24. Penyembuhan Tuhan Yang Ajaib

​Sdri. Salvetah Sala

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian.

Semasa saya mengandung anak yang keempat, pada usia kandungan 7 bulan saya telah berjumpa dengan doctor untuk pemeriksaan kandungan. Selepas pemeriksaan, doktor mencadangkan agar saya menjalani BTL (ikat rahim) selepas bersalin memandangkan sudah berusia 35 tahun dan tidak baik untuk mengandung lagi. Ini kerana banyak risiko bagi wanita yang mengandung melebihi umur 35 tahun. Doktor menasihatkan saya supaya jangan lagi berkira-kira, mesti berhenti lalu menulis ‘For BTL’ dengan dakwat merah di depan kad klinik saya. Apabila bercerita dengan rakan seusia saya yang juga mengandung pada masa itu dan mempunyai jumlah anak yang sama dengan saya, mereka tidak diarah oleh doktor untuk menjalani BTL pun.

Syukur puji Tuhan, pada 26hb November 2008 saya melahirkan anak tanpa bermasalah. Sesudah anak dilahirkan, dalam beberapa jam kemudian anak saya asyik muntah lendir sahaja. Doktor pakar bayi telah dipanggil untuk memeriksa dan mengambil ujian darah bagi anak saya. Selepas itu jururawat berusaha menjalankan suction sedut lendir dari mulut anak saya dan berjaya melakukannya. Selepas anak saya membuang air kencing, saya dan anak dibenarkan untuk pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, doktor Pakar Neonat menghubungi wad bersalin supaya tidak membenarkan saya balik dan perlu ditahan di bahagian neonat kerana ada jangkitan kuman dikesan dalam darah platlet anak saya. Pada masa itu saya, suami dan anak-anak saya membawa perkara ini ke dalam doa sahaja dan meminta para seiman di gereja untuk membantu doa.

Selepas 7 hari ditahan di hospital, ubat antibiotik juga telah mencukupi dan sepatutnya boleh pulang ke rumah, tetapi doktor masih tidak membenarkan kami pulang kerana tahap billirubin (kuning) anak saya telah mencapai 395. Saya sebagai ibu yang baru bersalin merasa tertekan dengan keadaan sebegini kerana tubuh sendiri sudah begitu lemah, malahan terpaksa menjaga bayi saya secara berterusan di dalam wad dan merasa lebih tertekan apabila melihat bayi disuntik dan diambil darahnya berkali-kali. Saya memohon kebenaran untuk pulang ke rumah daripada doktor dengan berkali-kali tetapi tidak dibenarkan. Saya berfikir, sekiranya saya berada di rumah, saya akan berasa selesa untuk berdoa. Setelah 4 hari berlalu, paras billirubin anak saya hanya turun sedikit sahaja. Akhirnya doktor membenarkan kami pulang ke rumah dengan syarat mesti datang pada keesokan harinya untuk pemeriksaan darah bayi lagi. Sebaik saja balik ke rumah, saya bertekad untuk tidak datang ke wad lagi. Saya sudah tidak sanggup lagi melihat bayi saya disuntik berkali-kali dalam satu masa. Saya yakin Tuhan itu sentiasa beserta sekiranya kita memohon dengan bersungguh-sungguh. Saya berserah kepada Tuhan sahaja untuk menjaga bayi saya. Sejak hari itu, saya tidak kembali ke hospital lagi dan syukur pada Tuhan anak saya sentiasa dalam keadaan yang sihat sehinggalah sekarang.

Sebulan kemudian, iaitu pada January 2009, saya berjumpa dengan doktor pakar untuk menjalankan BTL seperti yang telah diarahkan. Semasa berjumpa dengan doctor untuk pemeriksaan, dia melakukan scanning untuk memastikan kedudukan rahim. Wajah doctor itu berkerut sambil memberitahu ada mengesan ketumbuhan di bahagian kiri ovari saya sebesar 5.6cm. Sekali lagi saya merasa teruji. Doktor mengatakan bahawa saya terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan sekali gus ikat rahim.

Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana saya tidak mengalami sebarang masalah sewaktu mengandung walaupun ketumbuhan itu sudah lama berada di ovari saya. Saya pun tidak tahu ketumbuhan tersebut ada di ovari saya. Selama ditahan di wad, saya bersyukur kerana suami saya sabar menjaga bayi yang kecil walaupun saya tahu dia tertekan juga dengan masalah yang asyik datang. Pembedahan dijalankan dengan selamat. Syukur puji Tuhan.

3 bulan selepas pembedahan, bulan Mac 2009, saya diminta untuk berjumpa dengan doktor bagi memeriksa keadaan ovary . Bila scanning dilakukan, sekali lagi doctor mengesan ada ketumbuhan sebesar 2.5cm. Doktor berasa agak terkejut tetapi memberitahu bahawa ketumbuhan itu hanyalah jenis cyst yang tidak merbahaya. Doktor tidak meyarankan saya untuk dibedah kerana pembedahan pertama tidak lama, belum sampai setahun. Dia hanya membenarkan saya dibedah pada bulan November 2009. Apabila saya mendengar ada lagi ketumbuhan, saya berasa tertekan, sekalipun ia hanyalah ketumbuhan yang biasa. Tetapi untuk menjalani pembedahan berulang kali adalah hal yang tidak baik. Setiap malam saya tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan banyak perkara. Suami menasihati saya supaya menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana tidak ada perkara yang mustahil bagi Tuhan. Saya sangat yakin dengan perkataan itu dan hanya berserah kiranya semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan, biarlah Dia sendiri yang mengaturkannya. Pada bulan Ogos, selepas diperiksa dan mendapati ketumbuhan itu sudah sebesar 3cm .

Pada bulan Oktober, unit pendidikan Bumiputera gereja Keningau merancang untuk mengadakan aktiviti perkhemahan kali pertama bagi murid-murid pendidikan pada bulan Disember dan saya adalah salah seorang petugas dalam aktiviti perkhemahan tersebut. Tetapi bila teringat bahawa saya akan dibedah pada pertengahan November, mungkinkah saya dapat menyertai mereka? Saya memberitahu suami, sekiranya 3 minggu selepas saya dibedah dan merasa baik, saya akan menyertai untuk membantu perkhemahan tersebut. Setiap kali saya memohon kepada Tuhan agar memberi petunjuk dan membenarkan saya melaksanakan tugas saya dahulu.

Pada pertengahan November, saya dikehendaki masuk ke dalam wad. Sewaktu menjalani scanning, doctor tidak nampak ada sebarang ketumbuhan yang jelas. Pada petang hari itu, pakar bedah datang menemuramah kami. Pada waktu petang, saya diarah oleh doctor supaya minum air yang banyak sehingga penuh pundi kencing agar ketumbuhan itu boleh dilihat dengan jelas. Pada jam 4 petang, doctor datang sekali lagi untuk memastikan kedudukan ketumbuhan tersebut. Doktor masih juga tidak dapat melihat sebarang ketumbuhan yang jelas .

Pada jam 7 malam, saya menghantar mesej kepada rakan-rakan koir Horeb supaya membantu doa untuk saya. Kebetulan pada malam itu pendeta Erastus menelefon saya. Saya minta bantu doa dari pendeta. Pada jam 9 malam sebelum di arah supaya berpuasa, sekali lagi doktor tersebut datang menjalani scanning terhadap saya, dia masih tidak berpuas hati. Saya diminta untuk minum air yang banyak sekali lagi. Pada malam itu, saya hanya kenyang dengan air sehingga memenuhi pundi kencing saya. Bila menjalani scanning, doctor mengesahkan ketumbuhan itu benar-benar tidak ada di ovari saya. Akhirnya malam itu juga doctor membatalkan pembedahan saya. Doktor pun merasa hairan, ke manakah perginya ketumbuhan itu? Saya sendiri pun merasa hairan. Tetapi, hati saya berasa sangat bersyukur kerana semuanya itu adalah keajaiban dari Tuhan. Pada pagi keesokan hari, saya dibenarkan untuk keluar wad. Jururawat dan rakan di sebelah katil pun bertanya kepada saya, macam mana ketumbuhan tersebut boleh hilang? Mereka bertanya apakah yang saya makan untuk menghilangkan ketumbuhan tersebut. Saya hanya menjawab: “makan saya seperti biasa, tetap kerana kita bersandar pada Tuhan ”.

Dengan banyak perkara yang dialami selama itu, saya dapat menikmati kasih Tuhan terhadap keluarga saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana Dia telah mendengar doa saya. Terima kasih juga kepada teman seiman yang sentiasa membantu saya di dalam doa. Bagi Tuhan, tidak ada perkara yang mustahil dan saya sentiasa merasa betapa indahnya dan beruntungnya kita yang hidup di dalam Tuhan.

Semoga nama Tuhan sentiasa dimuliakan. Haleluya!

23. Pengalaman Antara Kerajaan Syurga Dan Neraka

Sdri. Wong Oi Chu

Haleluya! Dalam nama Tuhan Yesus memberi kesaksian. Saya ialah saudari Wong Oi Zhu, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Saya ingin mengisah tentang penglihatan saya yang berkaitan dengan pengalaman saya melihat kerajaan Syurga dan neraka.

Pada hujung bulan Jun 2004, saya mengalami penyakit batuk yang serius. Saya tidak dapat tidur pada waktu malam. Penyakit ini telah berterusan selama 3 hari. Saya telah berjumpa dengan doktor sebanyak 3 kali, namun tidak ada kelihatan sebarang tanda perubahan yang positif pada penyakit saya. Sehingga 2 Julai, ibu kepada kakak ipar saya, Mary menemani saya ke klinik Damai Specialist untuk berjumpa dengan doktor. Selepas pemeriksaan, doktor mengatakan bahawa saya perlu tinggal di dalam wad untuk membuat peninjauan selanjutnya. Pada masa itu, pendeta Thomas Kam dan saudari Liew datang menjenguk saya dan membantu doa untuk saya.

​Pada masa itu, saya mula mengambil pil ubat tidur namun kesannya tidak memberangsangkan. Keadaan ini berlanjutan sehingga 4hb Julai. Selama lima hari empat malam saya tidak dapat melelapkan mata saya. Selepas doktor menjalankan rawatan fisioterapi akhirnya barulah saya dapat tidur dengan nyenyak. Dalam mimpi, saya melihat saya sedang menelefon kakak saya, Ai Yan, yang berada di Kuala Lumpur. Saya memberitahunya bahawa Tuhan ingin menyambut saya pulang ke Syurga. Saya berpesan kepadanya agar menjaga anak perempuan saya, Sherlyn dan membawanya ke Gereja Yesus Benar sehingga dia menjadi dewasa. Saya juga memberitahu kepada suami kakak saya, saudara Tang bahawa saya melihat kerajaan Syurga dan ia merupakan satu tempat yang sungguh indah. Di sana saya juga berjumpa dengan seorang yang tua.

Saya berterbang dengan gembira dan mengikuti orang tua itu menuruni satu lurah. Saya terjaga dari mimpi dan mendapati Penatua Tham bersama dengan anak perempuannya, Khen Siung serta adik saya berada di depan katil saya untuk menjenguk saya. Penatua Tham berkata kepada saya bahawa kerja saya masih belum selesai, maka Tuhan tidak akan menyambut saya pulang dengan begitu cepat. Selepas itu, mereka membantu doa bagi saya.

​Selepas itu, doktor datang melihat keadaan saya. Dia ingin menyuntik ubat ke dalam badan saya dan membuat pengimbasan otak. Saya memberitahu doktor bahawa saya tidak mahu disuntik kerana saya percaya Tuhan merupakan doktor yang paling agung. Saya juga meminta agar dia datang ke gereja benar kerana ia merupakan satu-satunya gereja benar yang dapat diselamatkan. Saya juga memberitahunya bahawa saya baru balik dari Syurga. Selepas doktor mendengar kata-kata saya, dia tidak mempercayainya. Selepas itu, dia menghantar saya untuk membuat pemeriksaan bahagian otak. Namun, laporan pemeriksaan menunjukkan keadaan saya normal segalanya. Selepas menjalani pemeriksaan, saya masih lagi insomnia. Pada malam itu, saya terasa seakan-akan telah masuk ke neraka.

​Saya melihat banyak orang yang sedang dibakar secara hidup-hidup. Saya bukan sahaja melihat keadaan ini dengan mata saya sendiri, malahan saya juga terhidu bau hangus. Saya berasa terperanjat sehingga berpeluh dan ingin melarikan diri dari tempat yang menakutkan itu. Kemudian, ada seorang yang muncul dari kegelapan dan menanyakan saya apakah cara yang saya ingin untuk melangsungkan upacara pengkebumian saya, sama ada menggunakan cara Hindu atau cara Buddhist? Saya menjerit dengan kuat bahawa saya tidak mahu apa-apa pun! Kemudian saya terjaga dari mimpi. Saya sangka saya telah meninggal dunia namun saya masih dapat merasa badan saya sedang bergerak. Tambahan pula, kata-kata penatua Tham mengingatkan saya sekali lagi bahawa Tuhan tidak akan menyambut saya pulang dengan begitu cepat kerana kerja saya masih belum selesai. Kata-kata ini telah menghiburkan hati saya. Oleh itu, saya dapat tidur dengan nyenyak untuk beberapa jam. Selepas itu, roh jahat datang mengganggu saya lagi. Namun selepas berdoa, saya kembali tidur semula.

​ Pada 5 Julai, pihak gereja telah mengadakan Seminar Penyempurnaan Rohani Para Penatua dan Pendeta. Saya telah dibantu doa oleh pihak gereja. Selepas itu, ada juga beberapa orang pendeta yang datang melawat saya. Pada masa itu, saya telah mendapat satu mimpi. Saya melihat diri saya diikat di atas satu rangka besi. Di bawahnya adalah api alam maut. Saya terdengar suara bantu doa gereja untuk saya.

Disebabkan saya berasa amat takut, maka saya berdoa dengan suara yang kuat. Saya berdoa dalam nama Tuhan Yesus, “Ya Tuhan, saya ialah seorang yang berdosa, memohon kiranya Tuhan mengampuni dosaku, memohon kiranya Engkau menyelamatkan aku!” Pada jam 7:30 pagi, ada banyak seiman yang datang melawat saya, termasuk penatua James Wong dan ahli keluarganya yang berasal dari Tenom. Anak buah saya juga datang melawat saya dan menyanyi 2 buah lagu kidung kanak-kanak bagi saya, ’Dalam hatiku ada dua raja, seorang mahu saya masuk ke Syurga, seorang lagi mahu saya masuk ke neraka…’. Saya berasa terharu dengan kidung ini. Sememangnya ada 2 orang raja di dalam hati saya. Ia terpulang kepada saya ingin mengikuti raja yang mana satu. Pada malam itu, saya diganggu oleh roh jahat sekali lagi. Waktu itu adalah jam 2 pagi. Suami saya asyik menggunakan kata-kata penatua Tham untuk menasihati saya, maka barulah saya dapat tidur.

​Pada 6 Julai, akhirnya doktor membenarkan saya untuk pulang ke rumah. Sewaktu tiba di rumah, saya dan keluarga saya berdoa untuk bersyukur kepada Tuhan. Saya berfikir, mungkin Tuhan masih ingin saya menjaga ibu mertua saya. Lantaran itu, saya masih diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di dunia ini. Pada jam 2 pagi hari tersebut, si iblis datang lagi mengganggu saya. Namun selepas berdoa, saya dapat tidur semula. Syukur kepada Tuhan.

​Pada 7 Julai, saya mengikuti kebaktian malam di gereja Kota Kinabalu. Semasa berdoa, penatua Timotius menumpangkan tangan ke atas saya. Selepas itu, saya pulang ke rumah bapa saya dan tinggal di sana selama 10 hari. Adapun pada jam 2 pagi ada roh jahat yang datang mengganggu, namun selepas berdoa saya masih dapat tidur semula.

​Pada 10 Julai, semasa saya duduk bersama dengan koir gereja Kolombong, saya terdengar sebuah kidung yang berbunyi, ’Ada orang yang berdoa bagimu’. Saya terharu sehingga mencucurkan air mata. Bukankah kidung ini merupakan gambaran bagi keadaan saya sekarang?

​Syukur atas kasih Tuhan. Syukur atas bantu doa yang bersungguh-sungguh dari saudara dan saudari gereja sekalian. Dengan adanya bantuan doa daripada mereka, barulah penyakit saya dapat disembuhkan, membolehkan saya mendapat kesejahteraan sehingga dapat mengharungi lembah kekelaman serta berjalan di atas jalan Tuhan. Ya Tuhan! Tongkat-Mu dan gada-Mu menghiburkan hatiku. Saya mahu diam di dalam bait-Mu dan melayani-Mu dalam kehidupan saya ini untuk membalas kasih besar-Mu terhadap saya, sampai selama-lamanya. Amin!

22. Kasih Tuhan Banyak Sehingga Tidak Terucap

Sdra. Liu Dek Kim

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudara Liu Dek Kim, berumur 59 tahun, berasal dari gereja Penampang. Sekarang saya ingin menceritakan kasih karunia Tuhan Yesus dan mengongsikan kasih Tuhan.

Pada bulan November 2006, saya bekerja di sebuah kuari batu. Saya baru membeli sebuah mesin mengorek batu. Saya melihat ada sekeping papan besi di atas lantai, lalu saya ingin turun dari mesin mengorek batu untuk mengalihkan papan besi itu. Semasa saya melompat dari mesin tersebut, saya mendapati ada selonggok ketulan batu di lantai. Tulang belakang saya akan terkena pada ketulan batu tersebut. Pada saat yang bahaya itu, sangka saya habislah kali ini. Tanpa diduga, seolah-olah ada seseorang yang memapah saya dan badan saya hanya terkena sedikit pada batu. Tidak ada luka sedikit pun pada badan saya. Saya berasa ajaib kerana Tuhanlah yang telah menyelamatkan saya.

Ada satu kali ketika saya bekerja di Sipitang, saya mengorek batu dan memuatkannya ke dalam lori. Semasa memuat hampir 3-4 biji batu, tiba-tiba ada sebuah batu yang besar, berada pada ketinggian lebih kurang 6 kaki terjatuh dari mulut pengorek batu di bahagian belakang mesin. Dengan serta-merta saya menyebut ‘haleluya’ lalu batu itu jatuh ke tempat lain dan tidak mengena saya. Saya berfikir, jika bukan kerana pemeliharaan dari Tuhan, semestinya saya akan mati atau cedera parah. Tidak mungkin akan selamat.

Pada 11 Mei 2008, semasa kebaktian kebangunan rohani di gereja Penampang, saya tampil ke depan untuk memohon Roh Kudus. Syukur kepada Tuhan, saya dipenuhi Roh Kudus dalam doa kali itu sehingga mengalirkan air mata. Saya bersyukur kepada Tuhan atas kasih-Nya yang besar. Sebelum ini, iman saya lemah dan jarang menghadiri kebaktian. Tetapi semejak hari itu di mana saya hampir tercedera oleh batu besar itu, saya merasakan oleh sebab Tuhan menyertai saya barulah saya terselamat. Oleh itu, saya harus bergiat. Mengenang kembali pada masa dahulu saya telah bersalah terhadap Tuhan Yesus. Setiap kali ada roh jahat yang mengganggu saya. Tetapi setelah saya menerima Roh Kudus, si iblis tidak datang mengganggu saya lagi.

Saya masih ingat, 2 minggu selepas saya menerima Roh Kudus, lebih kurang jam 3 pagi, semasa saya baru bangun dari tidur, tiba-tiba saya melihat cahaya terang yang besar, menerangi bilik saya sehingga saya tidak dapat membuka mata.

​Pada tahun 2004 jam 5 pagi, saya memandu kereta dari Penampang ke Tamparuli untuk bekerja. Ketika berada di Jalan Tuaran batu 16, saya terserempak dengan sekawanan kerbau yang sedang melintas jalan raya. Disebabkan perkara ini berlaku secara tiba-tiba, saya tidak sempat menekan brek, lalu kereta saya meluru ke arah seekor kerbau. Saya cuba memperlahankan kereta dan menyeru ‘haleluya’. Akhirnya, saya tidak terlanggar kerbau itu. Saya keluar dari kereta untuk melihat. Saya mendapati ada kesan tanah daripada badan kerbau itu tadi pada pintu kereta saya ketika cuba untuk mengelak kerbau tersebut. Syukur kepada Tuhan kerana menyelamatkan saya dari malapetaka ini.

Anak saya yang bernama Sheng Quan, telah menghidapi penyakit yang teruk pada tahun 2005. Pada mulanya, ia adalah jangkitan pada tisu ototnya. Dia mengalami kesakitan tulang belakang sehingga tidak dapat berjalan. Setelah menjalani pemeriksaan X-ray, didapati ada nanah di dalamnya. Maka, doktor menyuruh supaya dia tinggal di hospital untuk pemerhatian selanjutnya. Selepas tinggal 6 hari, punca penyakitnya masih belum dapat dikesan. Doktor berkata bahawa dia ingin mengambil sum-sum tulang anak saya untuk diperiksa, tetapi saya tidak bersetuju. Oleh itu, kami pun memindahkannya ke hospital SMC (Sabah Medical Centre). Pada masa itu, dia tidak dapat mengawal perkumuhan air kencing dan air besar lagi, malahan berjalan pun perlu dipapah. Sekiranya tersentuh sedikit, dia akan menjerit kesakitan.

Pada waktu itu, dia bertugas di Ambank. Pengurus di Ambank mengingatkan isteri saya supaya berdoa untuk anak kami. Oleh itu, kami pun berdoa untuk anak kami dan juga meminta gereja membantu doa. Selepas itu, doktor SMC menjalani pembedahan untuknya, tetapi penyakitnya masih berterusan selama sebulan. Syukur kepada Tuhan, akhirnya dia telah menjadi sembuh. Tuhan telah menyembuhkannya dan sehingga kini, penyakitnya tidak lagi berulang dan kini dia telah berumah tangga. Isterinya ialah saudari Su Ming Hui.

Semoga segala kemuliaan diberikan kepada Tuhan.

21. Tuhan Memimpin Langkahku

Sdri. Wong Oi Hee

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus saya menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Wong Oi Hee, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Syukur kepada Tuhan kerana Dia membiarkan saya merasakan kasih karunia-Nya yang cukup dalam hidup saya. Walaupun kadang-kala ada kekurangan, tetapi pada akhirnya. semuanya akan menjadi cukup. Di sini, saya ingin menceritakan penjagaan Tuhan yang rapi.

Saya masih ingat pada waktu anak saya Syn Yie masih kecil, mungkin disebabkan saya bekerja di sebuah syarikat, maka saya perlu menghadiri majlis makan malam tahunan syarikat berkenaan. Pada waktu itu, ibu bapa akan memberikan hadiah. Tetapi saya tidak pernah mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Pada setiap tahun, Syn Yie hanya melihat kanak-kanak yang lain menerima hadiah daripada Santa Claus yang sebenarnya diberi oleh ibu bapa mereka masing-masing. Saya pernah menjelaskannya kepada anak saya, Syn Yie bahawa tindakan itu tidak bersesuaian dengan ajaran Alkitab. Tidak ingat pada tahun bila, selepas menghadiri majlis makan malam tahunan, Syn Yie telah menghidapi ketumbuhan di bahagian leher. Selepas memikirkannya dan teringat akan kasih Tuhan yang besar, maka kami pun tidak menghadiri majlis seperti itu lagi.

Sememangnya pihak syarikat amat mengharap agar semua pekerja dapat menghadirinya. Walau bagaimanapun, saya tidak diabai oleh pihak syarikat disebabkan perkara tersebut, syukur kepada Tuhan. Pada tahun 2007, syarikat telah menetapkan majlis makan malam diadakan pada 12 Januari 2008. Kali ini tidak dinyatakan perlu memberi hadiah, maka saya pun bersetuju untuk menghadirinya. Namun setelah melihat jadual aturcara makan malam hari itu, barulah saya mengetahui ada sesi pemberian hadiah dalam majlis makan malam tersebut. Pada ketika itu, saya tidak tahu apa yang harus dibuat kerana saya telah menempah tempat duduk. Syukur kepada Tuhan kerana hari itu adalah hari Sabat, dan anak saya Syn Yie pula demam dari pagi dan tidak sembuh. Oleh itu, saya tidak jadi menghadiri majlis itu. Sesungguhnya Tuhan telah membuka jalan bagi saya.

Pada masa Syn Yie belajar di Tahun 1, dia telah mengikuti rombongan renang ke Pulau Pinang untuk menyertai pertandingan. Pada waktu rehat di sebelah petang, dia berjalan di tepi pantai yang berdekatan dengan tempat pertandingan. Pada ketika itu, semuanya kelihatan baik sahaja. Anak saya Syn Yie pun bermain pasir dengan rakan-rakannya di tepi pantai. Tiba-tiba, ada ombak yang kuat datang ke arahnya. Waktu itu dia hanyalah seorang murid sekolah rendah sahaja, jika bukan kerana kebijaksanaan yang diberi oleh Tuhan, tidak mungkin dia tidak akan terfikir untuk memacakkan kaki dan tangannya ke dalam pasir untuk mengelakkan dirinya dibawa oleh arus ombak. Syukur atas anugerah Tuhan yang besar.

Pada 10 tahun yang lalu, saya tidak dapat menjual rumah saya yang dahulu itu disebabkan masalah teknikal. Geran tanah telah ditahan oleh institusi peminjaman. Walaupun bank yang saya kerja itu telah menjelaskan hutang kepada pihak pembangunan tetapi pihak pembangunan tidak menebus geran tanah saya dari institusi peminjaman kerana pinjaman belum dijelaskan. Ini merupakan sesuatu perkara yang menyusahkan. Saya tidak mungkin dapat menebus geran itu dengan duit sendiri. Jika bukan pertolongan Tuhan Yesus, saya tidak akan mendapat geran saya kerana ada sebuah firma guaman yang ingin mendapatkan suatu projek dari bank yang saya kerja, tetapi syarat yang dikenakan oleh pihak bank adalah mereka perlu mendapatkan geran tanah saya terlebih dahulu. Syukur kepada Tuhan, dengan bantuan peguam, akhirnya saya dapat menebus geran tanah saya, rumah tersebut telah dijual dengan lancar. Dengan itu, saya tidak terbeli rumah yang mahal.

Suami saya, saudara Teo Kok Oi berasal dari Tuaran. Pada setiap minggu, kami akan pergi melawat ibu bapanya yang sudah uzur. Kami akan singgah di sana sehingga waktu malam baru pulang. Walaupun suami saya telah meninggal, tetapi saya masih terus pergi ke sana setiap minggu. Jalan ke Tuaran amatlah gelap pada waktu malam. Pada waktu yang sama, kerja pembaikan jalan turut dijalankan. Jikalau hujan, kami tidak dapat melihat apa-apa yang di depan dengan jelas.

Pada suatu malam hujan turun, disebabkan tidak biasa dengan jalan tersebut, maka saya tidak tahu ke mana sudah saya pergi. Saya menyebut ‘Haleluya’ secara berulang-ulang dalam hati. Tiba-tiba, saya terasa seperti ada orang yang memusing sterling saya lalu kereta saya berjalan mengikut jalan yang sepatutnya. Setelah melalui tempat itu, barulah saya terlihat ada bonggol pemisah jalan raya yang sedang dibaiki. Jika stereng tidak terpusing, saya telah melanggar bonggol itu dan mengalami akibat yang teruk. Syukur kepada Tuhan.

Mengenai saudara Kok Oi, dia dipelihara oleh Tuhan selama ini dan tidak menghidapi apa-apa penyakit. Tiba-tiba, dia menghidapi penyakit barah. Kami tahu hanya Tuhan Yesus yang dapat menyembuhkannya. Jikalau Tuhan Yesus tidak menyembuhkan penyakitnya, maka hidup selanjutnya adalah seperti bekerja untuk doktor kerana memerlukan kos rawatan yang mahal. Memandangkan kehendak Tuhan adalah menyambutnya pulang, maka kami hanya taat dan menerimanya. Semasa dia pergi, dia masih berada dalam keadaan yang sedar. Keadaannya tidak sama seperti orang lain yang perlu menanggung kesakitan yang teruk. Sesungguhnya kehendak Tuhan adalah yang indah. Tuhan Yesus tahu akan keadaan keluarga kami yang serba kekurangan. Dia telah membawanya pulang dan kami tidak perlu membazir wang ke atas penyakitnya yang tidak dapat dirawat itu. Malahan kami juga tidak perlu menanggung siksaan yang menderita.

​Seperkara lagi, Syn Yie adalah anak yang dikurnia oleh Tuhan kepada kami selepas 4 tahun kami bernikah. Disebabkan perasaan yang sukacita dalam hati, maka kami pun menamakannya Syn Yie supaya anak saya akan mengingati anugerah Tuhan sampai selama-lamanya.

Akhirnya saya mengambil ayat Alkitab ini sebagai pengakhiran kesaksian saya. Semoga segala kemuliaan diberikan kepada Tuhan.

Kita tahu sekarang, bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana Allah (Rm 8: 28).

20. Kesaksian Menerima Kasih Karunia

Sdri. Chia Siew Chu

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya memberi kesaksian. Saya ialah saudari Chia Siew Choo yang berasal dari gereja Inanam.

Kesaksian (1)

Pada malam hari saya dibaptis ke dalam gereja benar pada tahun 1986, saya telah mendapat satu mimpi ngeri. Walaupun kisah ini telah berlalu selama dua puluh lebih tahun, namun saya masih mengingatinya sehingga kini.

Dalam mimpi itu, saya melihat saya sedang berjalan seorang diri di atas jalan tidak jauh dari sebuah gereja. Gereja itu merupakan gereja saya yang dahulu. Dari jauh gereja itu kelihatan terang dan menarik perhatian. Ada ramai orang yang berhimpun di dalamnya. Ada orang yang sedang berjalan, ada juga yang sedang berdiri tetapi kebanyakan mereka adalah sedang duduk. Apa yang lebih istimewa lagi ialah saya juga dapat melihat ada banyak meja yang berbentuk bulat di dalam aula gereja itu. Mereka semua sedang menikmati jamuan besar di situ.

Mata saya melihat ke dalam aula gereja itu secara spontan. Saya nampak banyak pemercaya gereja dahulu itu juga berada di dalam. Walaupun saya sedang berdiri di kawasan luar gereja tersebut, tetepi saya juga tertarik dengan keadaan di dalam gereja.

Maka saya pun melangkah menuju ke tangga gereja itu. Saya seperti telah lupa bahawa saya merupakan orang luar bagi mereka. Sewaktu saya naik ke tangga dan ingin masuk ke dalam pintu aula gereja, di sebelah kanan saya muncul dua bayangan hitam yang menghalang laluan saya. Apabila saya mendongakkan kepala saya untuk melihat, saya terperanjat! Ini disebabkan ada 2 muka tajam hitam yang dahsyat sedang menjeling saya dengan mata mereka yang jahat dan merah-kemerahan itu. Gigi mereka tajam dan mempunyai telinga yang pelik. Ketinggian tubuh badan dan kepala mereka hampir mencapai ketinggian pintu besar. Bayang hitam itu juga berpakaian jubah hitam yang longgar. Rupa mereka amat menakutkan.

Namun, pada masa itu saya masih berfikiran naif dan ingin meluru masuk ke dalam aula gereja kerana ada kawan-kawan saya yang berada di dalam. Saya tidak mempedulikan 2 hantu yang hitam itu, saya cuba melanggar mereka sekali demi sekali sehingga kepala saya berpeluh, tetapi masih tidak dapat masuk ke dalam pintu itu. Hantu-hantu hitam itu terlalu kuat sehingga menolak saya keluar. Pada masa itu, saya terkejut dan bangun dari tidur. Saya terkejut sehingga denyutan jantung saya menjadi cepat. Saya duduk di atas katil dan asyik bernafas dengan sekuat hati sambil berpeluh.

Selepas duduk termenung sebentar, saya berbaring semula. Saya menutup mata sambil memikirkan sebab-sebab saya mendapat mimpi itu. Saya mengimbas kembali sejak saya meninggalkan gereja saya yang dahulu itu, ada pemercaya dari gereja itu kadang-kala akan menghubungi saya, melawat saya, dan memujuk saya supaya saya dapat kembali ke persahabatan mereka. Mereka juga memberi isyarat kepada saya agar jangan tersesat dan masuk agama yang salah.

Pada waktu itu, saya tidak tahu bagaimana hendak memberi respon terhadap keprihatinan mereka. Sebenarnya fikiran saya masih jelas dan tidak bercelaru. Sebaliknya, saya berharap mereka juga dapat pergi ke gereja benar untuk menyelidiki kebenaran. Namun, apabila saya mencerita serba sedikit tentang kebenaran kepada mereka, mereka pula menunjukkan tindak balas bahawa mereka menentang dan tidak menerimanya.

Syukur kepada Tuhan, mimpi ini telah menyedarkan saya. Ia juga telah membolehkan saya mengetahui perbezaan di antara gereja benar dengan gereja lain. Dalam mimpi, keadaan dalam aula gereja mereka seperti sedang menikmati pesta-pora. Namun gereja adalah tempat yang kudus, bagaimanakah keadaan tersebut boleh terjadi di dalam aula gereja? Di samping itu, saya telah dibaptis di dalam gereja benar. Pintu besar gereja dahulu sememangnya tidak akan mengalu-alukan kedatangan saya lagi. Oleh sebab itu, laluan saya dihalang oleh kedua-dua hantu hitam itu. Hal ini memang munasabah dan juga membuktikan saya telah dikuduskan Tuhan. Saya bukan lagi sebahagian daripada mereka.

Syukur atas pemilihan dan peringatan Tuhan. Semoga Tuhan terus memelihara langkah kaki saya, berjalan di atas jalan yang benar selama-lamanya, tidak menyimpang ke kiri mahupun ke kanan, mentaati dan mengikuti pimpinan Tuhan sehingga bertemu dengan-Nya di Syurga pada suatu hari nanti.

Kesaksian (2)

Pada akhir tahun 2009, lebih kurang jam 11 malam, saya berasa sukar untuk tidur. Hal ini adalah sesuatu yang kurang normal bagi saya kerana selama ini saya dapat tidur lena dengan mudah. Semasa saya berguling-guling di atas katil, saya terdengar bunyi ada orang yang sedang membaling batu. Pada mulanya, saya tidak mempedulikannya tetapi semakin saya mendengar semakin saya merasa ada sesuatu yang tak kena. Selepas itu, saya pun bangun dan membuka sedikit langsir untuk melihat. Pada masa itu, saya tidak memasang lampu. Oleh itu, orang itu tidak perasan akan kewujudan saya. Saya terlihat ada seorang lelaki berbangsa Cina membaling batu ke arah lampu jalan yang ada di luar pintu pagar rumah saya. Pada masa itu, saya tidak tahu mengapa dia berbuat sedemikian. Saya hanya menganggapnya sebagai seorang kutu embun yang tidak bermoral dan bertanggungjawab. Memandangkan saya tidak dapat tidur maka saya pun melihat dari tingkap rumah saya.

‘Ding’!!! Dia telah terkena pada sasarannya – lampu jalan itu. Pada ketika itu, keadaan di sekeliling menjadi gelap-gulita. Orang itu melenyap di dalam kegelapan. Saya melihat ‘wayang’ ini seperti sudah tamat, maka saya pun balik ke bilik untuk tidur semula. Namun, sebelum saya tertidur lena saya terdengar suatu bunyi yang menggerunkan. Ahhh..! Bunyi itu adalah bunyi cuba untuk membuka mangga kunci pintu. Saya juga dapat mendengar bunyi itu, seakan-akan orang itu tidak sabar-sabar lagi untuk membuka pintu saya.

Pada masa itu, hanya saya dan ibu saya yang sudah tidur lena di dalam rumah. Oleh sebab saya tidak ingin mengejutkan ibu saya maka saya terfikir untuk mengambil telefon bimbit lalu meminta pertolongan secara senyap. Tetapi malangnya, pada malam itu saya tertinggal telefon bimbit saya di pejabat dan terlupa membawanya pulang. Saya dapat bayangkan betapa cemasnya saya pada waktu itu. Saya berdoa dalam hati saya namun kedua-dua kaki dan tangan saya menjadi lembik dan tidak bertenaga. Saya berasa amat cemas tetapi saya tidak berani menjerit.

Saya takut jika saya menjerit, ia akan memburukkan lagi keadaan. Maka saya hanya berjalan sambil kaki saya menggeletar menuju ke ruang tamu dan menggunakan telefon rumah untuk memberitahu saudara-mara saya tentang keadaan saya. Saya berharap mereka dapat melindungi saya. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, saya mengubah niat saya dan menyuruh mereka melapor kepada polis untuk meminta bantuan kerana saya tidak tahu ada berapa orang di luar rumah dan sama ada mereka ada membawa senjata yang mencederakan orang atau tidak.

Sebelum pihak polis tiba, saya membuka sedikit celah langsir tingkap dan melihat bayangan pemuda tadi yang membaling batu itu. Adakah dia merosakkan lampu jalan adalah supaya ia memudahkanya untuk menceroboh ke dalam rumah dan melakukan jenayah atau dia mempunyai motif yang lain? Jika saya berbaring di atas katil dan tertidur lena maka saya tidak akan dapat melihat segala perbuatannya itu. Akibatnya tidak dapat saya bayangkan. Apabila saya mendapat tahu bahawa pihak polis telah sampai di rumah saya, saya pun menghidupkan semua lampu di dalam dan di luar rumah saya. Kemungkinan orang yang berada di luar rumah telah melihat keadaan itu terjadi di luar jangkaannya, maka dia pun melarikan diri. Pihak polis meronda di kawasan sekeliling rumah saya, tetapi tidak ternampak bayangan orang lain. Anggota polis hanya menenangkan hati saya lalu beredar dari situ.

Kita tahu sekarang, bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia (Rm 8:28). Jikalau bukan Tuhan yang menyebabkan saya sukar untuk tidur pada malam itu, tambahan lagi jika orang itu tidak membalingkan batu sehingga mengejutkan saya, saya pun tidak akan keluar dan melihat keadaan itu.

Sangat bersyukur kepada Tuhan kerana Dia senantiasa menjaga dari tempat yang tinggi. Dia mengaruniakan kita kedamaian dan sukacita. Kasih Tuhan amatlah luas dan besar, kasih-Nya tidak dapat saya lupakan buat selama-lamanya. Kiranya jiwa rohani saya sentiasa mara ke depan dan mengikuti jejak langkah Tuhan Yesus sampai selama-lamanya.

Haleluya, Amin!

19. Tuhan Mengalahkan Perbuatan Jahat Si Iblis

Sdri. Ernest

Kesaksian ini dicatat melalui seorang wakil iaitu Diaken Epafras Chung.

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya mewakili saudari Ernest (berasal dari gereja Putatan) untuk memberi kesaksian.

​Pada petang 22 April 2010, Diakenis Aphia Wong menghubungi saya dan berkata bahawa ibu saudari Ernest menelefon dan memberitahu bahawa anak perempuannya menggunakan masa aktiviti kokurikulum di sekolah untuk menonton filem ngeri Tohyol bersama dengan rakan-rakannya. Disebabkan anak perempuannya mengalami kejutan yang berlebihan, maka emosinya menjadi tidak terkawal. Dengan itu, si Iblis menggunakan peluang ini merasuki badannya. Rakan-rakannya yang menonton filem ngeri Tohyol itu bersama turut dirasuki setan dan roh jahat. Di antara mereka, ada juga yang menjadi tidak sedar diri. Ibunya yang amat menyayangi anak perempuan itu dapat merasakan terdapat sesuatu yang tak kena dengan keadaan ini. Dengan itu, dia menghubungi Diakenis Wong supaya pergi ke rumahnya pada malam itu untuk membantu doa. Pada malam itu, seramai 5 orang telah pergi ke rumahnya, iaitu Diaken Chung dan puannya, Diaken Kieu dan puannya dan juga Diakenis Wong.

Sampai Ke Rumah Pemangsa Melihat Keadaan

Semasa kami sampai dan masuk ke dalam rumahnya, mula-mulanya kami berjabat tangan dan berkata “Haleluya”, lalu menanyakan khabar seperti biasa. Selepas itu, ibu saudari Ernest pun menjemput kami duduk di rumahnya. Saya melihat dan meninjau di sekeliling rumah. Saya mendapati bahawa terdapat sesuatu yang tak kena dengan keadaan dan situasi di dalam rumahnya. Hati saya berasa gentar dan saya dapat merasa bahawa mesti akan terjadi sesuatu nanti. Dari riak muka saudari Ernest yang kelihatan berbeza itu, saya sedar akan ada satu peperangan rohani yang akan tercetus. Pada masa itu, saya tidak tahu bagaimana isi hati 4 rakan sekerja yang lain.

Keadaan Mangsa Apabila Diganggu Setan

Saya tidak duduk bersama-sama dengan rakan sekerja yang lain kerana saya sengaja duduk sebaris dengan saudari yang dirasuki roh jahat. Ini kerana saya ingin lebih memahami tahap saudari yang diganggu roh jahat itu. Disebabkan saya juga pernah bertemu dengan kes yang sebegini sebelum ini, maka saya mula bertanya kepada saudari itu sama ada dia masih ingat saya atau tidak. Dia berdiam dan berdiri serta berjalan ke arah pintu besar yang telah dikunci.

Pada masa itu, saya mula memimpin semua orang berdoa bersama-sama dalam hati, kemudian menaikkan kidung pujian bilangan 186 yang berjudul “ Laskar Kritus”. Apabila seiman menyanyi ayat kedua kidung tersebut, tiba-tiba saudari itu menjerit dan berteriak. Pada masa yang sama, dia juga menutup telinganya sekuat hati dengan menggunakan tangannya. Pada masa itu, kami semua tidak sedar bahawa dia sedang menutup telingannya kerana dia tidak ingin dan berasa takut ketika mendengar kidung pujian Tuhan. Mengimbas kembali hal ini, jika kami menarik tangannya dan membiarkan dia mendengar firman Tuhan, apakah yang akan terjadi pada masa itu?

​Setelah habis menyanyi kidung, kami mula berdoa dengan bersungguh-sungguh. Kami memohon Tuhan menyertai kami agar tubuh jasmani dan jiwa saudari itu mendapat kesejahteraan. Apabila saya dan Diaken Kieu berjalan ke tempat saudari itu dan mengusir iblis dalam nama Tuhan Yesus Kristus dengan nada suara yang tegas, kami nampak roh jahat yang berada di dalam tubuh badannya itu memberi tentangan yang kuat dengan menjerit dan berteriak. Saudari yang kasihan itu terpaksa menanggung keletihan tubuh badan.

Namun, apabila kami berdoa pada kali yang kedua, dia memberi tindak balas yang lebih agresif lagi. Dia terus menjerit dan berteriak, badannya juga meronta-ronta untuk menentang. Sampailah pada doa kali yang ketiga, akhirnya kami dapat melihat kesannya. Kami telah mengusir iblis itu keluar dan akhirnya saudari itu menjadi tenang semula dan sedar diri. Kami semua melihat kesemua hal ini dengan mata sendiri. Kami berasa amat bersukacita dan lega. Kami bersyukur kepada kekuatan Tuhan dalam hati kerana Dia telah menolong kami. Pada masa itu, saudari itu berasa lapar dan dia mengatakan bahawa dia ingin makan. Saya meminta ahli keluarganya supaya menyediakan makanan kepadanya untuk dimakan.

​Maka dapat dilihat apabila seseorang itu diganggu oleh si iblis, dia akan kehilangan kesedaran diri dan langsung tidak tahu apa-apa lagi. Setelah saudari itu memperoleh ketenangan, saya pun menasihati keluarganya supaya senantiasa datang mengikuti kebaktian, lebih mendekati Tuhan dan takut akan Tuhan. Pada awal pagi keesokan hari, saya menelefon Diakenis Wong untuk menanya khabar tentang keadaan saudari itu. Saya mendapat tahu bahawa dia telah mula pergi ke sekolah. Hati saya juga berasa lega.

Syukur kepada Tuhan. Di sini saya ingin mengutarakan bahawa kami sebagai diaken hanyalah hamba Tuhan yang tidak berguna. Kami hanyalah bekerja untuk melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab kami sebagai hamba sahaja, kami sememangnya tidak tahu akan apa-apa kuasa ajaib. Kesaksian ini juga menunjukkan kekuatan Tuhan dan membolehkan keluarga saudari tersebut sedar dan memahami serta lebih mengenali Tuhan.

Kita tidak boleh memandang ringan terhadap kesaksian yang kelihatan tidak seberapa ini, sebaliknya kita harus tahu ada kekuatan dan kasih Tuhan yang tidak dapat diukur terkandung di dalam peristiwa ini. Kesaksian ini juga telah menambahkan iman kita, pengalaman dalam kerohanian dan membolehkan kita tahu bagaimana Tuhan mengalahkan perbuatan jahat si iblis selepas pengujian peperangan rohani ini. Ia juga telah menggenapi janji Tuhan yang indah kepada kita iaitu ‘yang ditawan dapat dibebaskan, yang dipenjarakan dapat dikeluarkan, yang dianaiyai dapat kebebasan……’.