Kelemahan-kelemahan kita terhadap dosa telah didedahkan melalui pengalaman seharian kita. Kita seringkali ingin memberi wang dan masa yang lebih kepada mereka yang miskin atau membahagi-bahagikan Injil dengan mereka yang kita kenal. Walaupun begitu, kita tidak berupaya mencapai sebarang hajat yang diharapkan. Pada masa yang sama, kita cuba membela perbuatan-perbuatan kita yang tidak bermoral dengan alasan bahawa perbuatan tersebut tidak tergolong sebagai “dosa”. Bukankah kita sendiri yang “berkuasa” di atas segala pemikiran dan perbuatan kita? Seandainya kita sedar perbezaan di antara kebaikan dan kejahatan, mengapakah kita seringkali gagal melakukan kebaikan? Mengapakah hati nurani kita sering tertekan oleh segala perbuatan kita? Ini disebabkan kita tidak dapat mengalahkan kuasa dosa!

A. Kesukaran mengalahkan hukum dosa.

1. Hukum dosa berkuasa di atas manusia.

Dalam suratnya kepada pemercaya di Roma, rasul Paulus telah mencatatkan dengan terperinci kuasa hukum dosa yang menakutkan. Dia juga menyatakan tentang kelemahan-kelemahannya dan penyiksaan yang dialaminya di bawah kuasa hukum ini. Dia berkata, “Sebab di dalam batinku, aku suka akan hukum Tuhan.” (Roma 7:22). Kesukaannya itu mencerminkan kesedaran hati nuraninya yang tidak dapat disangkal. Walaupun begitu, satu konflik dalaman wujud, “Sebab apa yang aku perbuat, aku tidak tahu. Kerana bukan apa yang aku kehendaki yang aku perbuat, tetapi apa yang aku benci, itulah yang aku perbuat.” (Roma 7:15). Keinginan untuk berbuat baik wujud dalam dirinya akan tetapi dia tidak berupaya melakukannya. Selain daripada hati nuraninya, dia dapati bahawa hukum dosa juga wujud dalam dirinya dan ini telah menjadi penghalang kepadanya daripada melakukan kebaikan. (Roma 7:23).

2. Dosa menawan manusia.

Kita dapat menggambarkan Paulus sebagai “askar Kristus” yang gagah berani melalui surat-suratnya. Dia telah menggenapkan misi pemberitaan Injil walaupun nyawanya sering terancam. Masyarakat Kristian menghormati Paulus sebagai pemercaya yang diteladani. Banyak tempat dinamakan sempenanya. Walaupun begitu, pengakuan-pengakuannya dalam buku Roma menunjukkan bahawa Paulus sama seperti kita yang sentiasa bergelut dengan dosa. Mengapakah kuasa dosa tidak dapat dibendung? Paulus menyatakan bahawa dia bersifat daging dan terjual di bawah kuasa dosa. (Roma 7:14). Dia juga bersaksi bahawa hukum lain di dalam anggota-anggota tubuhnya berjuang melawan hukum akal budinya (hati nurani) dan membuat dia menjadi tawanan hukum dosa. (Roma 7:23). Dia tidak melakukan kebaikan yang ingin dilakukan sebaliknya dia melakukan kejahatan yang tidak ingin dilakukannya. Ini bukanlah disebabkan dia tidak mahu melakukan kebaikan tetapi dia tidak dapat mengalahkan keinginannya dengan bertekad. Dia melakukan kejahatan bukan di atas kehendaknya tetapi di atas dosa yang diam di dalamnya. (Roma 7:17, 20). Sebagai kesimpulannya, dia telah mengeluh dengan berkata, “Aku manusia celaka! Siapakah yang akan melepaskan aku dari tubuh maut ini?” (Roma 7:24).

3. Dosa melemahkan manusia.

Demikianlah aku dapati hukum ini: jika aku mengkehendaki berbuat apa yang baik, yang jahat itu ada padaku.” (Roma 7:21). “Dosa berkuasa…” (Roma 5:21).

Kedua ayat dari Paulus ini adalah anotasi yang paling baik untuk menggambarkan kuasa dosa ke atas manusia.

Pengakuan Paulus menggambarkan keadaan kita yang sama di mana segala kesukacitaan dan kedukacitaannya tergambar di dalam hati kita. Mereka yang bertekad melakukan kebaikan dan bukan kejahatan akan faham bahawa mereka tidak berkuasa di bawah hukum dosa.

4. Dosa menghuru-harakan dunia.

Dosa berkuasa di bumi dan menghapuskan manusia. Sasarannya yang awal adalah terhadap individu dan terus menjalar kepada keluarga, masyarakat dan dunia secara amnya. Dosa menghalang setiap di antara kita dari melakukan kebaikan yang tersirat tetapi ia menyebabkan kita melakukan kejahatan yang tidak ingin kita lakukan. (Roma 7:15,19). Seandainya dosa berkuasa di atas setiap anggota keluarga, perselisihan tidak akan dapat dielakkan dalam kehidupan berkeluarga. Seandainya dosa berkuasa di atas semua manusia secara amnya, dunia ini tidak akan mempunyai kedamaian.

Sejarah telah menunjukkan bahawa dunia belum pernah mengalamai kedamaian semenjak penubuhan negara-negara. Adakalanya kita menyaksikan pembunuhan yang sia-sia dalam setengah daripada konflik-konflik ini. Mengapakah kita mahu mencari kemusnahan dan tidak saling bantu membantu? Mengapakah banyak perselisihan faham, pertengkaran, kebencian, pergaduhan, pembunuhan, keganasan dan peperangan timbul? Semuanya ini disebabkan dosa.

B. Semua orang terjerumus di dalam dosa.

Apa yang telah dipelajari setakat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa kita adalah tawanan dosa kerana dosa berkuasa di dalam hati kita. (Roma 5:21, 7:23). Sehubungan dengan itu, dosa mengawal dan memperhambakan kita semua. (Roma 7:14, 18-20, Yohanes 8:34).

1. Dosa menyebabkan semua orang jatuh tersandung.

Tuhan Yesus kita berkata, “Tidak mungkin pohon yang baik itu menghasilkan buah yang tidak baik.” (Matius 7:18). Adalah mustahil untuk sepohon pokok menukar cirinya yang semulajadi. Kita juga berdosa kerana kita kekurangan kuasa untuk menukar sifat semulajadi kita yang cenderung kepada kejahatan. Sayang sekali kerana kita tidak dapat menahan diri dari berdosa! Dosa ini bagaikan jurang yang sangat dalam di mana manusia jatuh ke dalamnya. Tidak ada seorangpun yang dapat menyelamatkan dirinya atau orang lain.

2. Menurut ukuran Alkitab semua manusia adalah orang-orang berdosa.

Seseorang mungkin mengemukakan persoalan, “Apakah jenis perbuatan jahat yang dianggap berdosa?” Dosa adalah perbuatan-perbuatan yang melanggar hukum Tuhan. (I Yohanes 3:4). Hukum-hukum Tuhan adalah Kesepuluh Firman: Jangan ada padamu allah lain, jangan membuat sebarang patung berhala, jangan menyebut nama Tuhan dengan sembarangan, memperingati dan menguduskan hari Sabat, hormati ayah dan ibumu, jangan membunuh, jangan berzinah, jangan mencuri, jangan bersaksi dusta dan jangan mengingini apa sahaja yang dimiliki oleh sesamamu. (Keluaran 20:3-17). Berdasarkan ukuran-ukuran ini, adakah sesiapa yang dapat mengaku dengan jujur bahawa dia tidak berdosa dalam hukum-hukum Tuhan?

Apabila Yesus Kristus datang memberitakan firman Tuhan, Dia telah meninggikan standard yang Tuhan tetapkan untuk manusia. Mula-mula Tuhan Yesus menyatakan pandanganNya terhadap Hukum – Kesepuluh Firman. “Janganlah kamu menyangka, bahawa Aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakahnya, melainkan untuk menggenapinya (Matius 5:17). Yesus Kristus menggambarkan pengharapanNya terhadap murid-muridNya dengan berkata, “Kamu telah mendengar yang difirmankan kepada nenek moyang kita: Jangan membunuh; siapa yang membunuh harus dihukum. Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang marah terhadap saudaranya harus dihukum…” (Matius 5:21, 22). Sehubungan dengan itu, Yesus juga berkata bahawa setiap orang yang memandang perempuan serta mengingininya, sudah berzinah dengan dia di dalam hatinya. (Matius 5:28) Oleh itu, Yesus bukan sahaja mengkehendaki kita memelihara diri daripada perbuatan-perbuatan fizikal yang jahat tetapi dia juga mengkehendaki kita memelihara hukum-hukum Tuhan di dalam hati kita.

Selain daripada Yesus Kristus, tidak ada seorangpun yang tidak berdosa. Berdasarkan tata keadilan negara, kita berkemungkinan merupakan warganegara yang belum pernah melanggar undang-undang. Walaupun begitu, segala sesuatu terkurung di bawah kekuasaan dosa dan kita semua adalah orang-orang berdosa yang malang menurut ukuran Alkitab. (Galatia 3:22).

3. Manusia terjerumus ke dalam pelbagai dosa.

Selain daripada Kesepuluh Firman, kita telah kenalpasti bahawa terdapat perbuatan-perbuatan kita yang lain yang berkemungkinan membangkitkan murka Tuhan. Paulus menyatakan bahawa murka Tuhan nyata dari Syurga atas segala kefasikan dan kelaliman manusia yang menindas kebenaran dengan kelaliman. (Roma 1:18). Ini disebabkan keinginan hati mereka akan mencemarkan tubuh mereka termasuk perbuatan homoseks. (Roma 1:24,26,27). Memandangkan “mereka beranggapan firman Tuhan tidak perlu dipelihara”, maka fikiran mereka yang cemar itu akan mempengaruhi perbuatan mereka sehingga mereka melakukan apa yang tidak patut.

Mereka penuh dengan rupa-rupa kelaliman, kejahatan, keserakahan dan kebusukan, penuh dengan dengki, pembunuhan, perselisihan, tipu muslihat dan kefasikan. Mereka adalah pengumpat, pemfitnah, pembenci Tuhan, kurang ajar, congkak, sombong, pandai dalam kejahatan, tidak taat kepada orang tua, tidak berakal, tidak setia, tidak penyayang, dan tidak mengenal belas kasihan. ( Roma 1:29-31 )

Dari catatan di atas, kita dapati bahawa hati kita adalah dipenuhi dengan segala fikiran yang jahat setiap hari. Perbuatan-perbuatan kecil yang kita lakukan setiap hari seperti kecongkakan, kesombongan ataupun mengumpat adalah tergolong sebagai dosa juga. Selain daripada Kesepuluh Firman, bolehkah kita mengaku bahawa kita tidak melanggar satu daripada dosa-dosa yang tercatat di atas?

4. Manusia jatuh ke dalam dosa kerana mereka tidak mengenali Tuhan.

Daripada catatan Paulus, kita dapati bahawa “sikap manusia yang tidak mengakui Tuhan” adalah punca segala dosa. “Dan kerana mereka merasa tidak perlu untuk mengakui Tuhan, maka Tuhan menyerahkan mereka kepada fikiran-fikiran yang terkutuk sehingga mereka melakukan apa yang tidak pantas.” (Roma 1:28). Logik berdasarkan hujah dunia ini berbunyi, seandainya tidak ada Tuhan, hukuman di atas dosa tidak akan wujud. Seandainya tidak ada hukuman, manusia boleh melakukan apa sahaja. Corak pemikiran ini disokong oleh ahli falsafah eksistensialisme, Jean Paul Sarte. Dia membuat penaakulan bahawa tanpa kewujudan Tuhan segala sesuatu diperbolehkan.

Dalam mazmurnya, Raja Daud mengatakan orang-orang fasik melakukan kejahatan tanpa merasa bersalah kerana mereka tidak mengenali Tuhan. Dia berkata, “Kerana congkak, orang fasik tidak mencari Dia, Tuhan tidak wujud di dalam fikiran mereka…” Dia berkata dalam hatinya, “Aku takkan goyang. Aku tidak akan ditimpa malapetaka turun temurun…” (Mazmur 10:4,6). Orang bebal berkata di dalam hatinya: “Tidak ada Tuhan.” Busuk dan jijik perbuatan mereka, tidak ada yang berbuat baik.” (Mazmur 14:1).

5. Keengganan menyembah Tuhan yang benar menuju kepada dosa.

Di antara semua dosa di dalam dunia ini, yang mana satukah yang paling serius? Adakah mencuri, menipu atau membunuh? Bukan kesemua di atas. Dosa yang paling berat adalah keengganan menyembah Tuhan yang Benar. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Paulus, segala dosa berpunca dari keengganan mengakui Tuhan. Seandainya manusia enggan mengakui Tuhan maka mereka tidak percaya kepada penghakiman Tuhan. Mereka akan bertindak sesuka hati walaupun ianya akan melukai orang lain. Dari sini, kita dapat lihat perhubungan di antara keengganan mengakui Tuhan dengan dosa.

Alkitab menyatakan, “Takutlah akan Tuhan dan berpeganglah pada perintah-perntahNya kerana ini adalah kewajipan setiap orang.” (Pengkhotbah 12:13). Mengapakah takut akan Tuhan dan berpegang kepada perintah-perintahNya menjadi kewajipan kita? Ini disebabkan kita adalah ciptaan Tuhan dan Dia adalah Bapa kepada semua manusia. Marilah kita mengambil contoh perhubungan semulajadi di antara ibu bapa dengan anak. Sebagai ibu bapa, kita membesar dan mendidik anak-anak kita dengan kasih. Oleh itu, kita berharap anak-anak kita akan menghormati dan taat kepada kita. Sehubungan dengan itu, kita akan dilukai dan kecewa seandainya anak-anak kita menentang kita dan tidak mengakui serta tidak menghormati kita sebagai ibu bapa. Anak-anak itik pun menyahut dan mengikuti panggilan ibunya. Oleh itu kita haruslah lebih mendengar suara ibu bapa kita.

Tuhan memberikan kita kehidupan dan segala di dalam dunia ini untuk membantu kita. Tetapi Dia hanya meminta kita menghormati dan taat kepadaNya. Adakah kita tidak dapat dibandingkan dengan anak-anak itik yang dapat mengenali suara ibu mereka?

Takutlah akan Tuhan dan berpeganglah kepada perintah-perintahNya kerana ini adalah kewajipan setiap orang. (Pengkhotbah 12:13)

(Dibaca : 375 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *