3. Panggilan Tuhan

3.          Panggilan Tuhan (oleh Constance Lim, Los Angeles, U. S. A.)

Haleluya! Syukur kepada Tuhan kerana kasihNya yang maha besar membolehkan saya menceritakan kesaksian peribadi saya tentang bagaimana Yesus telah memanggil saya ke bawah naunganNya. Dengan kasih dan karuniaNya yang kelimpahan, Tuhan Yesus Kristus telah menenun benang keselamatan menembusi kehidupan saya. Semoga segala kemuliaan diberikan kepada nama Yesus yang kudus, Tuhan kita yang Maha kuasa di syurga.

Pada bulan Oktober, 1987, saya telah dibawa ke Gereja Yesus Benar di Telok Kurau, Singapura. Sejurus saya melintasi pintu pagar gereja, saya merasakan kedamaian tak terhingga yang mengambang-ambang di udara. Hairan sekali, saya merasakan saya telah pulang ke rumah. Itu adalah kali pertama saya melibatkan diri dalam perkumpulan beramai-ramai yang berdoa dalam bahasa lidah dan bagi saya bunyinya bagaikan para malaikat sedang berbicara dengan sukacita. Apabila saya menyanyikan kidung rohani 296, buat pertama kalinya, air mata bertakung di mata saya sambil saya mengamati jemaat mengambil bahagian dalam Perjamuan Kudus. Saya sungguh tergerak oleh kasih dan kebaikan yang dinyatakan sesama saudara-saudari di gereja.

Kunjungan saya yang ketiga ke gereja ialah semasa kebaktian penginjilan pada 18-20 Disember, 1987. Saya merenung mesej yang tersirat di dalam pelbagai khotbah mengenai keselamatan. Pada petang yang terakhir kebaktian penginjilan, terdapat satu sesi untuk memohon Roh Kudus. Sesiapa yang ingin menerima karunia syurgawai yang bernilai ini dikehendaki pergi ke hadapan untuk ditumpang tangan oleh para penatua dan diaken. Saya telah pergi ke hadapan dan berlutut dengan rendah hati. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdoa dan hanya mengucapkan, “Haleluya, Puji Tuhan!” berulang kali. Di samping itu, di lubuk hati saya, saya berseru kepada Tuhan, “Ya Tuhan! Apakah dia Roh Kudus yang saya doakan sekarang ini? Apakah Engkau Roh Kudus itu? Sila curahkan kepadaku karunia ini agar kupercaya kepadaMu dengan sepenuhnya.”

Tiba-tiba satu kuasa yang kuat turun ke atas diri saya dan hati saya terus menyala oleh api kegirangan yang tak dapat diterangkan! Satu ruang membahagikan syurga dan bumi telah terbentuk manakala saya merasakan Tuhan sedang membelai saya dengan lemah lembut di dalam pangkuan kasihNya. Minyak Roh Kudus menyalahkan rohku yang lemah dan bahang kehangatan Tuhan menyalakan jiwa saya hingga begitu kepanasannya. Sukacita bagaikan gelombang-gelombang ombak terus terpancar dari dalam hati saya. Tubuh saya mula bergoyang sendiri dan lidah saya bergulung dengan bahasa yang asing bagi saya. Terus tersedar oleh saya bahawa Tuhan telah menjawap doa saya yang ringkas kerana mata dalaman saya telah terbuka terhadap misteri Roh Kudus. Puji Tuhan kita yang Mahakuasa!

(dipetik daripada Manna terbitan 23, 1995 m/s 41-42).

Adalah harapan ikhlas kami bahawa sesiapa yang belum menerima Roh Kudus supaya jangan berputus asa, tetapi terus berdoa dengan iman dan dengan penuh ketabahan. Sila datang dan belajar kebenaran dengan kami di Gereja Yesus Benar, dan berkongsi  dengan kami sukacita rohani menerima Roh Kudus !

Semoga semua kemuliaan diberikan kepada Nama Tuhan Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Amin.

“Tiba-tiba turunlah dari langit suatu bunyi seperti tiupan angin keras

yang memenuhi seluruh rumah, di mana mereka duduk;

dan tampaklah kepada mereka lidah-lidah seperti nyala api

yang bertebaran dan hinggap pada mereka masing-masing.

Maka penuhlah mereka dengan Roh Kudus dan mulai

berkata-kata dalam bahasa-bahasa lain seperti yang

diberikan oleh Roh kepada mereka untuk mengatakannya”

(Kis 2:2-4)

2. “Kerana Setiap Orang Yang Meminta, Menerima….”

2.          “Kerana Setiap Orang Yang Meminta, Menerima….”

(oleh Heny, Banjarmasin, Indonesia.)

Pada tahun 1984, saya bersama keluarga saya telah dibaptis di dalam Gereja Yesus Benar. Pada ketika itu, saya masih seorang remaja. Saya tidak memahami kepentingan pendidikan agama. Saya tidak berminat untuk pergi ke gereja. Oleh itu, saya tidak tahu ajaran-ajaran  Kristeniti. Pemercaya-pemercaya selalu datang melawat saya. Selepas setiap lawatan, saya akan menghadiri satu atau dua kali kebaktian, tetapi selepas itu saya akan berhenti.

Ketika saya berada dalam tahun pertama kolej, saya mula mencari Tuhan. Saya telah belajar bahawa saya perlu menerima Roh Kudus sebagai jaminan untuk keselamatan saya. Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk berdoa memohon Roh Kudus. Saya menjadi bimbang. Saya memberitahu seorang kawan saya dan dia mengajak saya untuk pergi ke Gereja Karismatik. Saya pun pergi. Saya sungguh gembira kerana khotbahnya pada masa itu adalah mengenai bagaimana berdoa memohon Roh Kudus. Pengkhotbahnya berkata bahawa Roh Kudus akan memenuhi saya sekiranya saya berdoa dengan mengangkat tangan dan muka, sambil mengucap “Haleluya”. Apabila seorang pastor menumpangkan tangan ke atas saya, saya terjatuh ke belakang. Tetapi saya tidak dapat merasakan adanya Roh Kudus yang memenuhi diri saya. Terus saya bangun dan merasa agak malu. Saya memerhatikan orang lain berdoa. Terdapat seorang budak lelaki yang terjatuh ke belakang di atas lantai. Dia menjerit-jerit dalam kesiksaan dan berbuih di mulut. Saya pun pulang dengan penuh kekeliruan.

Saya memberitahu insiden tersebut kepada seorang guru pendidikan agama Gereja Yesus Benar. Setelah mendengar penjelasan guru tersebut, saya merasa sungguh malu di hadirat Tuhan dan seiman-seiman gereja. Begitu dalam  perasaan bersalah dan malu sehinggakan saya terus menangis. Saya pulang ke rumah dan berdoa memohon pengampunan Tuhan.

Pada keesokan pagi, perasaan bersalah dan malu saya telah lenyap. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana telah menjawab doa saya dan menyakinkan saya akan kasihNya. Sesungguhnya, Tuhan penuh dengan belas kasihan dan senantiasa bersedia untuk memberi pengampunan.

Pada tahun 1988, saya telah menghadiri kebaktian kebangunan rohani murid-murid di Gereja Yesus Benar di Jakarta, Indonesia. Pada salah satu malam itu, saya telah mendapat satu mimpi. Di dalam mimpi itu,  saya sedang berdoa di sebuah padang. Tiba-tiba angin bertiup kencang, diikuti dengan bunyi yang kuat. Saya terayun sedikit tetapi masih berdiri tegak. Disebabkan oleh angin yang kuat itu, tubuh dan lidah saya bergetar. Saya mendapat mimpi yang sama sebanyak dua kali. Ianya begitu menghairankan. Pada pagi berikutnya, saya pergi ke gereja dengan yakin bahawa saya pasti akan menerima Roh Kudus. Saya berdoa dengan penuh iman dan sangat bersemangat. Apabila saya mengucapkan “Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa…..” tubuh dan lidah saya mula bergetar. Saya tidak dapat mengawal lidah ataupun memahami kata-kata yang saya ucapkan. Saya menangis dalam kegirangan kerana Tuhan  telah menjawab doa saya.

Saya yakin bahawa Tuhan Yesus benar-benar mengasihi anak-anakNya. Kita harus percaya bahawa doa kita akan didengari Tuhan dan harus terus berusaha di dalam doa kita. Sesungguhnya, Tuhan kita adalah Tuhan yang hidup!

(dipetik dairpada Manna, terbitan 23, 1994 m/s 41).

Saya Menerima Roh Kudus

Kesaksian Peribadi Tentang Berbahasa roh

Yesus memberitahu murid-muridNya bahawa orang-orang yang percaya kepadaNya akan berbicara dalam bahasa-bahasa yang baru (Markus 16:17). Walaupun manusia tidak dapat memahami akan bahasa lidah, ia adalah satu cara untuk berkomunikasi dengan Tuhan. Apabila kita bedoa dengan bahasa lidah, kita berkata-kata kepada Allah dan bukan kepada manusia (I Korintus 14:2). Tidakkah kamu ingin merasakan kegirangan menerima Roh Kudus dan berbahasa roh di dalam Gereja Yesus Benar?

Berikut adalah beberapa kesaksian peribadi tentang pengalaman menerima Roh Kudus dan berbahasa roh:

 

1.          Saya Menerima Roh Kudus

(oleh Heather Mac Donald, UK, Elgin/Edinburg.)

Akhir-akhir ini, saya merasakan diri saya begitu dipenuhi kasih Tuhan sehingga kadangkala saya rasa bagaikan hendak meletup. Saya sangat ingin berkongsi dengan orang lain, dengan setiap orang. Ianya sukar untuk dijelaskan. Saya merasa begitu kepenuhan dengan anugerahNya dan diberkati dengan kefahaman yang sebenar akan FirmanNya, kehendakNya, tentangNya dan saya berharap agar saya dapat memberikan kefahaman yang sama ini kepada orang lain. Rasanya begitu banyak yang ingin saya berikan. Tuhan sungguh, sungguh mengherankan! Dia senantiasa memerhatikan kita, dengan kedua lengan yang terbuka luas, Ia sedang menanti untuk memeluk kita di dalam belaian kasihNya dan menjaga kita daripada segala bahaya untuk selama-lamanya. Yakobus 4:8 mengatakan, “Mendekatlah kepada Allah, dan Ia akan mendekat kepadamu.” Dia sedang menantikanmu. Dia benar-benar mengasihi kita. Bagaimanalah kita dapat memahami kasihNya terhadap kita? Bagaimanakah kita dapat membalas kesabaran dan ketabahanNya, penantianNya yang sekian lama dan kerinduanNya kepada kita? KasihNya adalah sempurna, tiada tandingan dan melampaui kefahaman manusia.

Saya tahu akan kasihNya kerana saya telah menerima Roh Kudus. Ketika saya berdoa memohon Roh Kudus, saya hanya tahu mengetepikan segala hal-hal yang lain. Namun seorang saudara memberitahu saya supaya berdoa dengan suara yang kuat – sesuatu yang tidak ingin saya lakukan sebelum ini kerana saya merasakan orang lain akan mendengar, mereka akan mendengar apa yang saya katakan. Tetapi kemudiannya saya berdoa tanpa memikirkan hal tersebut. Saya bertekad melakukannya dan mengaku kepadaNya dengan suara yang kuat. Perbuatan demikian kelihatan sungguh tepat kerana hanya terdapat Tuhan dan aku, tiada orang lain di dalam perbualan itu – hanya talian peribadi di antara Dia dengan saya. Perkara yang melucukan ialah tiada sesiapapun yang mendengar apa yang saya ucapkan. Rasa saya, mereka langsung tidak perasan yang saya sedang berdoa dengan suara yang kuat. Sesungguhnya ia adalah doa yang hanya didengari Tuhan.

Selepas pengakuan saya, saya dapat merasakan tangan saya bergerak ke atas dan ke bawah. Saya berdoa, “ Oh, tolong berikan saya Roh KudusMu” dan saya mula berbahasa roh. Saya tidak mungkin dapat memberitahu kepadamu betapa gembiranya saya. Kejadian ini berlaku semasa doa sebelum khotbah disampaikan. Ianya agak sukar untuk berhenti berdoa. Selepas doa itu, saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada khotbah yang disampaikan. Kemudian apabila khotbah itu hampir tamat, saya mula merasa bimbang andainya apabila saya berdoa lagi nanti, Roh Kudus itu tidak ada lagi. Saya menjadi cemas. Tetapi apabila saya berdoa untuk kali yang kedua, sukar untuk saya mengeluarkan kata-kata, “ Dalam nama Tuhan Yesus..”; saya berbahasa roh lagi. Saya merasa sungguh gembira, sungguh  berbahagia, seperti tiada suatu apapun yang mungkin dapat menurunkan saya dan sungguh damai – sesungguhnya sukacita dan kedamaian rohani yang benar. Ianya benar-benar suatu perasaan yang istimewa!

Apabila saya pulang ke rumah, saya bedoa lagi sebelum makan malam. Saya telah berdoa selama satu jam. Saya terpegun kerana semua orang sudah selesai makan ketika saya selesai berdoa. Sejam? Saya berfikir, “ Tidak mungkin!” Ianya berlalu begitu cepat  sekali!

Saya sungguh-sungguh bersyukur kepada Tuhan dari lubuk hati saya kerana Dia telah menjawab doa saya dengan segera. Saya benar-benar tahu bahwa Dia berada di situ, senantiasa menanti kita untuk memohon Roh Kudus daripadaNya. Kiranya kita percaya kepada firmanNya, Dia akan memberi kepada mereka yang memohon daripadaNya. Sekiranya kita memohon dengan pertaubatan yang sebenar dan dengan rendah hati, Dia akan mendengar kita. Dia tidak akan menolak sesiapapun. Itu adalah janjiNya.

(dipetik daripada Manna, terbitan 21, 1993, m/s 33).

Berkata-kata dalam Bahasa Roh – V. Kesimpulan

Berkenaan berkata-kata dalam bahasa roh, pendirian Gereja Yesus Benar adalah betul dan ianya bukanlah semata-mata satu pandangan teologi yang tidak berkesimpulan.

Sesetengah Kristen mempunyai anggapan yang salah dengan berkata bahawa Gereja Yesus Benar adalah dari kumpulan Karismatik ataupun kami tergolong dalam denominasi berbahasa roh. Kemungkinan pandangan salah ini berpunca daripada pendirian kami tentang berbahasa roh (Kisah 10:45-46). Amanat gereja kami ialah kembali kepada keadaan gereja benar seperti pada zaman para rasul. Justeru itu, kami tidak tergolong dalam mana-mana denominasi.

Sekiranya berbahasa roh adalah salah satu karunia Roh Kudus, maka non-karismatik akan kehilangan satu daripada pengalaman rohani tersebut. Sebaliknya bagi karismatik, mereka akan terjerumus dalam charismania seperti pada jemaat Korintus. Namun, di dalam Alkitab, bahasa roh adalah satu tanda bukti yang dikesan untuk membuktikan samada seseorang pemercaya tersebut telah menerima Roh Kudus. Misalnya, orang-orang Samaria yang baru bertobat dan sudah dibaptis masih belum menerima Roh Kudsu. Justeru itu adalah perlu untuk menanyai soalan: “Sudahkah kamu menerima Roh Kudus, ketika kamu menjadi percaya?” (Kisah 19:2).

Memandangkan Roh Kudus adalah jaminan untuk keselamatan kita (Roma 8:9; Efesus 1:13,14), maka setiap umat Kristen perlu mengkaji semula kedudukannya menurut prinsip-prinsip Alkitab dan memberi satu jawapan yang jujur-ikhlas kepada soalan Paulus yang berbunyi: “Sudahkah kamu menerima Roh Kudus, ketika kamu menjadi percaya?”. Kiranya belum, janganlah kita melepaskan peluang untuk berusaha menerimanya.

IV. Berkata-Kata Dalam Bahasa Roh Di Gereja Yesus Benar

Penekanan Gereja Yesus Benar tentang berkata-kata dalam bahasa roh adalah berkait langsung dengan kepentingan menerima Roh Kudus yang dijanjikan. Ini adalah berlainan minat aliran Karismarik tentang karunia-karunia Roh (charismata). Anggota Gereja Yesus Benar berusaha menerima karunia Roh Kudus, dan karunia tersebut (dorea) adalah epexegetikal, iaitu Dia sendiri merupakan Roh Kudus tersebut. Begitu juga, kami tidak mengakui bahawa berkata-kata dalam bahasa roh bermakna baptisan dalam Roh Kudus yang merupakan suatu perkara yang berasingan atau yang menyusul hanya penerimaan Roh Kudus. Kedua-duanya berlaku serentak. Justeru itu, berkata-kata dalam bahasa roh tidak menjadikan seseorang itu superlatif, melainkan ianya merupakan sesuatu yang paling asas dan utama bagi seorang Kristen untuk membuktikan bahawa ia adalah milik Kristus (Roma 8:9) Kemampuan berkata-kata dalam bahawa roh akan tetap di dalam diri seseorang setelah Roh Kudus diam di dalam dirinya. Setiap kali apabila seorang Kristen atau seluruh jemaat berdoa di dalam Roh, kemampuan berkata-kata dalam bahasa roh adalah kerja Roh Kudus. Memandangkan fenomena jemaah berkata-kata dalam bahasa roh telah dikritik sebagai sesuatu yang tidak berdasarkan Alktiab, maka kita akan menbincangkannya bersesuaian dengan Alkitab.

  • Berkata-kata dalam bahasa roh di muka umum telah dikritik atas tiga sebab berikut:

1. Tiada seorangpun yang memahaminya , termasuk orang yang mengatakannya.

“Sebab tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya; oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahasia” (I Kor 14:2). “Sebab jika aku berdoa dengan bahasa roh, maka rohkulah yang berdoa, tetapi akal budiku tidak turut berdoa” (I Kor 14:14)

2. Paulus menghadkan bilangannya walaupun terdapat penafsirannya.

“Jika ada yang berkata-kata dengan bahasa roh, biarlah dua atau sebanyak-banyaknya tiga orang, seorang demi seorang, dan harus ada orang lain untuk mentafsirkannya” (I Kor 14:27).

3.      Orang yang tidak percaya akan salah anggap bahawa ianya adalah sesuatu yang gila.

“Jadi, kalau seluruh Jemaat berkumpul bersama-sama dan tiap-tiap orang berkata-kata dengan bahasa roh, lalu masuklah orang-orang luar atau orang-orang yang tidak beriman, tidakkah akan mereka katakan, bahawa kamu gila?” (I Kor 14:23).

  • Alkitab mengajar kita bagaimana berdoa dalam bahasa roh.

Kenyataan bahawa berbahasa roh adalah berkata-kata adalah bahasa-bahasa lain tidak seharusnya menghalang doa kita, sebab “demikian juga Roh membantu kita dalam kelemahan kita; sebab kita tidak tahu, bagaimana sebenarnya harus berdoa; tetapi Roh sendiri berdoa untuk kita kepada Allah dengan keluhan-keluhan yang tak terucapkan” (Rm 8:26). Tambahan pula, Paulus sendiri menyelesaikan situasi tersebut dengan berkata, “Jadi, apakah yang harus kubuat? Aku akan berdoa dengan rohku, tetapi aku akan berdoa juga dengan akal budiku” (I Kor 14:15). Ketika kita berdoa dalam bahasa roh, kita boleh ambil bahagian melalui akal budi kita. Alkitab menyatakan bahawa bahasa roh dikaruniakan kepada para pemercaya ketika mereka menerima Roh Kudus dan bukan disebutkan oleh dua atau tiga orang secara bergilir-gilir. Para pemercaya yang berdoa pada hari Pentakosta berjumlah seratus dua puluh orang. Jumlah pemercaya di Efesus berjumlah dua belas orang. Justeru itu, kita dapati bahawa ketika berbahasa roh bukan ditujukan kepada sesuatu penonton manusiawi secara spesifik, misalannya dalam doa, maka bilangannya tidak terhad. Daripada yang di atas, kita juga dapat mengesan, setiap kali apabila Paulus mengajar jemaat Korintus menghadkan diri daripada berkata-kata dalam bahasa roh, dia merujukkannya kepada satu fungsinya yang lain, yakni, menginjil dengan bahasa roh. (I Korintus 14:19,28). Bagi orang-orang yang tidak percaya mereka akan menganggap sesuatu yang gila sekiranya kita berkata-kata kepada seorang yang lain dalam bahasa roh. Namun, kiranya seluruh jemaat berdoa dalam bahasa roh secara tertib, maka ianya menjadi satu tanda kepada orang-orang yang tidak percaya (I Korintus 14:22). Memang terdapat juga orang-orang yang tidak mendapat faedah daripada tanda tersebut, misalnya orang-orang yang  menyindir pada hari Pentakosta dengan berkata: “Mereka sedang mabuk oleh anggur manis” (Kisah 2:13). Namun, kita mendapati bagaimanda tanda tersebut digabungkan dengan khotbah Petrus telah mentaubatkan tiga ribu jiwa pada hari itu.

Berkata-kata dalam Bahasa Roh – III. Adakah Kesemuanya Berkata-Kata Dalam Bahasa Roh?

Bangkit lagi satu soalan baru. Sekiranya berkata-kata dalam bahasa roh merupakan kriteria dan bukti tunggal bahawa seseorang telah menerima Roh Kudus. Maka ini menunjukkan setiap orang mesti berkata-kata dalam bahasa roh. Namun, ini merupakan tentangan yang ketara kepada soalan retorika Paulus: “Adakah mereka semua berkata-kata dalam bahasa roh?” (I Korintus 12:30). Satu kajian yang teliti perlu dibuat ke atas konteks soalan yang diajukan, sebab ini akan membawa kepada pengetahuan bahawa berkata-kata dalam bahasa roh mempunyai dua fungsi. Senarai rupa-rupa karunia Roh adalah bertujuan untuk menjelaskan perbezaan karunia-karunia yang ada serta peranan-peranan berlainan yang diterima para pemercaya. Justeru itu, tidak ada satu karunia yang dikongsi bersama seluruh jemaat. Kelayakannya yang lain ialah karunia-karunia Roh tersebut adalah untuk kepentingan bersama (I Korintus 12:7).

  • Adakah berkata-kata dalam bahasa roh itu untuk kepentingan bersama?

Kata Paulus tidak, sebab “siapa yang berkata-kata dalam bahasa roh, ia membangun dirinya sendiri” (I Korintus 14:4). Namun, berkata-kata dalam bahasa roh adalah juga untuk kepentingan bersama di dalam situasi-situasi tertentu: “Jika ada yang berkata-kata dalam bahasa roh, biarlah dua atau sebanyak-banyaknya tiga orang, seorang demi seorang, dan harus ada seorang lain untuk menafsirkannya” (I Korintus 14:27; !4:5).

  • Adakah berkata-kata dalam bahasa roh perlu ditafsirkan?

Tafsiran bahasa roh adalah untuk menyampaikan mesej-mesej Tuhan untuk kepentingan bersama, justeru itu, ia disenaraikan dalam rupa-rupa karunia Roh sebagai satu karunia Roh yang dikurniakan secara berasingan kepada pemercaya-pemercaya yang berlainan. Berbahasa roh tersebut tidak dikatakan oleh semua orang dan ini merupakan jawaban kepada soalan Paulus.

  • Berkata-kata dalam bahasa Roh tanpa tafsiran “hanya boleh berkata-kata kepada dirinya sendiri dan kepada Allah” (I Korintus 14:28). Dalam kes ini, bilangannya tidak dihadkan kepada dua orang, tiga orang atau seorang berkata demi seorang. Ini disebabkan pada hari Pentakosta sebanyak seratus dua puluh orang berkata-kata serentak pada satu masa yang sama. Dan di Efesus, kira-kira dua belas orang berkata-kata dalan satu masa. Kata-kata roh tersebut adalah disebut di dalam doa oleh kesemua orang yang menerima Roh Allah, seperti yang telah kita kaji. Ini merupakan tujuan utama berkata-kata dalam bahasa roh: “Siapa yang berkata-kata dengan bahasa roh, tidak berkata-kata kepada manusia, tetapi kepada Allah. Sebab tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya; oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahasia” (I Korintus 14:2).