cerita mitos dan cerita dongeng yang menceritakan usaha manusia mencari hidup kekal. Kita telah menempuh cabaran yang berbeza pada hari ini. Memandangkan kita telah menerima kematian kita tanpa kerelaan hati, kita akan cuba memanjangkan hidup kita di dunia ini. Kita menjaga makanan kita, bersenam dan bersandar kepada perubatan moden. Walaupun begitu, kita sentiasa tidak faham bahawa selain daripada Tuhan, tidakk ada seorangpun yang berkuasa di atas hidup atau maut. Maut mungkin menimpa dengan mendadak dan tidak disangka-sangka. Ini disebabkan nyawa segala yang hidup dan nafas setiap manusia terletak di dalam tangan Tuhan. (Ayub 12:10).

“Tiada seorangpun berkuasa menahan angin dan tiada seorangpun yang berkuasa atas hari kematian…” (Pengkhotbah 8:8). Dunia ini adalah medan peperangan dan hidup ini pula adalah satu peperangan yang berlanjutan. Kehidupan kita selama beberapa dekad di dunia ini merupakan satu pergelutan untuk hidup, peperangan menghadapi malapetaka dan penderitaan serta kejahatan dan maut. Musuh utama kita adalah maut yang belum pernah dikalahkan oleh manusia.Tidak kira orang yang kaya dan berkuasa mahupun Raja Salomo, semuanya tidak dapat melepaskan diri dari cengkaman maut.

3. Rohani semua manusia mati sejak kejatuhan Adam.

Selain daripada kematian tubuh fizikal kita, kita juga harus mempunyai kesedaran akan kematian rohani. “Kematian rohani” bermaksud “dijauhkan dari hidup persekutuan dengan Tuhan.” Maksudnya tidak memiliki hidup yang rohani. (Efesus 4:18). Kerohanian kita telah mati sebelum kita dilahirkan dan ini berbeza dengan kematian tubuh jasmani kita yang berlaku di pengakhiran hidup kita.

“Tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, janganlah kau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” (Kejadian 2:17). Maksudnya Adam akan mati pada hari dia memakan buah larangan itu. Akan tetapi Adam tidak mati tubuh jasmaninya sehinggalah beberapa ratus tahun kemudian. (Kejadian 5:3-5). Ini bukanlah disebabkan firman Tuhan tidak digenapkan. Kata yang berbunyi, “pasti mati” bermaksud kematian rohani. Pada saat Adam memakan buah larangan itu, rohnya telah dipisahkan dari kehidupan persekutuan dengan Tuhan. Adam dan Hawa telah dijauhkan sama sekali daripada pohon kehidupan – hidup kekal. Apabila Paulus berkata, “Semua orang mati dalam persekutuan dengan Adam.” (1 Korintus 15:22), dia merujuk kepada kematian rohani. Oleh itu, setiap orang selepas Adam dan Hawa tidak mempunyai hidup yang rohani.

Alkitab mencatatkan bahawa Roh Tuhan telah memimpin Yehezkiel ke lembah yang penuh dengan tulang-tulang kering. (Yehezkiel Fasal 27). Lembah itu melambangkan dunia dan tulang-tulang itu adalah orang-orang yang hidup di dalam tubuh tetapi yang sudah mati kerohaniannya. Dunia ini seakan-akan satu liang lahad yang sangat besar dengan kotoran yang tidak dapat digambarkan. Orang-orang yang telah kehilangan kehidupan rohani mereka adalah seperti bangkai bernyawa yang masih hidup dalam tubuhnya tetapi telah mati di dalam kerohaniannya. Menurut Matius Fasal 8, semasa Yesus Kristus memberitakan Injil, seorang daripada murid-murid Yesus meminta kebenaran daripadaNya untuk menguburkan ayahnya sebelum mengikuti Tuhan. Yesus menjawabnya, “Ikutlah Aku dan biarlah orang-orang mati menguburkan orang-orang mati mereka.” Bagi manusia di dunia ini, orang yang dimasukkan ke dalam keranda dianggap mati dan mereka yang menguburkannya adalah orang-orang yang hidup. Akan tetapi mereka yang menguburkan orang mati juga dianggap mati oleh Tuhan kerana walaupun tubuh mereka hidup, rohani mereka sudah mati. Apa yang dikatakan Yesus bersamaan dengan penglihatan Yehezkiel.

“Sengat maut ialah dosa.” (1 Korintus 15:56). Maut menggunakan sengat maut untuk mengait semua orang berdosa di dunia sehingga mereka tidak dapat mengalahkan dosa dan maut. Mereka ditentukan untuk mati sebaik sahaja dilahirkan. Kehidupan rohani mereka bukan sahaja mati di dalam Adam tetapi kehidupan fizikal mereka juga akan mati. “Upah dosa ialah maut…” (Roma 6:23). “Sebab itu, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, kerana semua orang telah berbuat dosa.” (Roma 5:12).

C. Kemusnahan dunia.

Alkitab ini terdiri daripada beberapa buah buku yang terbahagi kepada Perjanjian Lama dan Baru. Ia bermula dengan Kejadian yang mencatatkan penciptaan langit, bumi dan segala isinya. Ia berakhir dengan buku Wahyu yang menubuatkan kemusnahan langit, bumi dan segala isinya. Dari sini kita tahu bahawa cakrawala ini diciptakan dalam satu hari dan dimusnahkan dalam satu hari juga. Ia sama seperti manusia yang mempunyai tarikh kelahiran dan tarikh kematian. Manusia akan mati kerana mereka telah berdosa. Sama juga, dunia ini akan dimusnahkan kerana dosa-dosa semua manusia di dunia. Tiga nubuat yang berikutnya menunjukkan kemusnahan dunia yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia juga memberitahu kita bahawa dosa-dosa manusia adalah sebab-sebab kemusnahan dunia.

1. Peristiwa-peristiwa bersejarah digenapkan dalam nubuat Yesaya.

“Merataplah, sebab hati Tuhan sudah dekat, datangnya sebagai pemusnahan dari Yang Mahakuasa. Sebab itu semua tangan akan menjadi lemah lesu, setiap hati manusia akan menjadi tawar, dan mereka akan terkejut. Sakit mulas dan sakit beranak akan menyerang mereka. Mereka akan menggeliat kesakitan seperti perempuan yang melahirkan. Mereka akan berpandang-pandangan dengan tercengang-cengang, muka mereka seperti orang yang demam. Sungguh, hari Tuhan datang dengan kebengisan, dengan gemas dan dengan murka yang menyala-nyala untuk membuat bumi menjadi sunyi sepi dan untuk memunahkan daripadanya orang-orang yang berdosa. Sebab bintang-bintang dan gugusan-gugusannya di langit tidak akan memancarkan cahayanya, matahari akan menjadi gelap pada waktu terbit, dan bulan tidak akan memancarkan sinarnya. Kepada dunia akan Kubalaskan kejahatannya dan kepada orang-orang pemberani akan Kuhentikan, dan kecongkakan orang-orang yang gagah akan Kupatahkan. Aku akan membuat orang lebih jarang daripada emas tua, dan manusia lebih jarang daripada emas Ofir. Sebab itu Aku akan membuat langit gementar, dan bumipun akan bergoncang dari tempatnya, pada waktu amarah Tuhan semesta alam, dan pada hari murkaNya yang menyala-nyala.” (Yesaya 13:6-13)

Petikan di atas adalah ramalan mengenai kemusnahan Babel. Semasa nabi Yesaya menubuatkan hal ini, kerajaan Syria sedang berkembang maju sementara kerajaan Babel belum lagi ditubuhkan. Apabila empayar Babel ditubuhkan, ia telah menghapuskan Yehuda dan menawan banyak orang ke Babel. Pada tahun 536 S.M., Tuhan telah membangkitkan Raja Persia iaitu Golial yang telah bersekutu dengan tentera Persia dan Medes untuk menggulingkan Babel. (Yesaya 13:6). Peristiwa-peristiwa dalam sejarah ini telah menggenapkan nubuat Yesaya:

* “Hari Tuhan” dinyatakan sebanyak dua kali (Yesaya 13:6,9) – satu rujukan di dalam Alkitab yang menunjukkan pengakhiran dunia. (Yoel 2:1,11; 13:14; Amos 5:8, 20; Zefanya 1:14; Zakaria 14:1; Maleakhi 4:5; Wahyu 6:17).

* “Bintang-bintang dan gugusannya di langit tidak akan memancarkan cahayanya.”

* (Yesaya 13:10). Satu peristiwa yang menggambarkan pengakhiran dunia sebagaimana yang telah digambarkan di dalam Alkitab. (Matius 24:29; Wahyu 6:12-13).

* Langit gementar dan bumi bergoncang dari tempatnya (Yesaya 13:13). Ini juga digambarkan sebagai pengakhiran dunia dalam Matius 24:29, Ibrani 1:12 dan Wahyu 6:14. Kesemua ini berpunca dari dosa manusia.

Alkitab menwahyukan kemusnahan dunia.

2. Buku Wahyu mencatatkan penglihatan Yohanes mengenai kemusnahan dunia.

Kemudian daripada itu aku melihat seorang malaikat lain turun dari Syurga. Ia mempunyai kekuasaan besar dan bumi menjadi terang oleh kemuliaanNya. Dan dia berseru dengan suara yang kuat, katanya ‘Sudah roboh! Sudah roboh Babel, kota besar itu!’… Lalu aku mendengar suara lain dari Syurga berkata: ‘Pergilah kamu, hai umatKu, pergilah daripadanya supaya kamu jangan mengambil bahagian dalam dosa-dosanya. Sebab dosa-dosanya telah bertimbun-timbun sampai ke langit dan Tuhan telah mengingat segala kejahatannya.’

Sebab itu segala malapetakanya akan datang dalam satu hari, iaitu sampar dan perkabungan dan kelaparan. Dia akan dibakar dengan api kerana Tuhan yang menghakimi dia adalah kuat.

Dan seorang malaikat yang kuat, mengangkat sebuah batu sebesar batu kilangan, lalu melemparkannya ke dalam laut, katanya: ‘Demikianlah Babel, kota besar itu akan dilemparkan dengan keras ke bawah dan ia tidak akan ditemukan lagi.’ (Wahyu 18:1-5,8,21)

Nubuat di atas memperkatakan kemunculan Tuhan Yesus yang digambarkan sebagai ‘malaikat yang mempunyai kekuasaan besar’ (Fasal 1) atau ‘malaikat yang kuat’ (Fasal 21). Ia juga digambarkan dengan cara yang sama dalam bahagian-bahagian Wahyu yang lain (7:2, 10:1). Apabila Dia turun dari langit ke bumi, bumi akan bersinar kerana kemuliaanNya (Yehezkiel 43:2).

Tambahan pula, penglihatan Yohanes juga menggambarkan betapa cepat dan menakutkan peristiwa yang akan berlaku – ‘malapetakanya akan datang dalam satu hari’ (Wahyu 18:8),” “dalam satu jam sahaja” (Fasal 10).” Dalam satu jam sahaja kekayaan sebanyak itu sudah binasa.” (Fasal 17) dan “dalam satu jam sahaja ia sudah binasa.” (Fasal 19).

3. Tidak ada seorangpun yang boleh melepaskan diri dari murka Tuhan.

Maka aku melihat, ketika Anak Domba itu membuka meterai yang keenam, sesungguhnya terjadilah gempa bumi yang dahsyat dan matahari menjadi hitam bagaikan karung rambut dan bulan menjadi merah seluruhnya bagaikan darah. Dan bintang-bintang di langit berjatuhan ke atas bumi bagaikan pohon ara menggugurkan buah-buahan yang mentah, apabila ia digoncang angin yang kencang. Maka menyusutlah langit bagaikan gulungan kitab yang digulung dan tergeserlah gunung-gunung dan pulau-pulau dari tempatnya. Dan raja-raja di bumi dan pembesar-pembesar serta perwira-perwira, dan orang-orang kaya serta orang-orang berkuasa dan semua budak serta orang merdeka bersembunyi di dalam gua-gua dan celah-celah batu karang di gunung. Dan mereka berkata kepada gunung-gunung dan kepada batu-batu karang itu: “Runtuhlah menimpa kami dan sembunyikan kami terhadap Dia, yang duduk di atas takhta dan terhadap murka Anak Domba itu.” Sebab sudah tiba hari besar murka mereka dan siapakah yang dapat bertahan? (Wahyu 6:12-17)

Betapa menggerun dan menakutkan gambaran kemusnahan ini! Apabila Hari yang akhir itu tiba, tidak ada seorangpun yang dapat melepaskan diri dari murka Tuhan. Tidak ada tempat perlindungan yang selamat – baik di bawah tanah, di dalam gua, di dalam laut mahupun di langit. (Amos 9:1-3, Obadiah 4). Pada hari itu, matahari dan bulan tidak akan bersinar, bintang-bintang akan berjatuhan dan semua unsur-unsur dunia akan dimusnahkan oleh api. (2 Petrus 3:10). Cakrawala ini akan menjadi kosong seperti sebelum penciptaan dunia. (Kejadian 1:2). Tidak ada sesiapa yang dapat melepaskan diri dari hari kemusnahan besar yang pasti berlaku. Oleh itu Tuhan Yesus berkata, “Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini…” (Lukas 21:26).

Berapa lamakah kehidupan di dalam dunia yang penuh kejahatan ini lagi? Bilakah dunia ini akan berdepan dengan kemusnahan yang besar? Tuhan Yesus berkata, “Tetapi tentang hari dan saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di Syurgapun tidak .” (Matius 24:36). Akan tetapi daripada catatan di dalam Matius 24 mengenai “tanda-tanda pada akhir zaman” termasuk penggenapan beberapa tanda-tanda ini, kita dengan yakin dapat mengatakan bahawa pengakhiran dunia sudah dekat. Kemusnahan yang besar akan datang! “…ketahuilah bahawa waktunya sudah dekat, sudah di ambang pintu.” (Matius 24:33).

D. Penghakiman selepas maut.

“Dan sama seperti manusia ditetapkan untuk mati hanya satu kali saja, dan sesudah itu dihakimi.” (Ibrani 9:27 ). Maut ditakdirkan oleh Tuhan kerana upah dosa adalah maut (Roma 6:23) kerana manusia berdosa maka maut telah menjalar kepada semua makhluk yang fana. (Roma 3:23, 5:12). Kedua-dua maut dan penghakiman adalah ditakdirkan. Manusia tidak dapat melarikan diri dari maut mahupun melepaskan diri dari penghakiman. Terdapat kematian tubuh jasmani dan kematian rohani yang kekal. Kematian fizikal adalah menyakitkan di mana ia akan memusnahkan kita buat selama-lamanya dengan orang yang kita sayangi dan meninggalkan semua yang kita miliki di dunia. Walaupun begitu, kematian rohani lebih menggerunkan.

Pada waktu Tuhan Yesus dari dalam syurga menyatakan diriNya bersama-sama dengan malaikat-malaikatNya di dalam kuasaNya di dalam apiNya yang bernyala-nyala. Dia akan mengadakan pembalasan terhadap mereka yang tidak mahu mengenal Tuhan dan tidak mentaati Injil Yesus, Tuhan kita. Mereka ini akan menjalani hukuman kebinasaan selama-lamanya dan dijauhkan dari hadirat Tuhan dan dari kemuliaaan kekuatanNya. (2 Tesalonika 1:7-9)

Kedatangan Yesus yang pertama kali adalah untuk menggenapkan keselamatan melalui kayu salib supaya “setiap orang yang percaya kepadaNya tidak binasa, melainkan perolehi hidup yang kekal.” (Yohanes 3:16). Tetapi kedatanganNya yang kedua kali adalah untuk menghukum mereka yang tidak menyembah Tuhan yang Benar dan yang tidak mentaati Injil Tuhan Yesus Kristus. Mereka yang dikutuk akan binasa untuk selama-lamanya. Fasal yang berbunyi, “dipisahkan dari kemuliaan kekuasaanNya” bermaksud orang-orang berdosa akan dipisahkan dari kasih Tuhan. Mereka akan dicampakkan ke dalam kegelapan yang kekal sebagai hukuman mereka.

Janganlah kamu hairan akan hal itu, sebab saatnya akan tiba, bahawa semua orang yang di dalam kuburan akan mendengar suaraNya, dan mereka yang telah berbuat baik akan keluar dan bangkit untuk hidup yang kekal tetapi mereka yang telah berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum. (Yohanes 5:28-29)

Apabila Tuhan Yesus datang lagi, semua yang telah mati akan dibangkitkan sama ada mereka yang diselamatkan atau tidak. Mereka akan keluar dari kubur-kubur mereka untuk menghadapi penghakiman. Mereka yang telah berbuat baik akan mewarisi hidup kekal dan mereka yang berbuat jahat akan dihukum. “Mereka yang berbuat baik” ditujukan kepada mereka yang menyembah Tuhan yang Benar, berpegang kepada perintah-perintah Tuhan Yesus Kristus, yang melakukan kehendak Bapa di Syurga. Mereka yang melakukan hal-hal yang bertentangan dengan ini adalah mereka yang jahat.

Tuhan Yesus Kristus adalah Tuhan yang menghakimi.

“Takutlah terutama kepada Dia yang berkuasa membinasakan baik jiwa mahupun tubuh di neraka.” (Matius 10:28). Maksud amaran Yesus adalah:

* Kita harus takut kepada Tuhan. (Ibrani 10:31, 12:29), Hanya Dia yang berkuasa menghakimi orang-orang hidup dan orang-orang mati. (Yohanes 5:27, Kisah Para Rasul 10:42).

* Selepas penghakiman yang terakhir, semua orang berdosa akan dibuang ke dalam neraka untuk penghukuman yang kekal.

* Bukan sahaja tubuh fizikal yang akan binasa tetapi jiwa akan turun ke neraka juga.

“Mulai dari jam dua belas kegelapan meliputi seluruh daerah itu sampai jam tiga” (Matius 27:45). Jangkamasa  (jam dua belas hingga jam tiga petang) ini adalah masa yang paling terang dalam satu hari. Seandainya kegelapan meliputi langit pada masa itu, keadaan pada masa itu tentu sekali menggerunkan. Keadaan ini mengingatkan kita kepada masa kedatangan Kristus lagi – matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak bercahaya. (Matius 24:29). Kematian Kristus adalah “kematian orang benar untuk orang yang tidak benar.” (1 Petrus 3:18). Apabila Dia memikul kelemahan-kelemahan kita dan disalibkan, Tuhan telah curahkan murkaNya terhadap Dia. Oleh itu matahari dan bulan tidak lagi bersinar dan ketakutan meliputi langit dan bumi. Inilah keadaannya apabila Kristus datang dalam api untuk menghakimi dunia.

Bagaimanakah penghakiman di neraka? Yesus memberitahu kita bahawa ulat-ulat bangkai tidak akan mati dan api tidak padam di neraka. (Markus 9:48). Digigit oleh ulat-ulat dan dibakar oleh api yang tidak padam merupakan penghukuman yang dahsyat. Di dalam Alkitab, neraka digambarkan sebagai “lautan api”. (Wahyu 20:14), “api yang kekal” (Matius 25:41, Yudas 7) atau “tempat siksaan yang kekal” (Matius 25:46).

Daripada salah satu perumpamaan di dalam Alkitab, kita mendapat satu gambaran sepintas lalu tentang betapa menderita dan tegasnya penghukuman di neraka kelak. Ia memperkatakan tentang seorang kaya yang tidak dapat menanggung penyiksaan di neraka lalu berseru, katanya: Bapa Abraham, kasihanilah aku. Suruhlah Lazarus supaya dia mencelupkan hujung jarinya ke dalam air dan menyejukkan lidahku sebab aku sangat kesakitan dalam nyala api ini.” (Lukas 16:24).

Demi kasihNya terhadap manusia, Tuhan Yesus Kristus kita telah menanggung penyiksaan yang dahsyat di neraka. Tuhan Yesus berseru dengan suara yang nyaring, “TuhanKu, TuhanKu, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Mengapakah Yesus berseru dengan nyaring kali ini? Tuhan Yesus telah menanggung penyesahan, mahkota duri dan kesakitan disalibkan dengan senyap. (Yesaya 53:7). Walaupun begitu, seruanNya yang penuh dengan penderitaan terjadi di atas kayu salib. Inilah saat yang paling menyakitkan dan tidak dapat ditahanNya. Apabila Tuhan menjauhkan diri dariNya, itu merupakan saat di mana roh Tuhan Yesus dihukum di neraka. (2 Tesalonika 1:9).

Setelah kebangkitan Tuhan Yesus Kristus, Petrus telah memetik Mazmur Daud yang berbunyi, “Engkau tidak menyerahkan aku kepada dunia orang mati dan tidak membiarkan orang kudusMu melihat kebinasaan.” (Kisah Para Rasul 2:27). Dari sini, kita tahu bahawa Tuhan Yesus ternyata telah diturunkan ke neraka untuk menanggung kesalahan-kesalahan dunia. Walaupun begitu, Tuhan tidak mengabaikan Yesus dan membiarkan Dia di neraka. Apabila Tuhan Yesus mati, tubuhNya tidak reput. Sebaliknya, Dia telah dibangkitkan semula.

ADAKAH KITA BERPENGHARAPAN?

Penghukuman dosa ternyata menggerunkan tetapi Tuhan Yesus mempunyai kasih yang berkelimpahan. Dia ingin setiap manusia percaya dan taat kepada perintah-perintahNya. Yesus akan mengampuni dosa-dosa mereka yang percaya kepadaNya dan murka Tuhan dijauhkan dari mereka supaya mereka akan didamaikan semula dengan Tuhan. (Roma 5:8-10).

Janganlah tawar hati dengan akibat-akibat dosa – penderitaan, maut, penghakiman dan kemusnahan dunia yang tidak dapat dielakkan – pengharapan masih ada. Walaupun kita tidak dapat melarikan diri daripada penderitaan di dunia, kita mempunyai harapan untuk menikmati hidup yang lebih baik daripada hidup di dunia ini. Hidup yang baru ini bukan sahaja membahagiakan tetapi ia juga berkekalan. Ada di antara kita yang mempunyai pengharapan ini dan pengharapan kita adalah di dalam Tuhan Yesus Kristus! Anda akan mencari jalan mendapatkan pengharapan ini dan mempunyai keyakinan terhadap keselamatan anda dalam dua buku yang akan datang. Percaya kepada Yesus dan Kembali ke Gereja Yang Benar.

Buku-buku ini akan menjelaskan bagaimana anda mendapatkan kedamaian, didamaikan dengan Tuhan dan mendapatkan semula hidup kekal yang bernilai itu. Selagi anda mengikuti langkah-langkah yang betul, anda akan melihat terang yang mulia di penghujung tangga anda – Tangga Ke Syurga.

Glosari

Rasul Orang yang diutus oleh Tuhan Yesus Kristus.

Alkitab : Firman Tuhan kepada manusia secara bertulis.

Kristus : Yang diurapi; Yesus – Juru Selamat yang dinubuatkan di dalam Perjanjian Lama.

Kristian : Seorang pemercaya Yesus Kristus yang dipanggil untuk menjadi serupa denganNya.

Gereja : Jemaat yang ditebus oleh darah Kristus.

Salib : Binaan yang dibuat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas penjenayah.

Syurga : Tempat tinggal Tuhan yang kekal abadi. Tempat tinggal yang disediakan Tuhan untuk orang-orang yang selamat.

Neraka : Tempat penyiksaan yang tak terhingga. Disediakan untuk Iblis dan roh-roh yang tidak diselamatkan.

Roh Kudus : Roh Tuhan. Di dalam Perjanjian Baru, Roh Kudus yang dijanjikan diam di dalam pemercaya sebagai Penghibur pribadi kita.

Ketidakadilan : Ketidakbenaran terhadap ukuran Tuhan yang mutlak dan terhadap hati nurani manusia.

Yesus : Nama Tuhan, penjelmaan Tuhan dalam rupa manusia sebagai Juru Selamat manusia.

Perumpamaan: Pengajaran rohani yang disampaikan secara lisan melalui kaedah membayangkan sesuatu keadaan.

Nubuat : Ramalan yang diilhamkan secara rohani ataupun pesan yang disampaikan sebagai peringatan atau sebagai galakkan.

Syaitan : kuasa roh yang jahat; musuh utama Tuhan dan umatNya.

Dosa : satu perbuatan yang tidak taat terhadap perintah-perintah Tuhan.

Perjanjian ( Lama dan Baru ) : Perjanjian Tuhan dengan manusia; pembahagian yang utama dalam Alkitab ( Perjanjian Baru bermula dengan Kelahiran Yesus Kristus ).

Pelanggaran : Melampaui batas-batas yang ditetapkan dalam perintah-perintah Tuhan.

(Dibaca : 564 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *